baic_ev200_ext-1bm

Biasanya, pada sesuatu pameran, model yang akan berada paling hadapan adalah model yang penting, dan bagi pengunjung Malaysia Autoshow yang kini sedang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC), anda akan disambut oleh BAIC EV200.

Ia adalah kenderaan elektrik (EV) pertama yang dipasang di Malaysia dan merupakan satu produk usaha sama antara Beijing Auto International Corporation (BAIC) dan sebuah syarikat Malaysia iaitu Amber Dual Sdn Bhd. Bagi model pemasangan tempatan ini, ia berbentuk sebuah sedan dengan lima tempat duduk dan sebenarnya diasaskan daripada model hatchback sedia ada BAIC EV200. Badannya mempunyai tinggi 4,025 mm, lebar 1,720 mm dan tinggi 1,503 mm. Jarak roda pula adalah 2,500 mm.

Motor elektrik buatan Broad Ocean EV yang digunakan untuk menggerakkan kenderaan ini mempunyai kuasa sebanyak 30 kW dan 102 Nm tork, dan ia datang daripada bateri jenis lithium-ion berkapasiti 30.4 kWh. Untuk mengecas bateri ini, ia akan mengambil masa selama enam hingga lapan jam (220V), tetapi jika pengecas jenis pantas digunakan, dalam masa 1 jam 45 minit sahaja, ia sudah boleh penuh.

BAIC EV200 akan dipasarkan di Malaysia pada tahun 2017 dan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Relaxing Version, Showy Version dan Enjoyable Version. Pada bahagian luar, peralatan standard yang akan diberikan adalah rim aloi aluminium 14 inci dan cermin sisi pelarasan elektrik, namun Showy Version dan Enjoyable Version menerima tambahan cermin kalis UV dan cermin sisi boleh dilipat secara elektronik.

Di dalam, pada bahagian tengah papan pemuka kenderaan ini terdapat skrin kawalan lapan inci dengan sistem navigasi, aplikasi mudah alih dan MP5, dan bagi varian Showy dan Enjoyable, ia akan ditambah dengan paparan penyampaian kuasa kenderaan, compute-display intercommunication, enam pembesar suara dan alat kawalan jauh untuk aplikasi mudah alih. Satu lagi tambahan bagi varian Enjoyable adalah servis VIP Cloud.