Edaran Modenas jadi pengedar rasmi Kymco di M’sia – bakal memperkenalkan tiga model baharu Jumaat ini

kymco-xtown-300i-bm

Kymco X-Town 300i.

Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), sebuah anak syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) di bawah Kumpulan DRB-HICOM, kini dilantik selaku pengedar eksklusif baharu bagi jenama Kymco di Malaysia.

Melalui kerjasama baharu ini, EMOS akan bertanggungjawab bagi pengedaran, jualan dan pemasaran motosikal Kymco di sini. Sebagai permulaan, EMOS akan membawa masuk dua model Kymco – skuter Downtown 250i dan Xciting 400i ke pasaran Malaysia dalam masa terdekat.

Kymco Downtown 250i akan mengiringi dua lagi model versi terbaharu keluaran Modenas, Elegan 250 cc dan Karisma 125 cc, yang akan diperkenalkan secara rasmi Jumaat ini; menjadikan keseluruhannya tiga model baharu yang akan dilancarkan untuk pasaran tempatan oleh Modenas sendiri setelah sekian lama agak sepi daripada pengenalan model baharu.

kymco-downtown_300i-bm

Kymco Downtown 300i.

Mungkin kami tersilap, tetapi dua model Modenas yang bakal dilancarkan ini kami jangkakan turut merupakan hasil usahasama dengan Kymco juga. Bagi model Elegan 250 cc, ia mungkin dibina berdasarkan model Kymco X-Town 300i, manakala bagi Karima 125 cc pula, ia dibangun berdasarkan model Kymco Ace 9.

Kymco Downtown 250i yang akan diperkenalkan di sini nanti kami jangkakan dibina berdasarkan model Kymco Downtown 300i yang sudah pun dijual untuk pasaran Taiwan. Kapasiti enjin yang lebih rendah diperkenalkan untuk pasaran tempatan sudah tentu disebabkan oleh dua faktor.

Faktor-faktor yang dimaksudkan ialah pertama, untuk membolehkannya dijual pada harga yang lebih rendah dan kedua, bagi menarik perhatian dan memenuhi keperluan penunggang dari kelompok lesen kelas B2 (250 cc ke bawah) yang merupakan kelompok majoriti dalam kalangan pengguna di Malaysia. Harga rasmi akan diumumkan Jumaat nanti.

15179065_10154435683627224_6346172617658018036_n

Pelantikan terbaharu berkenaan bukan sahaja menandakan kemunculan semula jenama Kymco untuk pasaran tempatan, tetapi yang lebih penting adalah jalinan usahasama strategik yang akan membuka peluang yang saling menguntungkan bagi kedua-dua pihak.

“Ia merupakan satu penghormatan kepada kami bahawa Kymco, yang merupakan pengeluar skuter terbesar di Taiwan, dan kelima terbesar di dunia dalam segmen skuter dan motosikal, telah memilih untuk bekerjasama dengan EMOS bagi mengukuhkan semula jenama Kymco di sini.

“Kami berhasrat untuk memberi nafas baharu kepada Kymco dan mempromosikannya sebagai salah satu jenama skuter yang terkemuka di Malaysia,” jelas Pengarah Urusan Kumpulan, DRB-HICOM Berhad, Datuk Sri Syed Faisal Albar.

Dengan barisan skuter-skuter baharu Kymco ini nanti, EMOS mensasarkan untuk menguasai lebih daripada 25% pasaran skuter tempatan menjelang bulan Mac 2017. Skuter menyumbang sebanyak 13% daripada keseluruhan jumlah industri jualan motosikal negara sebanyak 60,000 unit pada tahun lalu.

EMOS juga telah melantik 30 pengedar eksklusif di seluruh Malaysia, termasuklah di Sabah dan Sarawak. Selepas ini, skuter Kymco hanya boleh didapati di kedai-kedai pengedar eksklusif ini sahaja.

Kymco merupakan pengeluar motosikal, skuter dan kenderaan serbaguna (ATV) nombor satu di Taiwan, dan mempunyai kedudukan yang kukuh di Eropah, Amerika Utara dan Australia. Sepanjang lima dekad lalu, Kymco telah berjaya memasarkan lebih daripada 10 juta unit skuter, motosikal, motosikal elektrik dan ATV di 100 buah negara, dengan perolehan jualan tahunan melebihi USD 1 bilion.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required