Lexus nampaknya membawa aktiviti pemasaran kenderaan ke tahap baru dengan munculnya model Lexus LIT ini. Ia muncul dalam satu video muzik artis bernama Dua lipa bertajuk The One dan bukannya sekadar satu mainan grafik komputer. Kereta sebenarnya wujud dan boleh bergerak.
Kenderaan asas yang digunakan adalah model IS 2017 dan yang membezakannya adalah luaran kenderaan ini dibalut penuh dengan LED, atau lebih tepat, sebanyak hampir 42,000 LED. Bukan setakat di bahagian badannya sahaja, malah gril juga dilengkapi dengan LED.
Sistem yang digunakan untuk lampu LED interaktif ini membolehkan grafiknya bertukar sama ada melalui lambaian tangan, ataupun mengikut lagu yang dipasang pada sistem audionya. Dengan ciri ini, Lexus LIT IS digelar sebagai sebuah kenderaan yang ekspresif. Bagi melengkapkan ‘skrin LED’ ini, Lexus menggunakan 5,280 kaki wayar, dan untuk menyalakannya, 1,487 watt kuasa diperlukan. Bagi setiap meter, paparan yang terhasil bersaiz 50 pixel.
Jangan terlalu teruja kerana tidak mungkin Lexus akan menawarkan ciri LED ini untuk kenderaan yang diguna di atas jalan raya biasa kerana ia pastinya akan mengganggu perhatian pengguna lain, dan di dalam video tersebut telah diletakkan notis bahawa Lexus LIT IS hanyalah sebuah kenderaan edisi khas dan bukan untuk jualan. Apapun, ia sesuatu yang menarik.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.