2016.04.11

Seperti yang dijanjikan, Lexus telah pun memperkenalkan model IS facelift di Beijing International Automotive Exhibition 2016 yang sedang berlangsung. Model generasi ketiga bagi kereta kompak premium ini telah dipertingkatkan bahagian hadapannya dan juga rekaan dalam kabinnya.

IS hadir dengan imej hadapan yang lebih agresif termasuk padanan corong udara pada bahagian bampar hadapan baharu. Malah ia juga setara dengan gril dan lampu utama baharunya. Malah rekaannya juga telah menyerlahkan lagi lampu nyalaan siangnya.

Gril baharu telah ditempatkan sedikit tinggi membuatkan gayanya lebih agresif. Manakala hud enjinnya juga telah dibentukkan semula bagi padanan yang lebih menyerlah. Gril F Sport juga ditampilkan dengan paten ‘3D’ dengan lapisan hitam metalik. Manakala saluran brek pula memberikan kesinambungan bagi mempertingkatkan lagi ciri aerodinamik model ini.

2016.04.11

Pada bahagian belakangnya, lampu belakang LED berbentuk-L kini tampil dengan tiga lapisan (sebelum ini hanya dua) dan juga dipadankan dengan tip ekzos segi empat baharu (dahulu berbentuk bulat). Ia juga ditampilkan dengan rim 10-jejari bersaiz 17-inci dengan rekaan baharu. Malah turut menawarkan dua warna baharu iaitu Deep Blue Mica dan Graphite Black Glass Flake.

Manakala bahagian kabinnya juga mengalami sikit pembaharuan. Termasuklah skrin paparan multimedia yang dahulu bersaiz tujuh-inci, kini tampil dengan 10.3-inci, butang ‘Enter’ pula terletak di tepi Remote Touch Interface (RTI) pada konsol tengah, memudahkan lagi penggunaan sistem tersebut. Manakala panel audio dan kawalan penghawa dingin juga diposisikan semula bagi memudahkan capaian.

Selain itu, terdapat perubahan lain termasuk jahitan pada meter pelantar kompas, pemegang cawan baharu, perehat tangan yang lebih besar dengan balutan kulit serta jahitan pada RTI dan juga jam analog pada papan pemuka yang dipertingkatkan. Malah pilihan warna bagi dalaman juga ditambah.

Lexus_IS_006_4A825B4C90918AE766CCF7C55EBA54F6766EFBDA

Elemen keselamatan bagi IS baharu ini juga dipertingkatkan dengan Lexus Safety System+, termasuk Sistem Pra-Pelanggaran, Amaran Penukaran Lorong dengan Bantuan Stereng, Kawalan lampu tinggi dan Kawalan kelajuan radar.

Namun bahagian enjinnya tiada perubahan. Pacuan roda-belakang IS masih ditawarkan pada IS 200t, IS 350 dan IS 300h. Is 200t dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo yang sama dengan model SUV NX. Dengan kuasa 241 hp dan tork 350 Nm, ia dipadankan dengan transmisi automatik torque converter lapan-kelajuan.

Baca ulasan pandu uji Lexus IS 200t di sini.

GALERI: Lexus IS 200t F Sport