Bermaz telah mengumumkan sesi panggilan semula terkini untuk kenderaan-kenderaan jenama Mazda di Malaysia yang terjejas dengan isu inflator beg udara Takata. Untuk sesi kali ini, model-model RX-8 (FE), unit-unit tambahan trak pikap BT-50 generasi pertama (UN) dan juga Mazda 2 generasi ke-tiga (DE) terlibat dengan panggilan semula berkenaan dan ia adalah lanjutan dari sesi sebelum ini dan masih lagi melibatkan model Mazda 6 (GG).
Menurut laman web Bermaz, 46 unit Mazda RX-8 yang diproduksi dari tahun 2008 hingga tahun 2011 serta 5,898 unit Mazda 2 yang diproduksi antara 2010 dan 2014 terlibat dalam panggilan semula ini. Kesemua kenderaan yang terlibat ini perlu menukar inflator beg udara bahagian penumpang hadapan.
Untuk trak pikap BT-50 pula, sejumlah 3,384 unit yang diproduksi antara 2004 hingga 2011 disenaraikan untuk panggilan semula ini. 1,551 unit daripadanya perlu untuk menukar kedua-dua inflator beg udara bahagian hadapan (pemandu dan penumpang), manakala 1,833 daripadanya hanya perlu menukar inflator beg udara bahagian penumpang hadapan.

Panggilan semula sebelum ini melibatkan 427 Mazda 6 (GG) yang perlu untuk menukar kedua-dua belah inflator beg udara bahagian hadapan serta 576 unit trak pikap BT-50 generasi pertama yang perlu ditukar inflator beg udara bahagian pemandu.
Untuk memastikan kenderaan berjenama Mazda anda terlibat atau tidak dalam panggilan semula ini, anda perlu layari laman web yang dikhaskan DI SINI, dan masukkan nombor identifikasi kenderaan (VIN) 17-digit anda di ruang bawah laman berkenaan. Bagi mereka yang tidak pasti atau mahu bertanyakan soalan berkaitan serta membuat temu janji untum pembaikkan ini, anda boleh menghubungi talian Mazda Zoom Zoom di nombor 1800-22-8080.
Penukaran inflator beg udara berkenaan mengambil masa antara 1 hingga 1.5 jam, dan stok komponen berkenaan adalah terhad. Oleh itu, kempen panggilan semula ini akan dijalankan berasaskan konsep “first come, first serve”. Isu ini akan melibatkan keselamatan anda dan kenderaan anda. Jadi, jika kereta anda terlibat, segeralah berhubung dengan pihak Bermaz untuk melengkapkan proses penukaran ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.