Sebagai respon kepada surat pembaca yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia semalam mendakwa wujudnya pihak ketiga atau runner yang bukan kakitangan Puspakom bertindak sebagai orang tengah bagi memastikan kenderaan yang diperiksa lulus ujian, syarikat pengendali pusat pemeriksaan kenderaan berkomputer itu hari ini mengeluarkan kenyataannya.
Dalam kenyataan tersebut, Puspakom amat berharap pembaca berkenaan dapat memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan bukti yang ada kepada Puspakom sendiri atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tujuan penyiasatan. Puspakom menegaskan mereka tidak pernah mengiktiraf atau berkompromi dalam memastikan setiap ujian kenderaan dilakukan mengikuti piawaian yang telah ditetapkan.
Puspakom menggesa orang ramai agar jangan sesekali tertipu dengan helah para runner ini yang mendakwa mereka dapat memastikan kenderaan lulus pemeriksaan dengan bayaran tertentu. Menurut Puspakom lagi, pemeriksaan yang mereka jalankan adalah berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan arahan–arahan yang dikeluarkan oleh agensi penguatkuasa kerajaan.
Puspakom menegaskan bahawa sesebuah kenderaan akan gagal pemeriksaan sekiranya keadaan kenderaan tersebut tidak selamat untuk dipandu dan tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan. Sepanjang tahun 2016, sejumlah 72,225 pemeriksaan bas telah dijalankan di Puspakom. Daripada jumlah itu, 23,092 pemeriksaan bas atau 32% telah gagal melepasi pemeriksaan kerana kenderaan tidak mengikuti piawaian.
Dalam kategori pemeriksaan berkala (routine inspection) pula, sebanyak 45,419 pemeriksaan bas telah dijalankan dan 16,850 pemeriksaan (37%) daripadanya telah gagal. Bas yang gagal ini tidak akan diberikan “perakuan pemeriksaan”, dan perlu melalui ujian yang sama semula.
Kesemua maklumat ini dikongsikan dengan pihak penguatkuasa untuk tindakan mereka dan Puspakom menegaskan mandat mereka adalah menjalankan pemeriksaan yang perlu dibawah akta dan arahan-arahan. Tindakan selanjutnya adalah di atas bidang kuasa agensi penguatkuasa.
Menurut kenyataan itu lagi, maklumat-maklumat ini cukup untuk membuktikan Puspakom tidak sewenang-wenangnya meluluskan semua kenderaan yang melalui pemeriksaan yang ketat di pusat pemeriksaan mereka. Adalah menjadi tanggungjawab penuh pemilik atau pemandu untuk memastikan kenderaan mereka diservis, diselenggara dan dijaga mengikut pelan penjagaan pengeluar kenderaan tersebut bagi memastikan kenderaan mereka lulus mana-mana pemeriksaan Puspakom.
Puspakom menasihatkan orang ramai untuk segera melaporkan melalui Polisi Pemberi Maklumat PUSPAKOM di [email protected] atau di talian 03 20528989 jika mengesyaki terdapat sebarang kesangsian ataupun ditawarkan oleh sesiapa untuk membayar wang bagi menjamin kelulusan pemeriksaan kenderaan mereka.
Syarikat itu turut menyatakan mereka telahpun menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) dan Ikrar Integriti Korporat bersama SPRM bertujuan untuk mewujudkan kerjasama berterusan dari aspek pengesanan, penyaluran maklumat, latihan dan khidmat rundingan bagi membanteras isu integriti.
Isu ini turut mendapat perhatian Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan menggesa SPRM untuk menyiasat amalan rasuah yang terjadi di pusat-pusat pemeriksaan kenderaan berkomputer Puspakom.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.