Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat amalan rasuah yang terjadi di pusat-pusat pemeriksaan kenderaan berkomputer Puspakom, menurut laporan Bernama.

“Saya setuju bahawa SPRM perlu menyiasat untuk memastikan tiada rasuah yang dilakukan oleh kakitangan dan pegawai Puspakom, tetapi saya percaya Puspakom sendiri telah melakukan banyak perkara untuk mengurangkan kegiatan rasuah di pusat-pusat pemeriksaannya,” kata beliau ketika mengulas berkenaan salah laku kakitangan Puspakom, khususnya ketika memeriksa kenderaan komersial dan juga teksi.

Tambah Liow lagi, kesalahan rasuah ini merupakan perkara yang serius dan menegaskan siasatan perlu dijalankan untuk mengelakkan tuduhan terus kepada agensi-agensi berkaitan seperti Puspakom dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) apabila berlakunya kemalangan maut.

Dalam kementerian pengangkutan sendiri, dua unit khas telah diwujudkan iaitu Unit Integriti dan Unit Audit Dalaman bagi menyiasat kegiatan rasuah yang melibatkan agensi dan jabatan di bawahnya dengan “cara yang agresif dan komprehensif,” jelas Liow.

“Menerusi unit-unit ini, kami boleh mengenalpasti isu tersebut lebih awal dan mengambil tindakan lebih cepat. Dalam hal integriti, contohnya, jika ada keraguan membabitkan pembekalan, rakyat boleh terus melaporkan perkara tersebut terus kepada saya atau kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan,” katanya.