Semasa majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya Kawasaki di Plaza Tol Sg Besi, kami sempat mendekati seorang wakil Kawasaki Malaysia untuk bertanyakan tentang ketibaan model hangat terbaru iaitu Versys 250 untuk pasaran Malaysia. Ia adalah sebuah model yang ditunggu-tunggu kerana mempunyai kapasiti enjin kecil, tetapi dilengkapi dengan ciri-ciri motosikal dual-purpose.
Jawapan beliau,”pelancaran Kawasaki Versys 250 sebenarnya sudah begitu hampir untuk pasaran Malaysia. Saya tidak boleh memberi tarikh tepat, tetapi ia memang sangat hampir. Namun, meskipun sudah dilancarkan nanti, ia boleh mengambil sedikit masa sebelum boleh tiba kepada pelanggan.”
Versys 250 sudah pun dilancarkan di Indonesia Disember yang lalu, dan spesifikasi motosikal untuk pasaran Malaysia boleh jadi sama dengan unit ini. Ia dikuasakan oleh enjin 249 cc dua siinder selari, DOHC lapan injap dengan sejukan cecair dan berkemungkinan besar diasaskan daripada enjin sama yang digunakan pada model Ninja 250R; dengan janaan kuasa sekitar 29.9 hp pada 10,500 rpm dan 21.7 Nm tork pada 10,000 rpm.
Enjin ini mempunyai sistem suntikan bahan api elektronik (EFI) dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan yang menggunakan klac jenis slipper. Rim pula bersaiz 19 inci di depan, manakala 17 inci di belakang, manakala brek menggunakan cakera tunggal 290 mm di bahagian depan dan 220 mm di belakang, dengan kaliper hidraulik Nissin. Kapasiti tangki minyak yang ada ialah 17 liter.
Di Indonesia, Versys 250 dijual pada harga 61,900,000 rupiah (RM20,397) untuk varian City dan 72,700,000 rupiah (RM23,956) untuk varian Tourer. India juga menjangka ketibaan Versys 250 di pasaran mereka dengan harga jangkaan antara 300,000 rupee (RM19,782) dan 500,000 rupee (RM32,970). Saingan paling dekat Versys 250 adalah KTM Duke 390 Adventure dan BMW G310 GS. Di Malaysia, semua motosikal ini masih belum tiba lagi.
GALERI: Kawasaki Versys 250
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.