Bersempena dengan musim perayaan Tahun Baru Cina yang akan tiba tidak lama lagi, Kawasaki Motors Malaysia mengadakan satu kempen keselamatan jalan raya di Plaza Tol Sg Besi Arah Selatan, dengan tema “jelas dilihat, selamat tunggangan.” Masa ini dianggap sesuai kerana trafik di atas jalan raya bertambah apabila orang ramai ingin balik ke kampung atau bercuti.
Dalam kempen yang dijalankan selama satu hari ini, Kawasaki telah menyediakan kawasan pemeriksaan motosikal, di mana mekanik terlatih Kawasaki akan memeriksa 16 bahagian motosikal, tidak kira jenama. Penunggang yang lalu di kawasan Plaza Tol Sg Besi Arah Selatan boleh berhenti untuk mendapatkan khidmat ini secara percuma. Turut diberikan adalah helmet baru dan jaket berwarna terang.
Ini adalah kali kedua Kawasaki Motors Malaysia mengadakan kempen sebegini, di tempat sama, dan penunggang motosikal sentiasa diberi perhatian kerana golongan ini menyumbang kepada 60 peratus daripada jumlah kemalangan yang berlaku di atas jalan raya.
“Objektif utama kempen dan tema bagi tahun ini adalah memberi kesedaran tentang kepentingan penyelenggaraan motosikal yang teratur dan pakaian cerah yang dapat memastikan penunggang sentiasa dapat dilihat atas jalan raya,” kata pengerusi eksekutif Kawasaki Motors Malaysia, Ahmad Faez Tan Sri Yahya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.