BMW Group Malaysia telah mengumumkan rekod jualan yang dicatatkan pada tahun lalu, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 16% berbanding 2015. Di mana pada tahun 2016, syarikat ini telah menyerahkan sejumlah 10,906 unit kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad kepada para pelanggan di negara ini, berbanding hanya 9,368 unit pada tahun sebelumnya.

Pencapaian yang memecahkan rekod ini adalah selari dengan pencapaian BMW Group Malaysia, yang mencapai jualan tertinggi dalam sejarah pada 2016 dengan jualan sebanyak 2,367,603 kenderaan di seluruh dunia.

Secara terperinci, jenama BMW mencatatkan rekod pertumbuhan iaitu sebanyak 20% pada 2016, dengan penyerahan 9,000 kenderaan BMW daripada 7,515 kenderaan pada 2015. Jenama MINI turut merekodkan pertumbuhan sebanyak 19%, dengan serahan 902 kenderaan MINI daripada 756 pada tahun sebelumnya, sementara BMW Motorrad menyerahkan 1,004 motosikal pada 2016.

Han Sang, Pengarah Urusan dan CEO BMW Group Malaysia berkata, “Sokongan yang berterusan dan semakin meningkat daripada pelanggan dan jaringan pusat edaran di sini merupakan faktor utama bagi pencapaian terbaik kami pada 2016. Bagi pihak BMW Group Malaysia, saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada pelanggan dan pengedar kami di sini kerana telah membantu kami dalam pencapaian ini pada tahun yang begitu mencabar.”

Untuk tahun 2017 ini, BMW Group Malaysia berhasrat untuk memacu teknologi inovatif serta tawaran perkhidmatan premiumnya bagi industri automotif yang bukan hanya akan meningkatkan keselesaan, kemudahan dan kemewahan, tetapi juga menjamin untuk menambahkan lagi Keseronokan Pemanduan Sebenar dan janji premium BMW.

Langkah ini merupakan persediaan bagi inisiatif hab eksport untuk BMW 3 Series, BMW 5 Series dan BMW 7 Series ke Vietnam dan Filipina pada tahun 2018 di mana pengeluar kenderaan premium tersebut akan dapat menyaksikan peningkatan kepakaran dalam keupayaan pemasangan tempatan daripada lebih 7,000 kenderaan pada tahun 2016 kepada lebih 10,000 kenderaan pada tahun 2017 dengan pelaburan lebih RM 10 juta.

Malah syarikat ini juga akan membuka Pusat Edaran Alat Ganti Serantau di Zon Perdagangan Bebas di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Iskandar Malaysia. Ia akan dibina di kawasan seluas lebih 45,000 meter persegi dengan pelaburan sejumlah lebih RM 130 juta, sekaligus akan menjadi salah sebuah pusat BMW terbesar di rantau ini.

“Kami akan meneruskan momentum yang telah diwujudkan di sini selama ini di mana kami akan memfokuskan kepada perkenalan produk, inovasi serta perkhidmatan premium terkini kepada pelanggan kami yang akan mendahului dan memacu industri ini,” kata Han.

Oleh itu, BMW Group Malaysia akan melaksanakan program Voice to the Customer serta Road Side Assistant (RSA) yang terbaharu pada 2017. Berdasarkan konsep piawaian global NET Promoter Score (NPS), Voice to the Customer akan menjadi pengukur tahap kepuasan pelanggan bagi peringkat yang seterusnya dalam industri.

Sementara program RSA yang baharu ini akan menjadi penawaran perkhidmatan yang paling komprehensif dalam industri automotif Malaysia bagi penjagaan pelanggan, ketenangan fikiran dan penyenggaraan semasa di atas jalan.

“Indeks kepuasan pelanggan kami merupakan yang tertinggi dalam industri sepanjang lima tahun lalu. Bagaimanapun, sebagai langkah untuk menjadi lebih relevan dalam segmen premium yang sering berubah, kami akan melaksanakan piawaian ukuran global yang baru serta program penjagaan harian premium di atas jalan untuk memastikan pelanggan kami di sini mendapat yang terbaik.” kata Han.