Jika laporan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) yang diumumkan sebelum ini memberi perhatian terhadap jumlah jualan kenderaan dan menilai prestasi pasaran berdasarkan Total Industry Volume (TIV), Institut Automotif Malaysia (MAI) pula memberikan penekanan kepada satu lagi aspek yang sama penting dalam menentukan prestasi automotif di Malaysia, secara lebih holistik dan menyeluruh, iaitu melalui perangkaan Total Production Volume (TPV).

Mengulas tentang perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari percaya bahawa melihat kepada TPV juga sama pentingnya dalam menilai prestasi industri. “Ini kerana, ia tidak hanya dinilai melalui jualan kenderaan semata-mata, tetapi turut mengambil kira pengeluaran kenderaan untuk tujuan eksport (merujuk Malaysia sebagai hab pengeluaran serantau) oleh industri tempatan,” ujar beliau.

Mengambil kira semua hal itu, MAI memaklumkan bahawa TPV bagi industri automotif di Malaysia pada 2016 ialah pada kadar 545,253 unit. Bagi tahun 2017, jumlahnya disasarkan kepada 572,003 unit. Mengulas lanjut tentang Malaysia sebagai hab serantau bagi tujuan eksport, menjelang tahun 2020, lapan pengeluar telah memberikan komitmen untuk mengeksport sebanyak 122,610 unit kenderaan dari Malaysia.


Jumlah dan nilai eksport industri automotif Malaysia

Manakala perbincangan juga masih dijalankan bersama tiga lagi pengeluar untuk mendapatkan komitmen sama bagi tambahan 27,390 unit kenderaan, menjadikan sasaran eksport menjelang tahun 2020 ialah 150,000 unit. Bagaimanapun, tahun lalu setakat bulan Jun, angka kenderaan yang dieksport mencecah 15,603 unit. Bagi 2017, MAI mensasarkan 31,000 unit kenderaan akan dieksport.

Memberi contoh kepada perkara ini, MAI merujuk kepada pengeluar-pengeluar seperti Mazda, Subaru dan Volvo yang giat menjadikan Malaysia sebagai hab pemasangan kenderaan masing-masing, sebelum dieksport untuk memenuhi permintaan di pasaran serantau seperti Thailand dan Indonesia.

Jumlah eksport Malaysia bagaimanapun tidak hanya diwakili oleh kenderaan sahaja. Sektor komponen dan bahagian kenderaan juga memainkan peranan yang sangat penting. Pada 2014, ia melibatkan nilai eksport sebanyak RM4.7 bilion.

Tahun 2015 menyaksikan nilainya melepasi sasaran awal RM7 bilion kepada RM9.8 bilion, manakala setakat Jun 2016, ia berada pada nilai RM7 bilion. Dengan data penuh bagi 2016 yang belum diperolehi, MAI yakin dapat melepasi nilai RM11 bilion seperti yang disasarkan. Bagi 2017, sasarannya dipertingkatkan lagi kepada RM12 bilion.

Turut termasuk di dalam perkiraan industri oleh MAI ialah apa yang dikenali sebagai remanufactured parts and components. Setakat Jun 2016, sejumlah RM282 juta komponen jenis ini (oleh 30 buah syarikat) telah dieksport, dan MAI yakin mampu mencapai sasaran awal RM513 juta yang ditetapkan untuk tahun lalu. Untuk 2017, angka ini disasarkan untuk mencapai nilai RM750 juta.

Peratusan kenderaan dengan status EEV yang dijual dalam pasaran tempatan juga meningkat, mencatatkan kadar 39.3% setakat November 2016. Ini juga melibatkan sebanyak 59 buah model yang diberi pengiktirafan sebagai kenderaan cekap tenaga tahun lalu. Jumlah jualan kenderaan EEV dalam pasaran tempatan disasarkan kepada 50% bagi tahun 2017.

Jumlah pekerjaan yang dicipta juga sangat memberangsangkan. Bagi sektor pengilangan, 25,850 pekerjaan dicipta, pertambahan sebanyak 8.7% berbanding 2015. Daripada jumlah itu, 10,130 pekerjaan dicipta melalui program Human Capital Development (HCD) yang diusahakan oleh MAI, yang menawarkan dua sijil kepada mereka yang berminat dan layak – Automotive Industry Certification Engineering (AICE) bagi pemegang ijazah dan Industry-Led Professional Certificate (IPC) bagi lepasan SPM.

Bagi sektor lepas jualan (aftersales) pula, sebanyak 24,671 pekerjaan berjaya diwujudkan pada 2016, berbanding 15,297 pekerjaan pada 2015. Daripada jumlah ini, 3,477 pekerjaan adalah hasil daripada program HCD oleh MAI.