November tahun lalu, Ducati memperkenalkan dua tambahan baharu kepada keluarga model Scrambler iaitu Desert Sled dan Cafe Racer. Jadi keseluruhannya kini, bagi Scrambler 803 cc terdapat tujuh variasi apabila dicampur Urban Enduro, Icon, Classic dan Full Throttle, manakala satu lagi, Sixty2 menggunakan enjin 399 cc.

Wakil paultan.org, Durrani Sharom juga berada Almeria, Sepanyol untuk merasakan sendiri pengalaman menunggang Scrambler Desert Sled, tetapi, sebelum kami paparkan laporan tunggang ujinya, kenali dahulu model istimewa ini – yang bukan setakat menerima perubahan penampilan, malah dibangunkan secara rapi selama lebih tiga tahun.

Inspirasi penghasilan Scrambler Desert Sled datang daripada motosikal offroad Ducati yang cukup terkenal pada tahun 60 dan 70-an dulu, di mana ia menggunakan enjin berkapasiti lebih 500 cc, ringkas, menggunakan tayar offroad, serta suspensi dan rim yang bersesuaian.

Bagi membina Desert Sled ini, Ducati mengambil asas daripada Scrambler Icon, dan disebabkan itu, enjinnya juga adalah sama iaitu unit yang melepasi tahap Euro 4 – 803 cc dua silinder L, dengan sistem penyejukan udara dan minyak. Digabungkan dengan transmisi enam kelajuan dan klac jenis basah, enjin ini boleh menghasilkan 75 hp pada 8,250 rpm dan 68 Nm pada 5,750 rpm. Enjin Desmodue ini mempunyai selang masa servis 12,000 km.

Bagi menjadikan penyampaian kuasa motosikal ini lebih bersesuaian dengan keadaan di mana ia akan digunakan, Ducati membuat pelarasan mekanikal kepada kawalan pendikit Desert Sled, menjadikan ia lebih lembut dan tidak terlalu agresif. Pendikit motosikal ini masih lagi menggunakan sistem kabel.

Agak sukar untuk meletakkan Desert Sled dalam satu segmen atau ketegori kerana ia seperti membuka segmen sendiri dengan rupa klasik, tetapi berteknologi moden dan mempunyai kelebihan offroad. Ducati sendiri tidak meletakkannya dalam mana-mana segmen untuk saingan, namun memberitahu ia sesuai untuk pelbagai keadaan, baik urban, mahupun offroad yang lembut.

Bagi mendapatkan kemampuan itu, beberapa perubahan diberi, antaranya seperti suspensi terbalik (USD) boleh laras sepenuhnya Kayaba di hadapan, dengan pergerakan 200 mm, penyerap hentak belakang Kayaba dengan katrij gas berasingan dan pelarasan pra beban serta lantunan, rim aluminium 19 inci jenis lidi (spoked) di hadapan, 17 inci di belakang dan tayar Pirelli Scorpion Rally STR – 120/70 di hadapan dan 170/60 di belakang. Desert Sled adalah motosikal pertama yang menggunakan tayar ini, dan ia dibangunkan bersama dengan Pirelli.

Ducati merasakan, penukaran komponen itu sahaja tidak mencukupi, dan lebih lagi dilakukan. Antaranya adalah pada bahagian kerangka Trellis-nya. Jika dibandingkan dengan Scrambler yang lain, beberapa palang tambahan diberikan pada Desert Sled, dan tapak enjin juga berubah. Memikirkan hentakan kasar yang akan diterima oleh motosikal ini apabila pergi offroad, Ducati telah mengubah tapak lengan ayun dan enjin supaya tidak akan menerima kesan hentakan tersebut secara terus.

Bahagian seterusnya yang berbeza dengan Scrambler lain adalah jarak roda yang lebih panjang (1,505 mm), lengan ayun aluminium lebih panjang (+25 mm), ergonomik baharu – pemegang lebih lebar dan ke hadapan, tapak peletak kaki lebih ke hadapan dan jarak antara tempat duduk dan peletak kaki yang lebih jauh. Tempat duduk Desert Sled juga berbeza – lebih kurus di hadapan supaya penunggang dapat mengepit tangki dengan peha dan lebih kembang di belakang. Ducati juga ada menyediakan pilihan tempat duduk yang lebih rendah 20 mm.

Untuk brek, terdapat sistem ABS yang boleh ditutup, dan barangan yang digunakan adalah sama seperti Scrambler lain, iaitu cakera 330 mm dan angkup Brembo radial 4 piston di hadapan, dan cakera 245 mm dan angkup satu piston terapung di belakang. Walaubagaimanapun, hos bendalir brek Desert Sled kini menggunakan salutan besi dan laluan baharu supaya lebih tahan.

Scrambler Desert Sled mempunyai berat keseluruhan, siap dengan bendalir dan minyak 207 kg, dan barangan standard lain yang datang padanya adalah tangki besi, penghadang lumpur roda hadapan tinggi, lampu utama hadapan dengan light guide LED, jeriji pelindung lampu hadapan, panel meter LCD, pelindung bahagian bawah enjin, ruang simpan di bawah tempat duduk dengan soket pengecas USB dan penghadang lumpur belakang lebih panjang.

Bagi menjadikannya lebih menarik dan bersesuaian dengan kehendak pemilik yang berbeza, Scrambler Desert Sled juga didatangkan dengan pelbagai pilihan aksesori seperti beg barangan, kemasan tangki, besi pelindung enjin di tepi, pelindung penyejuk minyak enjin, span pelindung di bahagian pemegang dan pelbagai lagi.

Bagi pasaran Asia, Scrambler Desert Sled akan dikeluarkan oleh kilang Ducati di Rayong, Thailand bermula bulan Mac dan pelancaran pertamanya juga dijangka berlaku dalam bulan yang sama. Malaysia dijangka menerima Desert Sled ini bersama beberapa lagi model Ducati baharu termasuk Supersport, Supersport S, Monster 797, Multistrada 950 dan Scrambler Cafe Racer pada pertengahan tahun ini.

Sementara itu, saksikan dahulu galeri Scrambler Desert Sled ini, dan dalam masa terdekat akan datang, kami akan menyiarkan pula laporan tunggang ujinya; daripada pengalaman wakil kami yang pergi ke Sepanyol.