Sistem pacuan semua roda Quattro dari Audi – lebih 36 tahun dalam pasaran, lapan juta unit dijual

Sistem pacuan semua roda Quattro dari Audi – lebih 36 tahun dalam pasaran, lapan juta unit dijual

Minggu lalu, Audi telah mencatatkan satu lagi peristiwa bersejarah setelah kilang San José Chiapa mereka di Mexico menyiapkan sebuah Audi Q5 berwarna Garnet Red, yang juga unit ke-8 juta dilengkapi sistem pacuan semua roda Audi Quattro.

Audi telah menggunakan teknologi Quattro ini lebih dari 36 tahun, setelah mula diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1980. Hari ini, sistem Quattro diberikan standard pada SUV Audi Q7, Audi A4 dan Audi A6 allroad, A8 limo, R8 dan semua model S dan RS. Manakala semua model lain pula, sistem Quattro ini ditawarkan sebagai opsyen.

Mengikut statistik, pada tahun 2015, 44% pelanggan Audi di seluruh dunia memilih model yang dilengkapi sistem Quattro, membuktikan ia merupakan pilihan yang popular. Dari keseluruhan jumlah tersebut, model Q5 merupakan model yang paling tinggi iaitu sekitar 262,000 unit. Model-model dengan sistem Quattro ini juga mencatatkan jumlah jualan yang agak kuat di Amerika Syarikat, Kanada, Russia dan Timur Tengah. Di Jerman sendiri, kenderaan yang dilengkapi sistem Quattro mencatatkan jualan sebanyak 122,048 unit.

“Quattro” berasal dari bahasa Itali yang bermaksud empat. Sistem pacuan semua roda berkenaan diperkenalkan buat pertama kali pada model Ur-Quattro. Untuk mendemonstrasikan kebolehan sistem Quattro ini, Audi mula bersaing dalam kejohanan Rali Dunia (WRC), dan selepas itu merubah terus perlumbaan berkenaan buat selama-lamanya.

Sebelum penyertaaan Audi ke dalam dunia rali, semua jentera dalam perlumbaan tersebut menggunakan pacuan dua roda, kebanyakkannya pacuan belakang, kerana mereka berpendapat sistem pacuan semua roda terlalu berat dan tidak kompetitif. Setelah FIA membenarkan penggunaan pengecas turbo, Audi menggunakan kesempatan ini untuk ‘melenyapkan’ kelemahan sistem pacuan semua roda berkenaan.

Jentera-jentera Audi dilihat hampir tidak boleh dicabar selepas itu atas ‘traction‘ yang begitu menakjubkan dan ia boleh dipandu dengan laju pada hampir kesemua permukaan jalan.

Untuk memperlihatkan betapa mudahnya jentera ini dipandu, Audi turut menampilkan seorang pemandu wanita dalam pasukannya – Michèle Mouton – pada tahun 1981, dan Mouton akhirnya dinobatkan sebagai naib juara keseluruhan WRC 1982 dibelakang seorang lagi pemandu Audi, Walter Rohl, setelah berjaya menjuarai empat pusingan pada musim berkenaan. Kesemua jentera WRC selepas itu ‘terpaksa’ juga menggunakan sistem pacuan empat roda bagi memastikan mereka boleh mengejar kereta-kereta Audi.

Sistem pacuan semua roda Quattro generasi pertama menggunakan karbeda tengah dengan pengunci (center locking diffential) manual. Sistem berkenaan kemudiannya ditukar kepada penggunaan LSD tengah jenis Torsen untuk mengagihkan tork bahagian hadapan dan belakang pada tahun 1986.

Sistem generasi ketiga hadir pada tahun 2005, diberikan mekanisma gear planetary yang mampu memberikan agihan kuasa dan tork yang tidak simetri serta lebih dinamik. Sistem ini masih lagi dibangunkan dari masa ke masa oleh Audi untuk memberikan prestasi yang lebih baik.

Sistem pacuan semua roda Quattro dari Audi – lebih 36 tahun dalam pasaran, lapan juta unit dijual

quattro drivetrain

Hari ini, Audi membina sistem Quattro dalam pelbagai versi bagi menyesuaikan penggunaannya pada setiap model berlainan. Untuk kereta kompak dengan kedudukan enjin melintang, ia diberikan LSD hidraulik klac pelbagai-lapisan yang dikawal secara elektronik pada gandar belakang.

Pada model kereta sport R8 yang menggunakan konfigurasi enjin tengah pula, karbeda klac pelbagai lapis berkenaan diletakkan pada gandar hadapan. Sistem aktif ini akan mengalirkan tork yang berbeza antara gandar hadapan dan belakang bergantung kepada situasi bagi memastikan dinamik pemanduan yang jitu diberikan setiap masa.

LSD bahagian tengah masih lagi diberikan pada model-model Audi yang diberikan pemasangan enjin menegak kebelakang di bahagian hadapan. Unit karbeda tersebut juga masih lagi menggunakan mekanisma gear planetary mekanikal sepenuhnya. Sistem ini akan membahagikan tork antara gandar hadapan dan belakang dalam nisbah 40:60.

Unit karbeda sport diberikan pada gandar belakang pada model-model dengan enjin spesifikasi tertinggi. Unit ini akan mengagihkan tork antara hadapan dan belakang secara aktif menerusi dua unit yang bertindih, setiap satunya dengan klac pelbagai-lapis elektro-hidraulik. Dalam situasi yang paling sukar, sistem ini mampu mengalirkan hampir kesemua tork pada satu roda sahaja, bagi menghindarkan dari berlakunya understeer.

Sistem pacuan semua roda Quattro dari Audi – lebih 36 tahun dalam pasaran, lapan juta unit dijual

Pembangunan terbaharu dari Audi dalam penghasilan sistem Quattro ini menampilkan teknologi ultra. Ia direka untuk model berenjin hadapan dengan kedudukan menegak kebelakang, menggunakan klac pelbagai-lapis yang kawal secara aktif, diletakkan pada penghujung sistem transmisi yang mampu mengagihkan tork secara bervariasi antara gandar pacuan dan juga sistem pacuan semua roda.

Pemisah yang diletakkan pada gandar belakang boleh memutuskan hubungan kepada roda belakang. Kedua-dua klac dibuka pada situasi pemanduan biasa di mana sistem pacuan semua roda tidak memberikan apa-apa kelebihan ketika itu. Dengan cara ini, komponen yang menghasilkan geseran pada masa tersebut tidak dihubungkan.

Unit kawalan elektronik bagi sistem ini menggunakan pelbagai data untuk menghasilkan status kereta berkenaan untuk setengah saat yang akan datang. Jika sistem berkenaan mengesan situasi yang diperlukan sistem pacuan semua roda beroperasi, contohnya roda bahagian dalam bakal kehilangan cengkaman, sistem Quattro diaktifkan secara serta-merta. Ini menjadikan sistem pacuan semua roda berkenaan berada dalam keadaan bersedia pada setiap masa. Menurut Audi, konsep sistem baharu ini meningkatkan kecekapannya tanpa mengorbankan traction atau dinamik pemanduan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required