Ketika Audi A3 generasi terbaru tiba nanti, ia akan turut ditambah dengan versi coupe empat pintu bagi barisan penawarannya, sebagai tambahan kepada versi hatchback, Sportback lima pintu, cabriolet dan sedan empat pintu. Disifatkan akan mengambil rekaannya daripada model TT Sportback Concept (gambar), Audi A3 Coupe akan menjadi pesaing kepada model Mercedes-Benz CLA.

Dengan Audi menggunakan pendekatan garis bumbung yang lebih “tajam” dan sporty, Mercedes-Benz A-Class akan datang pula menggunakan pendekatan sebaliknya; ia akan ditampilkan sebagai model sedan, seperti yang dipertontonkan melalui arca konsep Aesthetics A.

Lanjutan model ini bertujuan untuk mengunjurkan lagi penawaran barisan kenderaan kompak Audi agar lebih menghampiri penawaran kelas eksekutif; merapatkan jurang dengan model A4, tanpa kenaikan harga yang terlalu ketara. Ini langkah yang sama jika dibandingkan penawaran antara CLA dan CLA Shooting Brake bagi model kompak yang dibangun menggunakan platform A-Class oleh Mercedes-Benz.

Penambahan varian bagi model baru ini sejajar dengan sasaran Audi untuk mempunyai 60 model individu yang dijual menjelang tahun 2020. Ketibaan A3 Coupe itu juga akan didahului oleh A3 hatchback, dijangka pada 2019 nanti. Ia akan diasaskan daripada platform MQB yang ada kini, dengan jangkaan akan menggunakan enjin dari barisan sedia ada Kumpulan Volkswagen kini.

Ia akan ditampilkan dengan sistem pacuan roda depan dan juga semua roda, dengan gandingan transmisi manual dan automatik klac berkembar. Dengan arah tuju baru Kumpulan Volkswagen yang cenderung terhadap kenderaan elektrik, A3 ini juga dijangka akan ditawarkan dengan sistem plug-in hybrid dan versi elektrik sepenuhnya juga tidak mustahil.