DRB-HICOM Berhad (DRB-Hicom), selaku 100% pemilik Proton, percaya pengeluar kenderaan pertama nasional ini mampu melakar kejayaan lebih cemerlang dengan adanya rakan strategik asing (FSP). Di mana, bersama FSP, Proton mampu menerokai lebih banyak platform, penjana kuasa dan teknologi baharu bagi meningkatkan kualiti produk mereka.

Walau bagaimana pun, DRB-Hicom masih kekal komited untuk memacu Proton ke arah yang lebih gemilang, walau pun akui alami kesukaran untuk mencari FSP yang terbaik demi kepentingan bersama. Sejarah telah menunjukkan bahawa kerjasama antara pengeluar kenderaan kecil dan besar mampu membantu meningkatkan kredibiliti syarikat tersebut.

Justeru, DRB-Hicom berkeyakinan dengan adanya FSP yang tepat, Proton mampu mempertingkatkan ekuiti jenama dan menjadi pengeluar kenderaan yang berjaya seperti mana yang dicipta pada era 80an dan 90an.

Bagi mencari FSP yang paling tepat, DRB-Hicom akan menilai tiga kriteria utama iaitu kesesuaian strategik, operasi dan kebudayaan. Bagi kesesuaian strategik, ia adalah diperlukan bagi memastikan kesemua pihak menerima faedah dari sudut teknologi dan produk, yang diperlukan dalam pasaran masing-masing. Bagi menilai rakan potensi, DRB-Hicom akan memastikan teknologi yang dibawa mampu diperkembangkan di pasaran Asia terlebih dahulu sebelum menerjah arena global.

Begitu juga dengan kesesuaian operasi di mana Proton dan rakan strategiknya harus saling berkongsi kekuatan dan melengkapi antara satu sama lain. Di mana struktur operasi sedia ada di antara kedua belah pihak harus boleh saling bergandingan dalam kerjasama ini.

Dan dalam apa jua bentuk kerjasama, kesesuaian kebudayaan juga antara teras kejayaan. “Penyatupaduan” antara kedua-dua pihak dilihat mampu memacu Proton melangkah ke hadapan, malah ia juga mampu mempertingkatkan lagi pelan perancangan jangka pendek dan panjang bagi operasi sedia ada dari pihak FSP.

Biar pun menerima banyak tawaran untuk menjadi rakan strategik Proton, namun tapisan dan penilaian harus dilakukan secara teliti dan terperinci. Walau bagaimana, FSP juga berkeupayaan menerima banyak faedah menerusi kerjasama ini. Antaranya menggunakan model mampu milik Proton sedia ada termasuk Persona, Saga, Preve dan Iriz untuk mana-mana pasaran spesifik. Di mana kesemua model ini diproduksi mengikut standard yang tinggi dan mencapai piawaian antarabangsa.

Selain itu, FSP juga boleh meningkatkan kapasiti pengeluaran mereka menerusi kilang Proton di Tanjung Malim. Buat masa ini, kilang terbabit mengalami pertumbuhan kadar yang rendah, justeru dengan mengoptimakan segala fasiliti moden yang ada turut memberikan faedah buat tenaga kerja tempatan. Ini bermakna, rakyat Malaysia juga menerima faedah peningkatan peluang pekerjaan dengan menggunakan kapasiti sepenuhnya dari kilang terbabit.

Malah Proton mempunyai pasukan pembangunan dan penyelidikan dalaman, juga termasuk dengan teknologi yang digunakan bagi Lotus Cars UK. Gabungan kejuruteraan antara Proton dan Lotus ini juga menawarkan peluang kepada FSP untuk mempertingkatkan keupayaan sedia ada mereka.

Biarpun bakal mempunyai rakan strategik, Proton masih kekal sebagai pengeluar kenderaan nasoinal pertama di Malaysia dan juga satu-satunya pengeluar kenderaan ASEAN. Malah dengan adanya FSP ini, ia dilihat mampu meletakkan Proton ke tahap lebih tinggi, bukan sahaja di Malaysia, bahkan di peringkat dunia.

Sebagai pemegang saham utama, DRB-Hicom juga akan menilai rakan kongsi berpotensi dalam penggunaan rangkaian vendor tempatan sedia ada. Ini adalah sangat penting kerana DRB-Hicom juga mahu menjaga kepentingan vendor sedia ada tanpa menjejaskan mana-mana pihak.

Seperti mana yang pernah dinyatakan sebelum ini, DRB-Hicom sedang menantikan penyerahan bidaan daripada syarikat yang berminat, selepas ia melepasi tahap penilaian. Malah DRB-Hicom mensasarkan pemilihan ini akan selesai menjelang suku pertama tahun ini, dan pengumumannya akan dilakukan apabila ia telah dimuktamadkan.