Pada 10 Februari lalu, seorang bayi berusia dua bulan maut dipercayai tercampak dari pangkuan ibunya sejurus kereta dinaiki bersama tiga ahli keluarganya yang lain terlibat kemalangan di Jalan Rim-Nyalas, Jasin, Melaka. Bayi lelaki itu dikatakan meninggal dunia semasa perjalanan dari Hospital Jasin ke Hospital Melaka akibat kecederaan parah yang dialaminya dalam kemalangan tersebut.

Menurut sumber, akibat pelanggaran itu bayi berkenaan dipercayai tercampak dari tempat duduk penumpang hadapan manakala ibu dan nenek cedera parah termasuk bapa saudaranya yang tersepit di bahagian pemandu, laporan Sinar Harian.

Telah banyak kali kejadian seumpama ini berlaku, apabila bayi atau kanak-kanak kecil tercampak keluar daripada kenderaan akibat kemalangan jalan raya. Dan rata-ratanya telah mengorbankan nyawa mereka. Ingatkah anda tentang kemalangan jalan raya di Lebuhraya Duke pada tahun 2015 lalu? Seorang bayi perempuan comel berusia tujuh bulan, Nur Firuza Annisa, terkorban dalam kemalangan tersebut selepas tercampak keluar dari kenderaan yang dipandu oleh bapanya yang dipercayai digesel dari sebelah kanan oleh sebuah kereta Myvi.

Kebanyakan kes sebegini berlaku adalah kerana bayi atau kanak-kanak dipangku oleh penumpang dewasa dan tidak diletakkan di kerusi keselamatan bayi/kanak-kanak. Apabila kenderaan dibrek secara mengejut atau terlibat dengan perlanggaran, risiko untuk bayi mahu pun kanak-kanak terbabit tercampak keluar kenderaan adalah besar. Atau pun mungkin terhantuk di papan permuka atau tempat duduk hadapan, yang kedua-duanya bukan sahaja boleh menyebabkan risiko kecederaan, bahkan kehilangan nyawa.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Miros pada tahun 2013, kemalangan di jalan raya merupakan penyebab nombor satu kematian kanak-kanak di negara ini. Di mana, statistik menunjukkan seramai 53 orang kanak-kanak dan bayi terlibat dalam kemalangan dengan 31 daripada mereka maut.

Beberapa tahun lepas, Persatuan Automobil Malaysia (AAM) pernah mengeluarkan kenyataan, seorang bayi atau kanak-kanak kecil di bawah berat 7 kg boleh tercampak ke hadapan apabila berlaku pelanggaran dengan impak bersamaan seorang dewasa yang terjatuh dari tingkat lima bangunan.

Mungkin ramai yang beranggapan, dengan memangku atau mendukung bayi/kanak-kanak di dalam kenderaan oleh penumpang dewasa, juga adalah selamat bagi si kecil. Namun sekuat mana tangan penumpang dewasa itu mampu memegang si kecil seandainya berlaku perlanggaran? Adakah si penumpang dewasa senantiasa bersiaga bagi menghadapi kecelakaan dengan memegang erat si kecil? Malang tidak berbau, apa jua yang berlaku di hadapan sukar untuk terjangka.

Malahan penumpang dewasa juga berhadapan dengan risiko kecederaan atau kematian akibat perlanggaran. Jadi, apakah jaminan kita sebagai seorang dewasa, dengan memangku dan memegang si kecil kesayangan kita, mereka akan selamat walau pun kenderaan yang dinaiki terbabit dalam kemalangan jalan raya?

Jadi, apakah alasan anda untuk tidak membeli kerusi keselamatan bayi/kanak-kanak?

Saya sempat membuat sedikit kaji selidik, bertanyakan kepada rakan-rakan yang mempunyai anak kecil tetapi tidak menggunakan kerusi keselamatan bayi/kanak-kanak di dalam kenderaan. Dua alasan utama yang diberikan oleh kebanyakan mereka; pertama, kerusi keselamatan bayi/kanak-kanak mahal. Tidak mampu untuk membelinya (waima si ayah mampu untuk menukar rim kereta dan si ibu boleh membeli beg tangan berjenama atau ‘jenama tiruan’ dengan Gred AAA).

Alasan kedua, si kecil akan meraung, mengamuk dan membentak kerana tidak mahu duduk di kerusi keselamatan bayi/kanak-kanak berkenaan. Maka, daripada ‘sakit telinga’ atau ‘panas hati’, maka ibu bapa beralah dan membiarkan anak kecil ‘duduk begitu sahaja’ atau dipangku oleh penumpang lain.

Selain itu, terdapat beberapa alasan lain yang turut diberikan; antaranya ruang dalam kereta kecil dan jika letak kerusi keselamatan bayi/kanak-kanak, ia akan menjadi lebih sempit (terutamanya bagi kereta jenis kompak mahu pun hatchback). Bukan itu sahaja, ada juga ibu bapa yang berkata mereka merupakan pemandu yang berhemah dan sentiasa mengamalkan pemanduan selamat, tetapi tahukah anda, banyak kemalangan berlaku adalah berpunca daripada kecuaian pemandu lain?

Malah ada juga ibu bapa yang telah memilih ‘tempat duduk atau tilam khas’ untuk anak-anak mereka yang melambak dijual menerusi dalam talian kerana menganggap ia mampu membuatkan si kecil lebih selesa, senang nak ‘berguling-guling’ di dalam kereta terutamanya jika melibatkan perjalanan jauh. Begitu juga, “Ya, saya sudah membeli kerusi khas untuk anak saya,” tetapi ia bukanlah kerusi keselamatan bayi/kanak-kanak yang sepatutnya.

Tempat duduk atau tilam sebegini adalah tidak sesuai bagi anak-anak kecil anda

Sikap ambil mudah segelintir ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak di dalam kenderaan adalah agak membimbangkan. Selain pelbagai alasan yang diberikan kerana tidak mahu membeli kerusi keselamatan bayi/kanak-kanak, mereka lebih senang membiarkan anak-anak bebas di dalam kenderaan. Ada yang memanjat, melompat-lompat dan sebagainya.

Namun cuba bayangkan, sekiranya kenderaan dibrek secara mengejut atau pun dilangggar oleh kenderaan lain, kebarangkalian si kecil itu boleh tercampak keluar dari kenderaan, atau pun paling tidak, terhantuk di permukaan pintu atau papan pemuka, yang kedua-dua perkara ini bukan setakat boleh mendatangkan kecederaan, bahkan mampu menjadi penyebab kematian.

Oleh itu, mengapa pentingnya anda perlu meletakkan si kecil di kerusi keselamatan bayi/kanak-kanak dalam kenderaan?

Menurut kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga pada tahun 2015, penggunaan kerusi keselamatan bayi/kanak-kanak mampu mengurangkan risiko kecederaan atau kematian kepada 70% dan 54% bagi bayi dan kanak-kanak berumur satu hingga empat tahun. Malah ia juga terbukti mengurangkan kecederaan atau kematian sebanyak 59% bagi kanak-kanak berusia empat hingga tujuh tahun.

Malah pada penghujung tahun lalu, kementerian yang sama ingin mendesak agar pelaksanaan penggunaan kerusi itu diwajibkan lebih awal daripada tempoh asal pada 2019. Walau bagaimana pun, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ia akan diwajibkan mengikut perancangan awal yang sudah dipersetujui sebelum ini iaitu pada tahun 2019.

Namun, sekiranya anda lebih sayangkan nyawa anak-anak berbanding harta benda, lakukan pengorbanan ini; belilah kerusi keselamatan bayi/kanak-kanak yang menepati piawaian dan standard yang sepatutnya. Walau pun mungkin harus mengeluarkan kos yang agak tinggi, demi anak-anak anda, berkorbanlah sewajarnya.

Jika anda tidak tahu cara penggunaan atau aplikasi kerusi keselamatan bayi/kanak-kanak, tonton saja video tutorial menerusi saluran Youtube. Malah kebanyakan pembekal jenama popular kerusi ini mempunyai saluran Youtube sendiri yang menunjukkan langkah demi langkah untuk mengaplikasikannya. Bermula 1 Januari 2015, semua penyedia kenderaan diwajibkan menyediakan kelengkapan dan kemudahan untuk tempat duduk khas bayi dan kanak-kanak atau ISOFIX bagi kenderaan yang dihasilkan selepas tarikh itu. Jadi ini memudahkan anda untuk memasang kerusi ini di dalam kenderaan.

Anda boleh melatih anak-anak anda sedari kecil untuk duduk di kerusi keselamatan bayi/kanak-kanak dalam kenderaan ini. Apabila mereka sudah terbiasa, pastinya ia kurang mendatangkan sebarang masalah termasuk memberontak kerana ‘kurang bebas’. Berikan permainan, menonton video menerusi tablet/ipad atau buku yang sewajarnya untuk mereka leka sepanjang perjalanan.

Apa salahnya kita mengikut jejak negara lain yang telah memperuntukan undang-undang mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan bayi/kanak-kanak, demi kebaikan. Kebanyakan negara di Eropah telah mewajibkan ibu bapa meletakkan anak mereka kerusi keselamatan bayi/kanak-kanak atau berdepan dengan tindakan undang-undang kerana lalai melindungi keselamatan anak masing-masing.

Malah di Jerman, kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dan berketinggian kurang 1.5 meter wajib diletakkan di kerusi keselamatan bayi/kanak-kanak atau ‘booster’ iaitu tempat duduk kanak-kanak yang memberi perlindungan daripada hentakan tepi. Kanak-kanak juga dilarang duduk di tempat duduk penumpang hadapan tanpa menggunakan kerusi khas yang termaktub dalam undang-undang di negara itu.

Begitu juga di Perancis, kanak-kanak di bawah usia 10 tahun tidak dibenarkan duduk di bahagian hadapan ketika kenderaan bergerak, manakala bayi berusia bawah sembilan bulan dengan berat kurang sembilan kilogram perlu diletakkan di kerusi khas bayi di tempat duduk belakang dan menghadap ke belakang.

Waima, peraturan ini masih belum dikuatkuasakan di Malaysia, namun adalah tidak salah sekiranya anda melaksanakannya terlebih dahulu. Ya, anda seorang ibu bapa yang penyayang tetapi jadilah yang lebih penyayang dengan lebih menitik beratkan soal keselamatan dan nyawa anak-anak anda. Jangan sampai nasi sudah menjadi bubur, beringatlah sebelum terkena.