paultan.org_free_child_seat_rental_-005

Sebagai maklum balas kepada kenyataan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim semalam, yang ingin mendesak agar pelaksanaan penggunaan kerusi itu diwajibkan lebih awal daripada tempoh asal pada 2019, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menjelaskan setakat ini ia akan diwajibkan mengikut perancangan awal yang sudah dipersetujui sebelum ini.

The Star melaporkan, hal ini adalah bagi membolehkan pengeluar kenderaan mempunyai cukup masa bagi pemasangan cagak atau tapak bagi kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan baharu keluaran mereka. Liow menjelaskan, perkara berkenaan sudah dimaklumkan dan pengeluar perlu menyediakannya bagi kenderaan yang dikeluarkan bermula tahun ini.

“Kami sudah maklumkan kepada semua pengeluar bahawa setiak kenderaan yang dipasang atau di bawa masuk bermula tahun ini perlu dilengkapi dengan tapak kerusi keselamatan berkenaan untuk membolehkan ia dipasang dengan kemas dan selamat dalam kenderaan yang dijual,” ujar Liow.

liow tiong lai

Rohani semalam menyatakan beliau akan bertemu dengan wakil dari Kementerian Pengangkutan dan pihak berkepentingan yang lain untuk membincangkan hal itu berikutan kematian tragis seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Ulu Tiram, Johor Sabtu lalu. Kanak-kanak itu terjatuh keluar daripada kereta yang dipandu oleh bapanya sebelum digilis oleh kenderaan lain.

Pagi ini pula, dua adik-beradik berusia setahun dan tiga tahun terbunuh selepas mereka terpelanting ke luar kenderaan yang dipandu bapa mereka yang terlibat di dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di jalan dari Ipoh ke Lumut. Liow menyatakan, ibu bapa dan pengguna jalan lain perlu lebih prihatin dan berhati-hati jika membawa penumpang kanak-kanak.

“Kunci pintu dan gunakan tali pinggang keselamatan setiap masa ketika berada di dalam kenderaan,” tambah Liow. Menurut Liow lagi, adalah sukar untuk mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan berkenaan bagi kenderaan lama yang tidak dilengkapi atau boleh dipasangkan dengan ciri khas berkenaan.