Dengan musim perlumbaan Formula 1 2017 akan bermula dalam masa satu bulan sahaja lagi, Aston Martin memperkenalkan dua model Vantage edisi khas iaitu V8 dan V12 Vantage S Red Bull Racing Edition.

Aston Martin memanggil keduanya sebagai kenderaan untuk pengumpul tegar, dan ia dibuat sendiri oleh cabang modifikasi personal dalam syarikat itu sendiri iaitu Q by Aston Martin. Ia meraikan ‘kerjasama inovasi’ dua jenama ini dan boleh dilengkapi dengan pilihan tanda tangan salah satu dariada dua pelumba Red Bull Racing (RBR), iaitu Daniel Ricciardo atau Max Verstappen. Piihan enjin juga diberi sama ada V8 atau V12.

Penampilan kenderaan ini mendapat inspirasi daripada kenderaan lumba RBR, dengan warna Deep Mariana Blue secara standard. Bagi yang mahukan kelainan, mereka boleh memilih warna Gloss Tungsten Silver atau Satin Mariana Blue.

Melengkapi warna ini adalah ciri aerodinamik inspirasi kereta lumba seperti pembelah angin gentian karbon, diffuser, gril dan plet tepi. Turut diberikan adalah kemasan merah pada gril gentian karbon dan angkup brek berwarna kuning.

Pada bahagian dalam, anda akan dapat melihat tempat duduk dengan sulaman nama RBR pada penyandarnya, kemasan gentian karbon, jahitan berbentuk berlian dan roda stereng yang dibalut dengan Alcantara, bersama penanda tengah.

“Sukan permotoran sentiasa adalah kunci utama DNA Aston Martin, dan kedua-dua V8 dan V12 Vantage S Red Bull Racing Edition ini membawa semangat ini kepada pelanggan,” kata presiden dan ketua pegawai eksekutif Aston Martin, Dr Andy Palmer.