Toyota C-HR dilancarkan di Australia – produksi dari Jepun, enjin 1.2 liter turbo, harga bermula RM92k

Toyota C-HR dilancarkan di Australia – produksi dari Jepun,  enjin 1.2 liter turbo, harga bermula RM92k

2017 Toyota C-HR Koba with optional black roof

Selepas Eropah, Jepun dan Singapura, kini pencabar Honda HR-V dalam segmen SUV crossover segmen-B – Toyota C-HR – telah pun secara rasmi mendarat di pasaran Australia. Untuk pasaran berkenaan, CH-R diimport sepenuhnya dari Jepun, ditawarkan dengan dua varian iaitu standard dan varian tertinggi Koba (sempena nama ketua jurutera SUV ini, Hiroyuki Koba).

Untuk Australia, C-HR dijual dengan harga bermula $26,990 (RM92,200) untuk model asas manual, meningkat kepada $28,990 (RM99,000) untuk standard CVT serta $33,290 (RM113,700) untuk Koba CVT. Bagi versi pacuan semua roda pula, standard CVT dijual pada harga $30,990 (RM105,800), manakala untuk Koba CVT pula berharga $35,290 (RM120,500).

Berbanding HR-V di pasaran sama, model standard C-HR CVT dilihat dijual sekitar $4,000 lebih mahal. HR-V untuk pasaran Australia tidak ditawarkan dengan transmisi manual dan pacuan semua roda, serta mempunyai kuasa enjin lebih besar dari C-HR. HR-V dijual pada harga bermula $24,990 (RM85,300) untuk model asas 1.8 VTi, manakala varian tertinggi 1.8 VTi-L yang dilengkapi sistem bantuan pemanduan ADAS dijual pada harga $33,990 (RM116,065), sedikit lebih mahal berbanding C-HR Koba 2WD.

Kesemua varian pasaran Australia menerima lampu nyalaan siang LED secara standard, manakala untuk Koba, ia turut diberikan lampu hadapan LED sepenuhnya bersama 12 LED isyarat sequential. Bahagian belakang pula, varian standard menerima lampu kombinasi LED, manakala Koba diberikan lampu LED sepenuhnya.

Toyota C-HR dilancarkan di Australia – produksi dari Jepun,  enjin 1.2 liter turbo, harga bermula RM92k

2017 Toyota C-HR Koba

Lapan warna badan ditawarkan termasuk Atomic Rush (merah), Bionic Bronze, Electric Teal dan Shadow Platinum (perak) yang merupakan warna baharu untuk pasaran berkenaan. Varian Koba turut ditawarkan dengan pilihan warna dua ton iaitu bumbung putih untuk warna badan perang, biru, kuning atau teal, manakala bumbung hitam bagi warna badan putih, kuning atau perak.

Aerodinamik turut telah dioptimakan menerusi penggunaan panel di bawah badan untuk mengurangkan turbulens udara bersama dengan pelindung ruang roda hadapan serta lengan suspensi yang direka bagi mengurangkan rintangan udara. Sayap belakang pada pintu tailgate SUV ini juga direka dengan fungsi dan bukan sekadar untuk elemen estetika. Spoiler berkenaan mampu mengurangkan geseran udara atau CoD (0.34 untuk standard, 0.35 untuk Koba) dan meningkatkan kestabilan ketika kelajuan tinggi.

Pada bahagian dalaman, papan pemuka C-HR direka berorentasikan pemandu. Ia diberikan skrin sesentuh 6.1 inci yang memberikan fungsi sistem navigasi dan servis atas talian Toyota Link. Untuk membezakan varian, Koba diberikan tema warna dalaman mocha bersama kemasan-kemasan berwarna perak.

Varian standard juga turut diberikan roda aloi 17-inci, lampu puddle memancarkan logo C-HR, penderia parkir hadapan dan belakang, penggilap cermin automatik, penghawa dingin dua-zon automatik, paparan pelbagai-info berwarna 4.2-inci, roda stereng pelbagai fungsi dengan larasan tinggi-rendah dan teleskopik, sistem navigasi, kamera undur dan juga enam-pembesar suara.

Untuk Koba pula, ia dipadankan dengan rim aloi kemasan digilap 18-inci dan ditambah dengan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, upholsteri kulit, pemanas tempat duduk, larasan lumbar bahagian pemandu, cermin privasi, lampu suasana kabin dan juga ioniser udara nano-e. Untuk keselamatan pula, kesemua model dilengkapi Sistem Pra-Pelanggaran (PCS), Active Cruise Control (ACC), Amaran Keluar Lorong (LDA), High Beam automatik (AHB), Pemantau Titik Buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik (RCTA).

C-HR pasaran Australia dijana oleh enjin 1.2 liter turbo empat silinder dengan sistem suntikan bahan api terus D-4T dan VVT-iW yang membolehkan kitaran Otto konvensional berubah kepada kitaran Atkinson. Enjin tersebut mampu menghasilkan kuasa puncak 114 hp pada 5,200 hingga 5,600 rpm dan tork maksima 185 Nm bermula 1,500 hingga 4,000 rpm.

Untuk varian manual 2WD, penggunaan bahan api dicatatkan pada 6.3 liter untuk setiap 100 km, manakala CVT mencatatkan 6.4 liter untuk setiap 100 km. Bagi varian CVT AWD pula, ia mencatatkan penggunaan bahan api 6.5 liter setiap 100 km.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required