PANDU UJI: Pengalaman memandu kenderaan diesel B10 sejauh lebih 1,000 km dari Sarawak ke Sabah

PANDU UJI: Pengalaman memandu kenderaan diesel B10 sejauh lebih 1,000 km dari Sarawak ke Sabah

Seperti ramai yang sudah tahu kini, Malaysia sedang mengorak langkah untuk memperkenalkan diesel lebih mesra alam iaitu biodiesel B10 kepada orang ramai bagi menggantikan diesel Euro 2M B7 yang sedang dipasarkan sekarang. Apabila dilaksana nanti, ia akan dijual sekali bersama pilihan diesel Euro 5 B7.

Sebagai tambahan kepada hasil ujian badan tertentu di luar negara seperti Colombia dan Indonesia, lembaga minyak sawit Malaysia (MPOB) juga sudah menjalankan pelbagai ujian, baik secara dalaman mahupun bersama organisasi lain seperti persatuan pengeluar kenderaan Jepun, JAMA.

Merasakan ia masih lagi tidak mencukupi, MPOB mengajak sekali wakil media untuk bersama mengalami rasa pemanduan kenderaan yang menggunakan bahan bakar ini. Acara seperti ini sebenarnya sudah beberapa kali diadakan, termasuk offroad tetapi bezanya kali ini, ia akan melibatkan perjalanan lebih 1,000 kilometer dari Bintulu, Sarawak ke Kundasang, Sabah. Turut dilalui adalah negara Brunei Darussalam.

Bagi saya, ia adalah satu perjalanan yang cukup menarik kerana walaupun sudah pernah memandu di Sarawak dan Sabah, ini adalah pertama kali saya memandu terus dalam satu acara dari Sarawak, ke Sabah, melalui Brunei. Tetapi bagi MPOB, mereka ingin menunjukkan keyakinan terhadap ketahanan kenderaan yang menggunakan diesel B10 ini.

PANDU UJI: Pengalaman memandu kenderaan diesel B10 sejauh lebih 1,000 km dari Sarawak ke Sabah

Sebab itulah, selain 15 buah kenderaan campuran trak pikap Toyota Hilux dan SUV Toyota Fortuner, konvoi ini turut disertai empat lori tangki – dua mengikuti dari Bintulu ke Miri dan berpatah balik, dan dua lagi mengikuti dari Sipitang ke Kundasang. Ini adalah bagi mengelakkan kesukaran merentasi Brunei.

Sebetulnya, bagi wakil media yang turut serta, kami tidak boleh menilai dengan tepat bagaimana rasa prestasi kenderaan yang digunakan, kerana bukannya kami ada memiliki atau memandu dengan kerap kenderaan ini semasa ia menggunakan diesel B7 biasa yang berada di pasaran. Tetapi sekurang-kurangnya, kami dapat berkongsi pengalaman apa yang berlaku sepanjang perjalanan tersebut.

Bermula dari Bintulu, menuju ke Belaga dan seterusnya Miri di Sarawak, konvoi sekadar bergerak dalam kelajuan sederhana kerana pada kebanyakan masa, laluan hanya adalah satu lorong untuk setiap hala dan pemandu perlu lebih memberi tumpuan kepada keadaan jalan yang tidak rata. Banyak kali kami terpaksa memperlahankan kenderaan dan kembali memecut kerana secara tiba-tiba jalan tersebut boleh mempunyai bahagian yang tenggelam atau timbul. Jika tidak berhati-hati, kenderaan mungkin boleh melambung.

Pertama kali memandu Hilux milik MPOB yang sudah berusia lebih lima tahun ini, saya kagum dengan prestasinya yang masih mantap, dan rakan yang berada di dalam kereta sama sepanjang perjalanan ini adalah ‘penjaganya’. Beliau memberitahu, walaupun sudah tamat jaminan, kereta ini masih dihantar ke pusat servis Toyota untuk sebarang pembaikan.

PANDU UJI: Pengalaman memandu kenderaan diesel B10 sejauh lebih 1,000 km dari Sarawak ke Sabah

Sebelum bergerak dari Miri untuk menuju ke Lawas pada pagi hari seterusnya, kami terlebih dahulu menambah minyak diesel B10 ke dalam semua kenderaan supaya tidak terlalu banyak bekalan dalam tong untuk dibawa melalui sempadan Brunei nanti. Berada dalam ruang letak kenderaan bawah tanah yang tertutup, ramai pemandu yang sudah memulakan enjin kerana sudah biasa sebagai rutin pada setiap pagi (kecuali yang sedang diisi minyak).

Saya perhatikan, dengan jumlah kenderaan diesel yang banyak dalam kawasan seperti ini, baunya mungkin boleh menyebabkan mata berair atau sukar bernafas. Sebaliknya tidak. Memang bau asap ekzos diesel tersebut masih ada, tapi ia seperti tidak terlalu teruk sehingga memaksa kami menutup hidung.

Sepanjang hari itu, konvoi kami sekadar sibuk melalui lapan pos imigresen dan kastam untuk merentasi Brunei kerana negara itu terpecah kepada dua bahagian dalam Sarawak, dan ini adalah jalan utama yang perlu dilalui. Jadi, setelah masuk pada kali pertama di sempadan Sungai Tujuh, kami keluar kembali di Kuala Lurah/Tedungan, dan seterusnya masuk kembali ke Brunei di Pandaruan dan keluar di Mengkalap.

Semasa di dalam kawasan negara utama Brunei (satu lagi pecahan dipanggil Brunei Kecil), saya berpeluang untuk memecut kenderaan sehingga kelajuan 100 km/j kerana ia adalah jalan lurus dua lorong yang dipanggil sebagai Lebuh Raya Tutong-Telisai. Walaupun begitu, terdapat juga lampu isyarat tiga cabang dalam ‘lebuh raya’ ini. Hilux yang saya pandu masih lagi dapat memecut lancar tanpa sebarang masalah, termasuk dikekalkan pada kelajuan tinggi.

Hari berikutnya, dari Lawas, kami bertolak ke Sipitang untuk bertemu dengan dua lori tangki yang juga akan mengikuti perjalanan ke Kundasang dan menggunakan diesel B10 keluaran MPOB. Di situ juga, kami menjadi saksi bahawa minyak diesel B10 dipam masuk ke dalam lori tersebut daripada sebuah lagi lori yang membawa stok minyak diesel B10 di belakangnya.

Disebabkan proses ini dilakukan secara manual (dipindahkan melalui hos dan bergantung kepada graviti), ia memakan masa agak lama, sehingga lebih dua jam kami di Sipitang dan sempat menikmati sate yang dikatakan istimewa di medan selera Sipitang sebagai makan tengahari awal. Selesai daripada itu, semua kenderaan yang terlibat bergerak menuju ke Kundasang melalui Tenom – Keningau – Tambunan – Ranau.

PANDU UJI: Pengalaman memandu kenderaan diesel B10 sejauh lebih 1,000 km dari Sarawak ke Sabah

Sudah tentu, kami tidak mengikut kelajuan dua lori tangki tersebut kerana ia akan memakan masa lebih lama, dan selepas beberapa kilometer, semua trak pikap dan SUV kami memotong lori tangki tersebut dan hanya akan bertemu kembali di Kundasang.

Laluan ini, yang terletak di kaki Banjaran Crocker mempunyai banyak kawasan bukit, seterusnya memberi kami peluang untuk merasakan prestasi kenderaan yang mendapat kuasa daripada minyak biodiesel ini sewaktu mendaki. Ternyata, prestasinya masih lagi baik, di mana pada beberapa ketika, saya masih boleh mengekalkan transmisi dalam gear 4 meskipun masih mendaki.

Selain itu, peserta juga sibuk berhubung dalam radio (walkie talkie) untuk bertanyakan keadaan asap yang terhasil sewaktu kenderaan meneran menaiki bukit. Pada bahagian awal mendaki, ada kenderaan yang mengeluarkan asap tidak begitu banyak, tetapi semakin lama kami mendaki, asap tersebut kelihatan semakin berkurangan. Menurut ketua penyelidik minyak biodiesel MPOB, Dr Harrison Lau, diesel B10 boleh membersihkan deposit dalam enjin, dan ini mungkin adalah keadaan yang berlaku. Sekitar 7.30 malam, semua kenderaan selamat tiba di Kundasang.

PANDU UJI: Pengalaman memandu kenderaan diesel B10 sejauh lebih 1,000 km dari Sarawak ke Sabah

Keesokan paginya, peserta dikejutkan awal, jam 7 pagi untuk melihat bagaimana pula keadaan enjin kenderaan biodiesel B10 ini boleh dihidupkan di kawasan tanah tinggi dan sejuk – pada pagi itu ia berada pada tahap 19 darjah celsius. Sekali pusingan kunci sahaja, tiga trak pikap yang digunakan untuk demonstrasi dapat dihidupkan tanpa sebarang masalah. Ini sekaligus menolak prasangka beberapa pihak yang mengatakan diesel B10 tidak sesuai untuk kawasan tinggi dan sejuk.

Di situlah berakhirnya perjalanan lebih 1,000 kilometer peserta Ekspedisi Trans Borneo B10 MPOB ini sebelum masing-masing pulang. Saya dan beberapa rakan media lain ke Kota Kinabalu untuk menaiki kapal terbang ke Kuala Lumpur, manakala wakil MPOB pulang ke tempat asal mereka – sekitar Sabah dan ada juga yang memandu kembali ke Bintulu, Sarawak.

Kepada anda semua, mungkin ada yang mengatakan, kenapa perlu membangunkan minyak biodiesel ini sedangkan ia akan dipasarkan lebih mahal daripada diesel Euro 2M B7 yang ada di pasaran sekarang. Jawapan yang diberi oleh Dr Lau, selain dapat membantu ekonomi Malaysia yang merupakan antara pengeluar minyak sawit yang terbesar di dunia, ia juga mempunyai kelebihan dalam memelihara alam sekitar untuk masa hadapan dan memberikan prestasi lebih baik kepada kenderaan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required