Pelaksanaan jualan biodiesel B10 di M’sia – soal jawab bersama ketua penyelidik MPOB, Dr Harrison Lau

Pelaksanaan jualan biodiesel B10 di M’sia – soal jawab bersama ketua penyelidik MPOB, Dr Harrison Lau

Malaysia kini dalam proses untuk memperkenalkan biodiesel B10 untuk kegunaan orang awam. Walaubagaimanapun, langkah ini menjadi seperti satu skandal apabila pada bulan Jun 2016, ia sudah pun dilaksanakan, kemudiannya ditarik balik dan perancangan yang dibuat, diperkenalkan kembali pada bulan Disember 2016. Tetapi sekali lagi, ia ditangguhkan sehingga kini.

Selepas penangguhan itu, Persatuan Haulier Malaysia (MHA) menggesa kerajaan melakukan lebih banyak kajian dan perbincangan berkenaan perkara ini, manakala beberapa pengeluar kenderaan termasuk BMW Group Malaysia, UMW Toyota Motor, Volkswagen Group Malaysia dan Isuzu Malaysia telah menyatakan kenderaan mereka tidak boleh menggunakan biodiesel B10 tersebut.

Bagi yang baru hendak mengikuti perkembangan biodiesel B10 ini, biar kami terangkan secara ringkas. Biodiesel B10 adalah bahan bakar yang mempunyai campuran 10% metil ester kelapa sawit dan 90% diesel biasa. Biodiesel kelapa sawit ini bukanlah sesuatu yang baru bagi Malaysia kerana sejak penghujung tahun 2014, semua diesel yang dijual di stesen minyak sebenarnya sudah merupakan biodiesel iaitu B7 dengan campuran 7% metil ester kelapa sawit.

Walaupun ramai masih tidak sedar, sebenarnya di semua stesen minyak pun, diesel yang dijual (Euro 2M dan Euro 5) mempunyai campuran B7. Jadi, langkah pengenalan biodiesel B10 adalah untuk menambah 3% lagi metil ester kelapa sawit dalam diesel yang dijual kepada pengguna. Walaubagaimanapun, campuran B10 ini akan dilakukan untuk diesel Euro 2M sahaja, manakala diesel Euro 5 akan dibiarkan dengan campuran B7.

Pelaksanaan jualan biodiesel B10 di M’sia – soal jawab bersama ketua penyelidik MPOB, Dr Harrison Lau

Berpeluang menyertai sendiri konvoi Trans Borneo kenderaan yang menggunakan biodisel B10 dari Bintulu, Sarawak ke Kundasang, Sabah, kami juga sempat bertemu dengan ketua penyelidikan kejuruteraan teknologi biodiesel dan pemprosesan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Harrison Lau untuk bertanyakan beberapa soalan berkenaan isu ini.

Pertamanya berkenaan penarikan balik pelaksanaan B10 ini di seluruh negara. Beliau menyatakan, ini adalah berikutan harga sawit yang agak tinggi, dan bukannya sebab teknikal. Kementerian perusahaan perladangan dan komoditi perlu menunggu harga minyak sawit ini menjadi lebih ‘lembut’ supaya tidak membebankan pengguna akhir. Apabila merujuk kepada tinggi ini, harganya adalah sekitar RM2,900 bagi setiap tan metrik.

Sebaik mula dijual di stesen minyak nanti, diesel B10 (Euro 2M) akan menggantikan diesel B7 yang dijual kini, dengan harga yang mungkin mendapat penambahan sekitar 3/4 sen seliter. Diesel Euro 5 pula akan dibiarkan dengan campuran B7 dan harganya akan sentiasa terletak lebih tinggi 10/20 sen daripada diesel B10 Euro 2M.

Pelaksanaan jualan biodiesel B10 di M’sia – soal jawab bersama ketua penyelidik MPOB, Dr Harrison Lau

Apabila ditanya kenapa pengguna perlu menyokong langkah pengenalan diesel B10 ini, Dr Lau memecahkan kebaikannya kepada dua – untuk alam sekitar dan teknikal. Untuk alam sekitar, ia akan membantu mengurangkan kesan pemanasan global dan hujan asid serta meningkatkan kualiti udara. Bagi kesan teknikal pula, biodiesel dapat mengurangkan kehausan enjin dan menambah baik pembakaran bahan api. Satu lagi yang penting, ia dapat membantu ekonomi Malaysia kerana kita adalah antara pengeluar minyak sawit yang paling besar di dunia.

Tambah beliau lagi, orang ramai tidak sepatutnya risau dengan penggunaan diesel B10 kerana pelbagai ujian telah dilakukan oleh pelbagai organisasi. Di Malaysia, selain melakukan ujian dalaman sendiri, MPOB juga telah bekerjasama dengan persatuan pengeluar kenderaan Jepun (JAMA). Hasilnya, JAMA meluluskan penggunaan sehingga campuran B20 dengan antara syaratnya, adalah untuk minyak sawit sahaja dan untuk kenderaan yang mempunyai taraf emisi sehingga Euro 4.

JAMA turut menyatakan tiada sebarang modifikasi perlu dilakukan pada kenderaan untuk menggunakan diesel sehingga taraf B20, tetapi apabila ingin pergi lebih daripada itu, beberapa bahagian perlu ditukar dan yang utama adalah hos sistem minyak.

Antara negara yang telah melaksanakan penjualan diesel B10 adalah Colombia, Argentina dan Amerika Syarikat, manakala Indonesia pula telah melaksanakan sehingga B20, di mana ia turut diberi subsidi, menjadikannya lebih murah berbanding diesel biasa. Selain kelebihan yang dinyatakan tadi, Indonesia juga dapat mengurangkan import diesel biasa mereka sebanyak 20 peratus dan menggunakan minyak kelapa sawit yang datang dari dalam negara mereka sendiri. Jaminan kenderaan juga sama seperti biasa.

Sejak tiga tahun yang lepas, sehingga kini, MPOB sendiri sudah menggunakan diesel B10 pada pelbagai kenderaan yang dimiliki termasuk kenderaan komersial, trak pikap dan kereta diesel biasa tanpa sebarang masalah. Ini turut disokong dengan data penilaian yang dibuat. Turut menggunakan diesel B10 ini adalah 50 kenderaan pelbagai jenis milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

MPOB juga mengeluarkan satu senarai yang menyatakan kedudukan pengeluar kenderaan berkenaan isu diesel B10 ini. Walaupun rata-ratanya bagi kenderaan komersial ia diterima, masih banyak lagi pengeluar yang tidak termasuk dalam senarai ini. Selain itu, Dr Lau juga memberi contoh, Scania, walaupun diluluskan untuk menggunakan diesel B10, juga ada menyediakan kit naik taraf untuk penggunaan biodiesel melebihi tahap itu. Selesai dinaik taraf, kenderaan tersebut boleh menggunakan sehingga 100% minyak biodiesel (B100).

Pelaksanaan jualan biodiesel B10 di M’sia – soal jawab bersama ketua penyelidik MPOB, Dr Harrison Lau

Berdasarkan kenyataan terakhir yang dikeluarkan oleh menteri perusahaan perladangan dan komoditi (MPIC), Datuk Seri Mah Siew Keong yang terakhir, penjualan diesel B10 akan dilaksanakan pada tahun ini, tetapi tarikh sebenarnya belum disiarkan.

Menurut Dr Lau, sebelum masa itu tiba, MPOB akan sentiasa berkomunikasi dengan pihak-pihak yang masih ragu dengan perkara ini dan kerjasama mereka sentiasa dialu-alukan. Jumlah besar kenderaan awam diesel di Malaysia datang daripada kenderaan Jepun, dan JAMA telah menyatakan keputusan ujian mereka. Walaubagaimanapun, ia masih bergantung kepada pengurus jenama itu di Malaysia untuk sama ada mengikut keputusan JAMA dan ibu pejabat masing-masing atau sebaliknya.

Pelaksanaan jualan biodiesel B10 ini tiada kena mengena dengan kelebihan stok minyak kelapa sawit, kerana bagi penggunaan B7 biodiesel ini sekarang sahaja, ia cuma menyumbang kepada 1.8% daripada keseluruhan pengeluaran minyak kelapa sawit, iaitu 350,000 tan setahun. Secara keseluruhan, pengeluarannya adalah 19 juta tan setahun.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required