biodiesel1

Pelaksanaan biodiesel B10 bagi industri pengangkutan di Malaysia akhirnya akan bermula pada 1 Disember, memetik laporan Reuters. Agensi berita itu melaporkan pelaksaan itu akan berlangsung secara berperingkat bermula dengan Johor, sementara biodiesel B7 bagi sektor industri turut akan dilaksanakan pada tarikh sama di seluruh negara.

Tindakan berkenaan dinyatakan di dalam emel daripada Lembaga Sawit Malaysia kepada pemain-pemain industri. Bagaimanapun, stesen minyak yang menjual diesel Euro 5 serta jentera-jentera industri yang tidak sesuai dengan penggunaannya adalah dikecualikan daripada pelaksanaan terbaharu ini.

Pelaksanaan penuh biodiesel B10 ini dijangka akan menggunakan 750,000 tan sawit setiap tahun, seperti dinyatakan oleh Menteri Perusahaan Perdagangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong Ogos lalu. Kerajaan sepatutnya ingin memperkenalkan biodiesel berkenaan Jun lalu, tetapi ditunda selepas ia didakwa tidak serasi dengan spesifikasi pengeluar kenderaan.

Kami turut meminta pandangan daripada jurucakap BMW Malaysia, yang mencadangkan bahawa semua pengguna kenderaan keluaran jenama itu untuk menggunakan diesel Euro 5, yang kekal dengan campuran B7. “Enjin-enjin kenderaan kami berfungsi dengan lebih baik dengan diesel Euro 5,” jelas beliau.