Pembuat jentera untuk industri pertanian dan pembinaan dari Amerika Syarikat, John Deere, bersama subsidiari BMW – Designwork – tampil ke pameran ConExpo-CON/AGG tahun ini dengan rekaan digelar Fixstern, iaitu sebuah jentera backhoe dengan unit janakuasa hibrid.

Fixstern merupakan perkataan bahasa Jerman yang bermaksud “fixed star”, merupakan terma yang diadaptasikan oleh BMW untuk penyelidikan perintis holistik dan proses merekabentuk. Jadi, hasil yang diperolehi dari backhoe yang direka ini merupakan satu pandangan jauh dan menjadi tumpuan semua pihak berkepentingan dalam projek serta boleh dikongsi, dan dijajarkan untuk bergerak lebih kehadapan.

Selain dari menggunakan unit janakuasa hibrid sebagai sumber utama untuk mengoperasikannya, ia turut direka dengan pelbagai komponen yang lebih ringan. Jarak roda backhoe ini direka lebih panjang dari jentera konvensional bagi memberikan ruang kabin yang lebih besar, serta lebih banyak bahagian yang boleh dibuka bagi memudahkan pemandu keluar-masuk ke bahagian berkenaan.

Tempat duduk dan juga panel-panel kawalan juga tidak dihubungkan terus pada bahagian perlindungan golekan, bagi mengurangkan getaran padanya. Tayar jentera ini direka untuk tidak menggunakan angin, yang membolehkan ia direka lebih kecil dan juga mengurangkan risiko untuk pecah atau bocor.

Keempat-empat tayar berkenaan dihubungkan dengan sistem stereng yang dikawal secara elektronik bagi memudahkan pengendalian serta pergerakkannya. Keseluruhan sistem elektronik backhoe ini direka bagi membolehkan pelbagai hubungan dibuat, yang membolehkan ia memberitahu lebih awal berkenaan komponen alat ganti yang perlu ditukar mahupun servis dan selenggara yang perlu dilakukan.

Walau bagaimanapun, tiada pengumuman berkenaan bagi menjelmakan backhoe ini dalam bentuk produksi sebenar. Tetapi, dengan mengambil proses rekabentuk yang dinyatakan sebelumnya, sebahagian teknologi yang ditampilkan berkemungkinan besar akan digunakan pada rekaan-rekaan jentera keluaran John Deere pada masa hadapan.