PANDU UJI: Mercedes-Benz CLA200 facelift – prestasi sederhana, imej mempesona dan serlahan jiwa muda

PANDU UJI: Mercedes-Benz CLA200 facelift – prestasi sederhana, imej mempesona dan serlahan jiwa muda

Mercedes-Benz telah banyak melakukan transformasi bagi penggayaan barisan modelnya, tidak kira apa jua segmentasi. Begitu juga dengan prestasi dan kuasanya, yang banyak menerima pengolahan bagi memberikan impak yang lebih setanding dengan imej dan jenama ini.

Disebabkan itulah, jenama ini kian mendapat tempat di kebanyakan negara termasuklah Malaysia. Malahan di negara ini, Mercedes-Benz telah mengungguli jenama premium mewah sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan jumlah jualannya sentiasa berada dalam angka yang memberangsangkan.

Malahan apa yang telah dilakukan oleh Mercedes-Benz ini turut menarik lebih ramai golongan muda berusia antara 25-40 tahun, yang berkemampuan, untuk memiliki mana-mana model yang berkenan di hati. Tidak seperti dahulu, jenama ini lebih dekat di hati golongan di atas 40 tahun, namun kini tidak lagi.

Ini termasuklah dengan barisan model CLA yang diberikan suntikan lebih segar pada September tahun lalu. Ia dibarisi tiga model iaitu CLA 200, CLA 250 Sport 4Matic, dan Mercedes-AMG CLA 45 4Matic. Setiap satu daripadanya memiliki perbezaan karakter yang tersendiri. Kami berkesempatan memandu uji CLA 200 bagi membongkarkan karakter yang didampinginya.

PANDU UJI: Mercedes-Benz CLA200 facelift – prestasi sederhana, imej mempesona dan serlahan jiwa muda

Walau pun ia model facelift, namun sekadar diberikan suntikan imej yang lebih segar tanpa mengusik bahagian mekanikalnya. Ia masih kekal menggunakan enjin 1.6 liter pengecas turbo empat-silinder dengan hamburan kuasa 156 hp pada 5,300 rpm dan tork 250 Nm antara 1,250 hingga 4,000 rpm.

Dengan padanan transmisi automatik dwi-klac 7G-DCT, CLA 200 mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam masa 8.2 saat, dengan kelajuan maksimum yang mampu dicapai sehingga 230 km/j.

Memacu CLA 200 ini, biar pun mungkin ada yang menganggap enjin berkapasiti 1.6 liter ini tidaklah begitu padu, namun dengan dorongan pengecas turbo, kuasanya jangan disangkal. Prestasi enjinnya memang menguja tetapi bukanlah yang terbaik, jadi jangan mengharapkan CLA 200 ini umpama jentera sport atau pun seperti barisan model Mercedes lain yang ditala oleh AMG. Lagi pun ia dicipta bagi pemanduan biasa, bukannya untuk dilenjan di litar lumba.

Enjinnya masih boleh memberikan prestasi yang memberangsangkan walau pun sedikit perlahan pada permulaan pergerakan. Namun apabila kuasanya kian memuncak, pedal pendikitnya tidak perlu dikerah lagi, malah ia kian rancak memutarkan jarum meter ke paras yang diingini.

PANDU UJI: Mercedes-Benz CLA200 facelift – prestasi sederhana, imej mempesona dan serlahan jiwa muda

Bagi kotak gear dwi-klac, adakalanya ia terasa seperti sedikit mengambil masa dalam penukaran gear upshift, dan juga sedikit perlahan untuk downshift. Jadi bagi mengelakkan rasa lagging pada kotak gear ini, saya lebih senang menggunakan pedal penukar gear setiap kali untuk upshift atau downshift yang lebih pantas.

Tidak kira apa jua corak pemanduan, CLA 200 agak cekap mempersembahkan prestasi yang diingini. Cuma sifatnya sedikit mudah meliar tatkala hamburan kuasanya kian memuncak, namun kawalan pengendaliannya ternyata mantap dan berdinamik.

Bagi sistem suspensi, seperti kebanyakan jentera yang lain, CLA 200 dipadankan dengan topang MacPherson untuk bahagian hadapan dan Multi-link di belakang. Ia tidak menerima talaan sport kerana CLA 200 sekadar jentera biasa yang tidak perlu berbuat demikian. Walau bagaimana pun, sistem suspensi ini sudah cukup mantap untuk spesies jentera sepertinya. Namun terasa keras, dan jika memandu dalam keadaan laju, ia boleh mencetuskan kesan bumpy terutamanya pada penumpang di belakang.

Begitu juga dengan sistem brek, tiada keistimewaan yang diberikan, kerana ia masih kekal menggunakan cakera ventilated di hadapan dan cakera solid di belakang. Sistem brek ini mampu memberikan kerjasama yang padu apabila diperlukan.

Mengikut kitaran NEDC, penggunaan bahan apinya dianggarkan sebanyak 5.5 liter bagi setiap 100 km dan mengikut pemanduan kombinasi iaitu di lebuh raya dan di bandar. Namun ia tetap bergantung pada cara pemanduan dan pengendalian anda.

Apakah daya tarikan yang ada pada CLA 200 ini sementelah tiada perubahan mekanikal yang dilakukan? Ya, imejnya yang telah diperkemaskini dan diberikan suntikan yang lebih segar.

Melihat imej yang diperaga di bahagian hadapan, nampak seakan CLA 200 meminjam sedikit gaya yang ada pada A-Class. Ada persamaan bagi bampar hadapan. Seperti mana CLA 250, CLA 200 juga ditampilkan dengan kemasan luaran AMG Line. Ini termasuklah gril radiator berlian dengan pin krom, lampu utama LED High Performance yang boleh disesuaikan dengan penggunaan waktu siang dan malam, dan ia juga tidak memerlukan lampu kabus tetapi dilengkapi dengan lampu nyalaan siang LED.

Bagi pandangan profil sisinya pula, garisan berkarakter yang melunjur ke belakang, malahan menterjemahkan ciri aerodinamik sekaligus membantu menyerlahkan lagi gaya CLA 200 ini. Tambahan pula dengan adanya rim aloi pelbagai-jejari bersaiz 18-inci yang dibaluti tayar 225/40R18.

PANDU UJI: Mercedes-Benz CLA200 facelift – prestasi sederhana, imej mempesona dan serlahan jiwa muda

Tidak banyak perubahan pada bahagian belakangnya, dengan kedudukan bonetnya sedikit menjungkit, menampakkan imej yang agak seksi, disertakan dengan lampu belakang kombinasi LED yang memberikan sedikit kelainan. Di samping bampar sport AMG yang kelihatan lebih rata dan lebar. Manakala dua paip ekzos di bahagian kiri dan kanan diberi sentuhan yang sporty. Ia turut ditampilkan dengan lampu kabus untuk bahagian belakang.

CLA 200 ini memiliki ukuran dimensi 4,640 mm bagi panjang, selebar 1,777 mm, setinggi 1,432 mm dan jarak roda pula 2,699 mm. Sekaligus memberikan ruang kabin yang agak luas dan selesa. Ia turut menampilkan ruang but berkapasiti 470 liter bagi kedudukan tempat duduk belakang normal.

Menjengah bahagian kabinnya, imej yang terbentang kelihatan meminjam aura barisan model Mercedes-Benz yang lain termasuk C-Class dan E-Class. Malah rekaan konsol tengahnya kelihatan sama dengan C-Class bagi model terdahulu. Turut ditampilkan pencahayaan ambien dan Map Light bagi memberikan kesan yang sedikit sofistikated.

PANDU UJI: Mercedes-Benz CLA200 facelift – prestasi sederhana, imej mempesona dan serlahan jiwa muda

Ia juga menampilkan skrin paparan lapan-inci yang lebih nipis dengan pelindung kaca bagi sistem hiburan multimedia Audio 20 CD bersama sambungan Bluetooth. Manakala sistem pendingin hawanya masih kekal zon-tunggal manual dan tiada corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang.

Mungkin ada yang mempertikaikan, jentera dengan harga yang agak tinggi ini, mengapa tiada kawalan pendingin hawa automatik dan kekal hanya zon tunggal, serta tiada corong pendingin hawa bagi tempat duduk belakang. Jawapannya hanya ada pada Mercedes-Benz. Honda Civic 2016 yang harganya jauh lebih murah pun ada kawalan pendingin hawa dua-zon dan corong pendingin hawa bagi tempat duduk belakang.

Tempat duduk sport dengan balutan kulit Artico dan gentian mikro Dinamica turut menyerlahkan gaya sporty jentera ini. Bagi tempat duduk hadapan, ia dilengkapi dengan fungsi pelarasan berkuasa bersama memori. Namun kedudukan tempat duduk belakang yang agak tegak, mungkin boleh menimbulkan sedikit kurang selesa terutamanya jika melibatkan perjalanan jauh.

Ciri lain yang terdapat di dalam kabin termasuklah stereng dengan butang kawalan audio, kawalan kelajuan pasif, tiga soket kuasa, kamera undur, pedal penukar gear dan brek parkir elektronik. Bagi aspek keselamatan pula, ia dilengkapi dengan tujuh beg udara, ABS dengan EBD, kawalan kestabilan, cagak ISOFIX, sistem brek autonomous, bantuan mula mendaki serta pengesan parkir hadapan dan belakang.

Selain Polar Silver, CLA 200 ini turut ditawarkan dengan lima lagi warna pilihan iaitu Cirrus White, Cosmos Black, Mountain Grey, Jupiter Red dan Northern Lights Violet.

Konklusi bagi CLA 200, jika anda inginkan sebuah jentera dengan imej yang menawan dan sofistikated, namun prestasinya ‘cukup makan’, memang inilah model yang perlu dijadikan pilihan. Dengan harga atas jalan RM236,888, semua elemen dan mekanikal yang diberikan agak setimpal dan berbaloi.

Tapi sekiranya ada bajet ekstra, anda boleh meletakkan model CLA 250 Sport 4Matic (RM278,888) atau Mercedes CLA 45 4Matic (RM408,888) sebagai pilihan, di bawah barisan CLA. Atau pun boleh memilih model persaingnya yang lain termasuk Audi A3 Sedan (1.4L pengecas turbo, 122 hp/200 Nm, RM 186,900.00) yang sedikit kurang berkuasa dan lebih murah berbanding CLA 200. Walau bagaimana pun, CLA 200 ini memang sesuai untuk golongan muda kerana imejnya yang nampak sporty dan ranggi. Jadi apakah pilihan anda? Sila tanya selera dan poket ya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required