Volkswagen Group sah dinobatkan sebagai pengeluar automotif paling laris tahun lalu, walaupun sedang dilanda skandal Dieselgate yang masih belum berkesudahan. Faktor kejayaan berkenaan disumbangkan oleh penguasaan mereka terhadap pasaran di China. Namun jenama berkenaan agak sukar untuk menyerlah di pasaran India kerana pasaran tersebut merupakan pasaran yang agak sensitif dengan harga.

Oleh itu, VW Group yang diwakili CEO Matthias Muller dan Tata Motors yang diwakili pengarah urusan Guenter Butschek bakal menandatangi MoU kerjasama di Geneva Motor Show yang kini sedang berlangsung, bagi meneroka kemungkinan berkerjasama untuk membina barisan produk-produk baharu yang boleh dikongsi bersama jenama Volkswagen, Skoda dan juga Tata, menurut laporan Autocar India.

“MoU ini akan membolehkan kami mempunyai perbincangan yang lebih luas dan bertukar lebih banyak informasi serta data untuk memahami sinergi yang wujud antara kedua-dua syarikat kami,” kata sumber yang rapat dengan pembangunan ini tetapi tidak mahu dikenali kepada Autocar India.

Kedua-dua syarikat telah menjalankan rundingan struktur kerjasama ini lebih dari setahun sehingga sekarang. Pada peringkat awal, VW mahukan platform MQB-A miliknya untuk digunakan untuk projek ini, tetapi ia akan melibatkan kos yang tinggi dan bakal menghasilkan produk dengan harga yang tidak kompetitif pada pasaran India.

Selepas itu, Tata Motors pula menawarkan untuk menggunakan Advanced Modular Platform (AMP) yang telah dibina untuk model-model mereka untuk masa hadapan, yang lebih efektif dari segi kos serta lebih fleksibel untuk menghasilkan produk yang lebih pelbagai. VW agak skeptikal dengan tawaran ini pada awalnya, tetapi bersetuju setelah hasil ujian terhadap platform berkenaan yang memberangsangkan oleh firma kejuruteraan bebas Jerman, EDAG.

Tata bersetuju untuk menggunakan teknologi elektrikal VW untuk produk-produk yang bakal dihasilkan dari platform AMP ini kerana ia jauh lebih baik berbanding sistem elektrikal mereka dan ia masih lagi efektif dari segi kos. Tata juga akan mengetuai pembangunan enjin kerana unit janakuasa VW agak sukar untuk dihasilkan dengan menggunakan kandungan komponen tempatan yang banyak, dan bakal meningkatkan kos serta menjadikan harganya tidak kompetitif di India.

Walau bagaimanapun, masih lagi belum jelas secara spesifik model-model yang bakal dibangunkan menerusi kerjasama ini. Tetapi untuk VW dan Skoda, kerjasama dengan Tata ini merupakan satu-satunya harapan mereka untuk memberikan hasil yang lebih baik pada pasaran India, berbanding ketika ini produk-produk mereka yang mempunyai struktur kos yang tinggi dan tidak kompetitif di pasaran tersebut.

Isu terbesar yang dilihat berpotensi untuk menggagalkan kerjasama ini adalah isu budaya, di mana kedua-dua syarikat mempunyai budaya yang jauh berbeza. Volkswagen sebenarnya pernah gagal dalam kerjasamanya dengan Suzuki Motor Co sebelum ini atas sebab yang sama, tetapi untuk kerjasama kali ini, berberapa eksekutif VW menyatakan syarikat tersebut tekad untuk menjayakannya.