Honda WR-V bakal dilancarkan secara rasminya di India minggu ini, dan laman mikronya telah pun menguar-uarkan perkembangan model baharu yang dibina dengan platform Jazz. Ia dijadualkan akan dilancarkan pada 16 Mac ini iaitu esok. WR-V pertama kali diperkenalkan di Brazil pada tahun lalu, malah dikatakan bakal dilancarkan di negara berkenaan pada bulan ini juga.
“Winsome Runabout Vehicle” ini memiliki dimensi empat meter panjang, selebar 1.73 m dan setinggi 1.6 meter dengan jarak roda 2.55 m, ditawarkan untuk versatiliti bagi SUV kegunaan urban. Malahan ia juga mempunyai sudut “approach and departure”, masing-masing pada 21º dan 33º.
Untuk Brazil, WR-V dijanakan oleh enjin 1.5 i-VTEC FlexOne, dengan dipadankan bersama unit Earth Dreams CVT yang lengkap bersama torque converter. Dengan bahan api etanol, enjin ini mampu menghasilkan output sehingga 116 hp pada 6,000 rpm dan tork 150 Nm pada 4,800 rpm. Sekiranya dengan enjin petrol pula, ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 115 hp pada 6,000 rpm dan tork 149 Nm pada 4,800 rpm.
Menurut Honda, WR-V dibangunkan berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap keperluan pelanggan di Amerika Selatan, dan hasilnya, rekaan SUV dengan “gaya urban dan tahan lasak” diperlukan.
SUV ini turut menampilkan roda stereng berkuasa yang dibangunkan khas untuknya, dengan jejari pusingan sehingga 5.3 meter. Ia juga dipadankan dengan roda aloi 16-inci dan tayar yang turut direka khas untuknya, dengan tayar unique195/60 yang dikatakan mampu memberikan keselesaan dan getaran yang lebih rendah.
Namun untuk pasaran India, spesifikasinya masih belum didedahkan lagi. Mungkin juga ia akan dipadankan enjin yang sama dengan Jazz, iaitu unit petrol 1.2 liter i-VTEC dan diesel 1.5 liter i-DTEC. Hanya transmisi manual yang ditawarkan iaitu lima-kelajuan bagi petrol dan enam-kelajuan untuk diesel. Di sana, WR-V juga akan bersaing dengan Ford EcoSport dan Hyundai i20 Active iaitu di bawah segmen-B.
GALERI: Honda WR-V spesifikasi Brazil
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.