Porsche 718 Cayman dan Cayman S kini di Malaysia

Porsche 718 Cayman dan Cayman S kini di Malaysia

Porsche Cayman 718 kini secara rasminya telah dilancarkan di Malaysia, serentak dengan perasmian pusat Porsche baharu di Pulau Pinang. Model yang merupakan versi hardtop 718 Boxster (juga telah dilancarkan di Malaysia tahun lalu) ini mendarat ke pasaran tempatan dengan dua varian iaitu Cayman dan Cayman S, setelah muncul buat pertama kali untuk peringkat global pada April tahun lalu.

Seperti juga Boxter, Cayman 718 hadir dengan enjin bentangan boxer empat-silinder yang lebih kecil (diletakkan di bahagian tengah, memacu roda belakang), tetapi kini diberikan suapan pengecas turbo. Oleh itu, varian asas Cayman 718 diberikan enjin 2.0 liter berkuasa 300 hp pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 380 Nm bermula 1,950 rpm hingga 4,500 rpm.

Berbanding dengan Cayman terdahulu yang dijana enjin boxer enam-silinder dengan kapasiti 2.7 liter tanpa turbo, enjin baharu ini menghasilkan 25 hp/90 Nm lebih berkuasa.

Porsche 718 Cayman dan Cayman S kini di Malaysia

Manakala untuk model tertinggi Cayman S, ia dijana oleh enjin flat-four lebih besar dengan kapasiti 2.5 liter. Ia turut diberikan pengecas turbo dengan geometri bervariasi (VTG), menghasilkan kuasa 350 hp pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 420 Nm bermula 1,900 rpm hingga 4,500 rpm. Berbanding enjin 3.5 liter NA flat-six pada versi S terdahulu, model baharu ini dijana dengan 25 hp/50 Nm lebih berkuasa.

Cayman 718 hadir dengan kotak gear klac-berkembar PDK tujuh-kelajuan bersama pakej Sport Chrono yang membolehkan varian asas memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 275 km/j, manakala versi S pula, untuk pecutan pada jarak sama hanya mengambil masa 4.2 saat dengan kelajuan maksima dicatatkan pada 285 km/j.

Bagi model 2.0 liter, penggunaannya bahan apinya dicatatkan pada 6.9 liter untuk setiap 100 km pada Kitaran Pemanduan Eropah Baharu (NEDC), 1.5 liter lebih baik dari sebelum ini. Untuk enjin 2.5 liter yang lebih besar pula, penggunaan bahan api nya adalah 7.3 liter untuk setiap 100 km, 1.7 liter lebih baik dari sebelum ini.

Porsche 718 Cayman dan Cayman S kini di Malaysia

sdr

Selain dari aspek kuasa, Cayman 718 turut diberikan talaan casis yang lebih baik. Ia kini dibekalkan dengan spring yang lebih keras serta bar anti-oleng dengan diameter lebih tebal. Rak stereng jugai dibina 10% lebih laju dari sebelum ini, manakala roda belakang pula kini 13 mm lebih lebar.

Kedua-dua varian kini menerima cakera brek berdiameter 330 mm pada bahagian hadapan dan 299 mm pada bahagian belakang (model bukan S diberikan cakera lebih kecil sebelum ini), manakala khas untuk Cayman S, ia diberikan angkup brek dengan empat omboh yang diambil dari model 911 Carerra, serta cakera yang lebih tebal (6mm) pada bahagian hadapan.

Jentera baharu ini turut diberikan sistem Pengurusan Suspensi Aktif Porsche (PASM) yang membolehkan ia direndahkan sebanyak 10 mm (20 mm untuk S). Butang pemilihan mod pemanduan turut ditempatkan di roda stereng bagi membolehkan pemandu untuk menukar sama ada menggunakan mod Normal, Sport, Sport Plus dan juga mod baharu iaitu Individual. Dinamik pemandua juga boleh dipertingkatkan dengan pakej Sport Chrono dan juga Porsche Torque Vectoring (PTV) yang turut diberikan LSD mekanikal.

Untuk luaran, bahagian hadapan Cayman 718 kini kelihatan lebih lebar dengan ruang kemasukan udara yang dibina lebih lebar. Lampu hadapan bi-xenon juga merupakan rekaan baharu yang sepadukan dengan lampu nyalaan siang LED. Kesemua rekaan hadapan ini diakhiri dengan kedua-dua fender yang turut menerima sentuhan semula.

Pada bahagian belakang pula, ia turut menerima sentuhan semula dengan rekaan yang lebih lebar. Kedua-dua lampu belakang kini dihubungkan dengan kemasan berwarna hitam kilat dan turut menempatkan logo Porsche. Ia juga dilengkapi dengan spoiler belakang yang akan keluar secara automatik pada kelajuan 120 km/j, bagi memberikan cengkaman pada permukaan jalan yang lebih baik.

Bahagian dalaman Cayman 718 ini turut direka seiras dengan Boxster, menampilkan liang penghawa dingin baharu pada papan pemuka, manakala roda sterengnya pula direka diinspirasikan dari roda stereng Spyder 918. Porsche Communication Management (PCM) yang menghubungkan telefon pintar, kawalan sistem audio dan juga sistem Sound Pakej Plus berkuasa 150-watt kini dibekalkan secara standard.

Porsche 718 Cayman dan Cayman S kini di Malaysia

Apa yang menarik, walaupun ia agak tidak praktikal (seperti juga kereta sport sebenar yang lain) dengan hanya boleh memuatkan dua orang, ruang kargo pada bahagian hadapan dan belakang Cayman ini agak besar – kapasiti keseluruhan 425 liter.

Porsche 718 Cayman bakal dijual pada harga bermula RM530,000, manakala untuk 718 Cayman S pula dijual pada harga bermula RM700,000. Kesemua Porsche yang dijual oleh pengedar sahnya di Malaysia iaitu Sime Darby Auto Performance (SDAP) didatangkan dengan waranti empat-tahun dan pakej penyelenggaran percuma. Harga ini termasuk dengan semua cukai tanpa pendaftaran, cukai jalan dan insurans.

GALERI: Gambar rasmi Porsche 718 Cayman dan Cayman S

GALERI: Gambar rasmi Porsche 718 Cayman

GALERI: Gambar rasmi Porsche 718 Cayman S

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Learn more:

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required