Sepanjang menjadi seorang pemilik kenderaan, pernahkan anda berurusan terus dengan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM)? Adakah anda menggunakan khidmat ‘runner‘ ke pusat berkenaan untuk ‘menjamin kelulusan’ dalam proses-proses seperti untuk menukar hak milik? Atau adakah anda gusar akan caj yang dikenakan untuk pemeriksaan sukarela dan bimbang maklumat ‘gagal’ kenderaan anda akan dilaporkan ke JPJ?

Untuk menangkis semua persepsi negatif seperti ini, Puspakom telah menjemput kami dan juga berberapa media lain ke Puspakom cawangan Shah Alam untuk menyertai acara “Be a Vehicle Examiner for a Day” bagi memberikan pengalaman sebenar sebagai seorang pemeriksa kenderaan (VE) Puspakom dan menjelaskan keseluruhan proses yang berlangsung pada setiap sesi pemeriksaan.

Sebelum kami mula untuk menjadi seorang pemeriksa kenderaan, Puspakom terlebih dahulu menjelaskan peranan sebenar mereka. Puspakom sebenarnya bukanlah penguatkuasa seperti JPJ dan SPAD, malah mereka juga bukan unit di bawah mana-mana jabatan kerajaan atau badan berkanun.

Sebaliknya, Puspakom merupakan sebuah syarikat swasta subsidiari penuh DRB-HICOM yang telah ditubuhkan pada tahun 1994. Sejak awal penubuhannya, syarikat tersebut dilantik oleh kerajaan untuk melakukan pemeriksaan-pemeriksaan kenderaan yang diperlukan pada akta-akta yang diwujudkan seperti Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk JPJ, Akta Sewa Beli 1987 untuk KPDNKK, Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 untuk Jabatan Alam Sekitar serta pelbagai lagi.

Oleh itu, peranan Puspakom adalah sebagai pemeriksa sahaja, dan bukan penguatkuasa yang perlu membuat rondaan serta sekatan jalan untuk menahan kenderaan-kenderaan yang tidak mematuhi spesifikasi.

Bagi memastikan kualiti pemeriksaan di Puspakom memenuhi piawaian yang ditetapkan, syarikat berkenaan sentiasa diaudit oleh badan-badan kerajaan terlibat seperti disebutkan diatas selain dari Jabatan Standard Malaysia dan juga Sirim. Puspakom juga merupakan ahli Komiti Pemeriksa Kenderaan Bermotor Antarabangsa (CITA) yang akan bersidang setiap dua tahun, bagi mengekalkan dan mempertingkatkan standard setiap ahli mereka.

Secara am, pemeriksaan di Puspakom terbahagi kepada dua iaitu pemeriksaan wajib dan juga pemeriksaan sukarela dengan bayaran dari RM15 hingga RM95. Pemeriksaan wajib adalah untuk kenderaan yang tertakluk pada akta-akta yang disebutkan tadi. Jadi, untuk kenderaan yang berada sedang berada diatas jalan raya, yang diwajibkan untuk diperiksa setiap enam bulan sekali dan keputusannya terus disalurkan ke badan kerajaan (JPJ/SPAD) hanyalah kenderaan perdagangan.

Manakala untuk pemeriksaan sukarela, orang awam boleh membawa kenderaan mereka ke Puspakom untuk diperiksa tahap ‘kesihatan’, dengan maklumat hanya disalurkan kepada pemilik tanpa penglibatan JPJ (akan dijelaskan lebih lanjut selepas ini).

Menurut Puspakom, dengan sistem yang mereka ada sekarang, urusan untuk semua jenis pemeriksaan hanya memakan masa sekitar dua jam. Oleh itu, Puspakom amat menggalakkan agar orang ramai melakukan proses pemeriksaan dengan membawa kenderaan mereka sendiri tanpa melalui orang tengah atau ‘runner‘.

Ini adalah untuk mengelakkan orang ramai dari terperangkap dalam ‘permainan’ para runner berkenaan, yang selalunya modus operandi mereka memperdaya pelanggan dengan mengatakan bayaran-bayaran tambahan tertentu diperlukan oleh Puspakom untuk memastikan pemeriksaan dijamin lulus.

Kita lihat dulu proses pemeriksaan wajib yang dilakukan untuk kenderaan perdagangan. Setelah pelanggan mendaftar untuk pemeriksaan ini, satu ‘job sheet‘ maya berupa fail akan dibuka di dalam sistem puspakom untuk kenderaan tersebut. Segala maklumat berkenaan hasil ujian akan dimasukkan ke terus ke server sistem tersebut dari mesin ujian tanpa melibatkan kertas.

Menerusi cara ini, selain proses menjadi lebih cepat, hasil ujian ini juga lebih telus kerana ia tidak boleh dimanipulasi seperti yang boleh dilakukan jika hasil ujian dicatatkan pada kertas – hasil ujian yang diperolehi terus dicatatkan pada sistem dan tidak boleh diedit.

Setelah kenderaan berkenaan tiba ke barisan ujian, perkara pertama yang diperiksa adalah berkenaan bahagian atas badan kenderaan (above carriage) yang melibatkan pemeriksaan nombor casis dan enjin, kesemua lampu, keadaan tayar, penggilap cermin dan juga lain komponen lain.

Seperti yang disebut tadi, tiada kertas digunakan sebagai check sheet, tetapi untuk bahagian ini, VE dibekalkan dengan ‘handheld‘ elektronik (seperti tab) untuk merekod. Gambar nombor casis dan enjin terus diambil dan disalurkan terus ke server – tutup sebelah mata sekiranya terdapat masalah pada bahagian ini? sama sekali tidak boleh dilakukan kerana bukti bergambar diperlukan untuk setiap pemeriksaan.

Setelah itu, ujian asap akan dilakukan. Untuk kenderaan perdagangan berkuasa diesel, bacaan kelegapan (opacity) tidak melebihi 50% diperlukan untuk meluluskan sesebuah kenderaan itu. Saya sempat bertanya kepada pegawai bertugas bagaimana untuk mereka menangani kes manipulasi FIP (Fuel Injection Pump) diesel atau sistem pendikit yang membolehkan sesebuah kenderaan diesel itu mengeluarkan asap yang banyak ketika diuji.

Menurut Pegawai berkenaan, sekiranya larasan dibuat pada komponen-komponen tersebut untuk tujuan ‘menyorokkan’ asap, kuasa enjin berkenaan pastinya akan berkurang. Justeru itu, keputusan ‘gagal’ boleh diberikan atas sebab ‘underpower‘.

Untuk kenderaan perdagangan yang menggunakan enjin petrol pula, asap akan diuji menerusi alat engine analyzer. Bagi ujian ini, spesifikasi ‘lulus’ berbeza untuk kenderaan yang didaftarkan sebelum 1 Januari 1997 dan juga selepas 1 Januari 1997 (kerana perbezaan teknologi diantara era).

Untuk kenderaan sebelum Januari 97, mereka perlu mencatatkan bacaan Karbon Monoksida (CO) tidak melebihi 4.5%, serta bacaan Hidrokarbon (HC) tidak melebihi 800 ppm. Bagi kenderaan selepas Januari 97 pula, ia perlu mencatatkan bacaan CO tidak melebihi 3.5% dan juga HC tidak melebihi 600 ppm.

Selepas pemeriksaan bahagian atas selesai, kenderaan akan berpindah ke ruang pemeriksaan bahagian bawah (undercarriage) pula. Pada bahagian ini, VE akan memeriksa secara visual bahagian bawah kenderaan. Sebarang kebocoran minyak sama ada pada enjin, transmisi, brek mahupun suspensi akan digagalkan, begitu juga jika terdapat kecacatan lain seperti bol dan nat longgar/hilang, atau terdapat bahagian bengkok yang tidak sepatutnya.

Puspakom juga mempunyai alat ‘axle play‘ yang mampu menggerakkan komponen-komponen pada gandar, stereng dan suspensi bagi memeriksa ‘free play‘ pada setiap bushing tanpa perlu membuka tayar kenderaan.

Setelah kesemua ini lengkap, tiba masa kenderaan untuk bergerak ke mesin pemeriksaan brek dan yang terakhir iaitu side slip tester. Pada mesin pemeriksaan brek, kecekapan brek bukan penentu sesebuah kenderaan itu lulus. Mesin ini juga mampu memeriksa kadar keseimbangan antara brek kiri dan kanan.

Pada bacaan keseimbangan ini, masalah brek pada satu-satu bahagian dapat dikesan (kebocoran pada sistem brek, fungsi omboh pada setiap pam), malah brek yang tidak seimbang juga boleh menyebabkan sesebuah kenderaan itu berpusing ketika brek kecemasan. Apa pula tugas side slip tester? Mesin ini akan menguji pergerakan lateral pada setiap tayar, atau bahasa mudahnya ia mampu untuk membaca sudut toe pada jajaran roda (wheel alignment) ketika kenderaan bergerak.

Kesemua hasil ujian ini akan diketahui oleh pemilik kenderaan di kaunter. Setiap perkara yang gagal akan diberitahu dan pemilik perlu datang semula untuk memeriksa kenderaan mereka setelah diperbaiki dalam masa 30 hari. Puspakom akan memeriksa semula setiap perkara yang gagal sahaja selepas itu, dan tidak akan memeriksa semula perkara lain yang telah lulus.

Untuk pemilik kenderaan persendirian, servis pemeriksaan sukarela yang ditawarkan oleh Puspakom seharusnya menjadi perhatian. Untuk pakej lengkap pemeriksaan, Puspakom membuat pemeriksaan yang hampir sama dengan pemeriksaan yang dilakukan pada pemeriksaan wajib dengan penambahan pemeriksaan ketelusan filem penapis haba (tinted) dan pemeriksaan sistem suspensi – kesemua ini dengan harga hanya RM50.

Apa yang berbeza, tiada istilah lulus atau gagal pada pemeriksaan ini, Puspakom hanya akan menjelaskan kepada pemilik apa yang perlu diperbaiki sekiranya mengesan sebarang kerosakan pada kenderaan. Maklumat ujian tersebut juga tidak akan disalurkan ke JPJ.

Apa faedahnya untuk anda? Sekiranya anda tidak yakin dengan dakwaan kedai aksesori bahawa tinted yang dipasang pada kereta anda mematuhi spesifikasi JPJ, alat pemeriksaan di Puspakom mampu memberikan jawapan yang tepat untuk anda (jangan risau jika ia tidak mematuhi piawai kerana Puspakom tiada kuasa untuk mengambil tindakan, dan mereka tidak akan melaporkannya ke JPJ).

Begitu juga dengan bahagian lain, bahagian suspensi misalnya. Jika anda menghantar ke bengkel untuk memeriksa penyerap hentak, perkara yang dilakukan hanyalah dengan menekan badan kereta anda dan melihat kadar lambungannya. Di Puspakom, dengan mesin penguji sistem suspensi, mereka mampu meyediakan data yang tepat. Ini boleh mengelakkan anda dari ditipu oleh pihak bengkel.

Puspakom juga mempunyai kepakaran untuk mengesan kenderaan potong sambung serta penipuan pada nombor casis dan juga enjin (pemeriksaan ini adalah mandatori sekiranya anda melakukan pemeriksaan B5 untuk proses tukar milik kenderaan).

Jika anda tidak mahu melakukan secara pakej, Puspakom turut menawarkan pemeriksaan poin individu untuk empat perkara iaitu tinted, brek, suspensi dan juga side slip. Setiap satu poin tersebut, bayaran yang dikenakan hanyalah RM15. Risau menunggu lama? berberapa cawangan Puspakom memang dibina hanya untuk kenderaan persendirian dan anda tidak perlu beratur bersama lori dan bas perdagangan. Anda juga boleh membuat temu janji terlebih dahulu bagi memastikan pemeriksaan ini tidak akan menjejaskan jadual harian anda.

Sama ada anda sedar atau tidak, Puspakom turut menganjurkan kempen pemeriksaan individu ini secara percuma pada musim-musim perayaan seperti sambutan Tahun Baharu Cina dan juga Hari Raya Aidilfitri – yang tentunya lebih telus dari yang dijalankan di pusat-pusat servis yang mensasarkan untuk menjual servis tambahan. Menurut Puspakom, kebanyakkan kempen ini tidak mendapat sambutan kerana persepsi negatif masyarakat yang bimbang tidak tentu pasal kenderaan mereka mungkin akan disaman sekiranya ‘gagal’ dalam pemeriksaan.

Selain dari cawangan-cawangan di seluruh negara, Puspakom juga kini dilengkapi tujuh buah Mobile Inspection Unit iaitu hab bergerak yang dibekalkan dengan engine analyzer, suspension tester, brake tester dan juga side slip tester. Untuk pemeriksaan tukar hak milik mudah alih, sebanyak 18 unit Primier Mobile Inspection (PMI) berkeliaran di seluruh negara dan akan datang ke tempat anda menerusi temu janji.