Walaupun Toyota C-HR sudah kelihatan diuji di Thailand, namun ruang pameran jenama itu di Bangkok International Motor Show 2017 (BIMS 2017) belum kelihatan untuk pengenalan pertamanya diperingkat ASEAN. Bagaimanapun, ada satu model facelift yang dipamerkan – model yang sama akan masuk ke pasaran Malaysia – iaitu Toyota Vios.
Toyota Vios facelift 2017 dilancarkan di Thailand pada Januari lalu, menjadikannya sudah berusia dua bulan. Kemaskini terbaru pada sedan segmen B ini membawakan wajah yang lebih agresif; anda sama ada akan menyukainya atau pun tidak. Bahagian itu nampak lebih lebar, mirip Vios yang dilancarkan untuk pasaran China yang diperkenalkan di Beijing Auto Show 2016 lalu, serta padanan sentuhan dari model Camry 2018 untuk pasaran Amerika Syarikat.
Lampu utama dari jenis projektor yang baru dengan lampu posisi LED, gril yang lebih menonjol dengan bentuk T dan lampu kabus yang diposisikan semula beserta DRL LED ditepinya antara pembaharuan yang diberikan. Di belakang, lampunya diberi rekaan baru, dan palang krom yang menghubungkannya lebih nipis. Bampar juga diberi gaya baru yang lebih ringkas daripada yang sebelumnya. Rim 15 dan 16 inci juga dari rekaan baru.
Tiada perubahan pada ruang kabin. Ciri-ciri seperti unit infotainmen 2-DIN dengan skrin sentuh tujuh inci, operasi tanpa kunci, tempat duduk kulit/fabrik, MID dan pendingin hawa automatik (tidak ditawarkan di Malaysia) masih dikekalkan. Tema dalaman juga berbeza bagi Vios di Thailand, mengikut varian; J, E, G dan S.
Dari segi sistem pacuan juga ia kekal sama. Ia dikuasakan oleh enjin 2NR-FBE 1.5 liter Dual VVT-i, yang kali terakhir menerima kemaskini teknikal pada 2016 dan menghasilkan 108 hp/140 Nm sama seperti versi semasanya yang ditawarkan ketika ini. Padanan kotak gear pula adalah dari jenis CVT dengan tujuh nisbah maya. Tiada lagi automatik empat-kelajuan dan transmisi manual.
Pelanggan di sana boleh memilih dari enam warna luaran – Red Mica Metallic, Quartz Brown Metallic, Super White, Silver Metallic, Gray Metallic dan Attitude Black Mica. Harga pula dari 609,000 baht (RM78,158) bagi varian J hingga 789,000 baht (RM101,237) bagi varian S. Versi terbaru ini dijangka tiba di Malaysia tahun ini untuk memberi saingan kepada Honda City facelift.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.