Ekoran semakin banyak kemalangan jalan raya yang berpunca daripada kenderaan berat termasuk bas ekspres, Institut Jurutera Malaysia (IEM) mencadangkan supaya prosedur pengeluaran lesen bagi kenderaan jenis ini diperketatkan. Antaranya mewajibkan penggunaan alat pengehad kelajuan termasuk membabitkan kenderaan pengangkutan awam seperti mana yang pernah dicadangkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebelum ini.
Menurut Presiden IEM, Tan Yean Chin, pihaknya juga mencadangkan pelaksanaan penilaian keselamatan jalan raya secara sistematik dan pemetaan kawasan risiko kepada kemalangan di seluruh negara. Di mana keperluan reka bentuk jalan raya juga perlu diseragamkan di samping mengukuhkan proses pemeriksaan kenderaan berat.
“Malah perlu dibangunkan strategi pengurusan kelajuan kebangsaan dan pelaksanaan audit keselamatan jalan raya secara berterusan di semua peringkat, termasuk jalan raya sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan seperti mana yang disiarkan oleh Berita Harian hari ini.
Katanya lagi, satu program lebih sistematik juga wajar diwujudkan sebagai prosedur penilaian lebih ketat kepada pemandu kenderaan berat, bagi membolehkan hanya mereka yang bertanggungjawab dan layak dibenarkan memandu. Cadangan ini dikemukakan IEM merujuk insiden membabitkan sebuah lori terbabas di Lebuhraya Pantai Timur berdekatan Bukit Besi, Terengganu pada 6 April 2017 serta kemalangan lalu lintas membabitkan sebuah kenderaan MPV dan treler di KM403.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Tanjung Malim, Perak, 2 April lalu.
Dalam pada itu, Yean Chin, berkata IEM juga mengambil berat insiden sebuah kenderaan terjunam ke dalam tapak kumbahan setinggi 16 meter di Kajang Perdana, Kajang pada 31 Mac lalu serta satu kejadian sama di Jalan Universiti, Petaling Jaya, 3 Mei tahun lalu. Berdasarkan insiden itu, beliau berkata, IEM mahu supaya diwujudkan pelan pengurusan trafik yang lebih tersusun oleh kontraktor di mana-mana kawasan pembinaan yang boleh mengundang risiko dan berbahaya.
Ini termasuklah pelaksanaan pemasangan tanda amaran, pemegang bendera serta sistem halangan sementara yang menepati piawaian dan garis panduan ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), selain menukar penghadang plastik kepada konkrit.
Sebelum ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pernah memaklumkan, menjelang tahun 2020, semua bas ekspres yang beroperasi di negara ini akan dilengkapi dengan alat pengehad kelajuan. Pelaksanaan pemasangan alat berkenaan dapat memastikan mana-mana bas ekspres hanya dapat bergerak pada had kelajuan 90 km/j sahaja.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.