Bagi sesetengah orang, kereta mainan die cast bersaiz 3-inci keluaran Mattel iaitu Hot Wheels mungkin sekadar permainan. Namun Hot Wheels sebenarnya bukan sekadar kereta kecil untuk kanak-kanak, kerana ia mempunyai jumlah pengumpul yang ramai terdiri dari orang dewasa. Ini membuatkan sesetengah keluaran kereta mainan berkenaan kadang kala lebih bernilai dari emas.
Terbaharu, sebuah model prototaip yang digelar “Beach Bomb” dihasilkan pada tahun 1969 telah dinilai dengan harga sekitar USD$100,000 hingga USD$150,000 (RM444k-RM665k) dalam rancangan Antique Roadshow. Beach Bomb tersebut adalah milik anak kepada salah seorang foreman Mattel yang bertugas pada era berkenaan.
Beach Bomb merupakan model yang dibina berasaskan bentuk Volkswagen Type-2 (lebih dikenali sebagai Combi Van) yang diberikan dua buah papan luncur air. Model produksi Beach Bomb ini juga sebenarnya merupakan model yang dihasilkan dalam jumlah terhad serta menjadi buruan pengumpul, apatah lagi untuk model prototaip yang sememangnya tidak dijual dalam pasaran ini.
Menurut pemilik berkenaan, versi prototaip yang dihasilkan dengan jumlah yang sangat sedikit ini diberikan papan luncur yang dimasukkan pada bahagian belakang, manakala model produksi sebenar yang dijual dipasaran mempunyai papan luncur yang diletakkan di bahagian sisi.
Rekaan ini tidak diluluskan untuk versi produksi kerana ianya tidak sesuai untuk digunakan pada landasan Hot Wheels – terlalu berat dan juga terlalu lebar pada alat pelancar Super Charger. Antara perbezaan lain model produksi dan juga model prototaip ini adalah pada tingkapnya – versi produksi hadir dengan tingkap berwarna (mengikut warna badan) manakala untuk prototaip ia diberikan tingkap tanpa warna.
Bagi pengumpul di Malaysia, trend terkini nampaknya model-model yang dihasilkan dalam tema JDM terutamanya model-model Datsun seperti Fugu Z (Datsun Fairlady 240Z milik bintang Hollywood Sung Kang) mendapat sambutan yang sangat hebat sehingga hampir mustahil untuk didapati di kedai-kedai biasa. Jika anda benar-benar mahukannya, terpaksalah untuk membelinya pada penjual-penjual atas talian tetapi dengan harga berganda lebih mahal.
Jadi, untuk mereka yang hairan mengapa sebilangan rakan-rakan anda begitu menggilai mainan 3-inci ini, sekarang mungkin sedikit sebanyak anda faham tentang nilainya bukan?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.