Pengumpul ‘kereta kecil’ Hot Wheels perlu bersedia, laman instagram rasmi Hot Wheels telah mendedahkan siri model die-cast skala 1:64 terbaharu mereka – Fugu Z, iaitu Datsun Fairlady S30 240Z milik bintang Fast and Furious, Sung Kang.

Model berkenaan diberikan perincian yang agak teliti oleh pihak Hot Wheels dalam mereplikakan Datsun Fairlady 240Z milik Sung Kang tersebut. Ia hadir dengan warna badan putih dan dilengkapi fender flare(kemasan untuk melebarkan ruang roda) Rocket Bunny pada keempat-empat sudut, spoiler but belakang, cermin sisi ‘tanduk’ (fender mirror) asli 240Z JDM, bampar hadapan berwarna hitam serta bampar belakang yang ditanggalkan.

Fugu Z direstorasi oleh Sung Kang dengan bantuan Greddy USA, OS Giken dan banyak lagi nama besar dalam dunia modifikasi automotif di Amerika Syarikat. Enjin L24 enam silinder 2.4 liter asal Datsun Fairlady 240 Z ini telah digantikan dengan enjin RB26 dari Nissan Skyline R32 GT-R tetapi tanpa bantuan pengecas turbo bagi mengekalkan karekter asal kereta sport klasik tersebut. Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear lima-kelajuan dari enjin RB25 dan turut dilengkapi dengan pelbagai perlalatan transmisi berprestasi tinggi dari OS Giken seperti sistem klac dan juga unit gandar LSD.

Pada bahagian luaran, Fugu Z dilengkapi dengan kit badan Rocket Bunny, roda aloi Rays Engineering TE37V (V untuk Vintage) serta perincian JDM lain seperti cermin sisi fender berbentuk bulat.