Selepas New York International Auto Show, Audi kini mensasarkan pula Shanghai Auto Show, di mana apabila pameran itu dibuka, mereka akan menunjukkan sebuah kenderaan konsep baru yang masih belum dinamakan. Setakat ini, dua video telah dikeluarkan tentang kereta tersebut dan ia dilihat mempunyai lampu LED depan dan belakang, lampu utama berbentuk trapezoid dan gril singleframe.

Lampu LED pada bahagian depan dan belakang kenderaan ini, selain mempunyai nyalaan unik, juga boleh bergerak, dengan di belakang, terdapat garisan LED yang menyambungkan lampu kiri dan kanan. Selain itu, logo Audi pada kenderaan ini juga boleh menyala – putih di hadapan dan merah di belakang.

Selain daripada itu, tidak banyak yang diketahui, tetapi ia mempunyai lencana e-tron, yang sekaligus memberi bayangan bahawa ia akan dikuasakan oleh elektrik. Baru-baru ini, pengerusi Audi, Rupert Stadler ada memberitahu Car bahawa syarikatnya akan mengeluarkan tidak kurang daripada tiga kenderaan elektrik menjelang tahun 2020, dan satu daripadanya adalah sebuah SUV yang akan mula dijual pada tahun 2018.

Sebuah lagi model fastback juga akan diperkenalkan, di mana menurut Stadler, “bukan sebuah SUV, tetapi lebih tinggi daripada saloon biasa.” Model ini berkemungkinan menjadi pesaing kepada model kenderaan Gran Turismo oleh BMW. Melihat kepada kecondongan cermin dan bahagian belakang yang tegap pada kenderaan dalam video ini, mungkin ini adalah modelnya. Akhir sekali, sebuah kenderaan bandar premium elektrik akan diperkenalkan pada tahun 2020.