Bagi memperkenalkan divisyen Audi Sport GmbH baharu (yang menggantikan quattro GmbH), pengeluar kenderaan ini telah melancarkan model edisi istimewa bagi R8 Coupe yang diberi nama Audi R8 Coupe Sport Edition. Hanya 200 unit sahaja yang akan ditawarkan, dengan membawakan warna utama Audi Sport – perak, merah dan hitam.

Di mana jentera ini dipadankan dengan kekemasan merah pada sideblade dan cermin sisi, sementara untuk spoiler hadapan, gril bingkai tunggal dan diffuser pula dilatari warna hitam titanium.

Manakala kekemasan bagi paip ekzos trapezoidal dengan warna hitam berkilat dan ditampilkan bersama roda aloi rekaan Y 10-jejari 20-inci lengkap dengan logo Audi Sport, dibaluti tayar 245/30 di hadapan dan 305/30 di belakang.

Pilihan bagi versi R8 V10 dengan kekemasan merah berkilat untuk kaliper brek, sementara R8 V10 plus pula bersama cakera brek seramik dipadankan bersama kaliper dengan kekemasan warna antrasit.

Di dalamnya, ia menampilkan kekemasan ambang pintu ilumninasi dengan label Audi Sport sebagai inskripsi “1/200” untuk menggambarkan betapa eksklusifnya model ini. Seperti bahagian luaran, kabinnya juga ditampilkan dengan skim warna yang lebih kurang sama, termasuk pada kekemasan pintu dan tempat duduk sport balutan kulit Nappa.

Lain-lain perincian yang kelihatan termasuklah perehat kepala pada tempat duduk dengan logo R8, jahitan kontras dan bertahtakan karbon berkilat. Roda stereng balutan kulit yang rata di bawah dengan rekaan tiga-jejari adalah standard bagi model edisi istimewa ini.

Malah enjin standard juga ditawarkan iaitu 5.2 liter V10 dengan output 540 hp dan tork 540 Nm bagi versi R8 V10, serta 610 hp dan 560 Nm pada varian R8 V10 plus. Kedua-duanya turut dipadankan dengan transmisi dwi-klac S tronic tujuh-kelajuan dan sistem pancuan semua-roda Audi quattro yang menyalurkan kuasa ke semua roda.

Di Jerman, harga yang ditawarkan ialah 181,900 euro (RM852,430) untuk Audi R8 Sport Edition bagi varian V10, sementara V10 plus pula 205,800 euro (RM964,432).