Penggunaan visor gelap pada helmet adalah salah?

Penggunaan visor gelap pada helmet adalah salah?

Jika anda tidak pernah langsung menunggang motosikal untuk urusan harian, mungkin agak sukar untuk anda memahami hal atau isu-isu berkaitan mereka yang menunggang motosikal di jalan raya. Misalnya, ketika perlu mendepani sikap segelintir pemandu, yang ada ketikanya seperti langsung tidak pernah menghiraukan kehadiran penunggang motosikal disekitar mereka.

Ini, bagaimanapun, bukanlah bermakna penunggang motosikal sentiasa bersikap munasabah ketika di atas jalan raya – ramai juga yang bersikap sambil lewa. Kemudian, hadir pula faktor cuaca yang tidak menentu, panas dan hujan, yang sudah pasti akan mempengaruhi cara dan tindak balas tunggangan. Ini belum lagi mengambil kira keadaan permukaan jalan serta laluan khas motosikal, yang sehingga kini masih terus-menerus menjadi perbualan ramai.

Peraturan-peraturan yang ada berkaitan hal-hal yang dinyatakan di atas, walaupun tujuannya adalah untuk mengutamakan keselamatan semua pengguna jalan raya, tetap ada sebahagian penunggang yang melihatnya sebagai satu kekangan yang tidak selari dengan keperluan semasa. Sebagai contoh, yang ingin kami utarakan di sini ialah penggunaan visor gelap pada topi keledar atau helmet.

Penghadang muka pada helmet atau visor tidak hanya berfungsi untuk melindungi penglihatan atau mata penunggang daripada dimasuki habuk, serta serpihan-serpihan lain dari atas jalan yang mungkin akan terpelanting dan terkena mata – jika ini berlaku, ia akan meletakkan penunggang dalam situasi yang sangat merbahaya.

Penggunaan visor gelap pada helmet adalah salah?

Dalam cuaca panas seperti di Malaysia ini pula, ramai juga penunggang yang menggunakan visor gelap untuk menghalang kesilauan pada mata. Ini boleh difahami dengan mudah, dan kelihatan tindakan itu juga sangat logik bagi mereka yang menunggang, terutama ketika siang hari yang panas terik. Ramai yang berpendapat bahawa perkara ini tidak menjadi masalah.

Namun, mungkin anda pernah mendengar sebelum ini tentang penggunaan visor gelap pada helmet sebenarnya salah di sisi undang-undang. Adakah perkara ini benar atau sekadar salah faham yang kemudiannya menjadi viral di media sosial?

Bagi mengelakkan sebarang keraguan, kami minta penjelasan daripada Pengarah Jabatan Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk IR. HJ. Mohamad Dalib untuk mengetahui duduk letak perkara sebenar berkaitan penggunaan visor gelap.

“Di atas kertas, visor pada mana-mana jenis helmet wajib mempunyai kejelasan penglihatan 100%. Maksudnya, sebarang visor yang gelap daripada itu adalah dilarang penggunaannya,” ujar beliau, sambil menunjuk ke arah sebuah helmet yang digunakannya sendiri – helmet saiz penuh dengan visor biasa yang 100% lutsinar ketika kami perkunjung ke pejabatnya tempoh hari.

Penggunaan visor gelap pada helmet adalah salah?

Tetapi, atas sebab apa penggunaannya tidak dibolehkan? Bukankah visor gelap (dalam konteks tunggangan pada siang hari) lebih selamat kerana penunggang boleh menumpukan perhatian dengan keadaan mata yang lebih selesa dan redup untuk memerhatikan lalu lintas dan persekitaran dengan lebih baik?

“Tujuannya adalah untuk menampakkan wajah penunggang di sebalik helmet itu. Lebih utama, jika mata penunggang juga dapat dilihat. Sebab apa? Ini adalah untuk membolehkan penunggang membuat eye contact dengan pengguna jalan raya yang lain, terutama dengan pemandu kereta.

“Ini sangat berkesan terhadap apa saja yang ingin penunggang lakukan, misalnya ketika ingin keluar dari persimpangan; pandang tepat ke arah pemandu lain, serta gunakan isyarat tangan sebelum anda melintas atau mula bergerak. Cara ini adalah jauh lebih berkesan dan selamat, kerana sudah ada contact atau makluman awal di antara mereka,” tambah beliau.

Ini bukanlah bertujuan untuk mengelak kejadian atau perlakuan jenayah dalam kalangan penunggang, walaupun itu mungkin menjadi sebahagian kerisauan pengguna jalan yang lain ketika menilai penggunaan visor gelap ini. Ia dijadikan peraturan dengan matlamat untuk menjamin keselamatan penunggang itu sendiri dalam suasana lalu lintas yang tak menentu. Perkara selebihnya yang muncul selepas itu adalah hal-hal sampingan dan terpencil.

Penggunaan visor gelap pada helmet adalah salah?

Ketika dimaklumkan tentang perkara ini, ia sebenarnya masuk akal juga. Saya kemudiannya membandingkan pengalaman sendiri berkayuh basikal di atas jalan raya terbuka, dengan kehadiran banyak kenderaan lain yang lebih laju. Pendekatan untuk memandang wajah pemandu atau penunggang motosikal, dan dalam masa yang sama memberi kesempatan kepada mereka untuk mengambil maklum kehadiran serta tindakan yang akan anda ambil sejurus selepas itu ketika sedang berbasikal menjadikan satu-satu situasi itu selamat untuk semua.

Pandangan terus ke mata mereka yang mengawal stereng, diikuti isyarat tangan untuk memaklumi mereka, sebagai contoh ketika anda sedang ingin menukar lorong dan menyeberang ke laluan lain, akan membuatkan pengguna jalan raya lain sedar akan tindakan anda, dan kemudian akan memberi ruang sebaiknya untuk anda berbuat demikian. Secara peribadi, saya boleh faham sudut pandangan dari mana datangnya penetapan dan matlamat peraturan ini. Anda pula bagaimana?

Kemudian, kita panjangkan pula kepada contoh ketika menunggang di malam hari dengan visor gelap. Ia akan menyebabkan pandangan penunggang terhad, kerana suasana di luar sememangnya sudah gelap. Ini akan membuatkan penunggang terpaksa juga menolak visor ke atas agar tidak menghalang penglihatan – dan mata akan terdedah juga kepada habuk dan lain-lain perkara.

Ada juga argumen yang menyatakan, dengan visor lutsinar yang cerah, penunggang perlu menggunakan cermin mata hitam di dalam ketika di siang hari. Ini juga akan menjadikan matlamat asal untuk mengadakan eye contact tadi tidak bermakna – tambahan pula jika penunggang menggunakan helmet penuh (full face). Juga, sekiranya berlaku kemalangan, kemungkinan cermin mata hitam itu pecah dan menyebabkan kecederaan pada mata dan itu sangat bahaya.

Penggunaan visor gelap pada helmet adalah salah?

Tentang hal yang pertama, saya perpendapat, dalam apa pun situasi di atas jalan raya yang biasanya penuh curiga kini, untuk kita dapat melihat sedikit bahagian wajah penunggang motosikal akan menerbitkan rasa yang lebih menyenangkan berbanding sekiranya kita langsung tidak dapat melihat menembusi visor yang digunakan.

Dan untuk hal yang kedua, sekiranya berlaku kemalangan, kecederaan di bahagian muka tetap saja ada kemungkinan untuk berlaku, dan visor yang digunakan boleh saja pecah dan serpihannya sama juga membahayakan seperti cermin mata. Apa yang boleh kita buat untuk mengelak keadaan ini daripada berlaku? Jadilah pengguna jalan raya yang berhemat.

Walaupun penggunaan visor gelap ini salah di sisi peraturan jalan raya, sepanjang pengetahuan kami, JPJ tidak pula pernah mengadakan operasi khas semata-mata untuk memburu penunggang dengan visor gelap. Cuma, anda perlu tahu, sekiranya nasib tidak menyebelahi dan anda ditahan di atas sebab berkenaan, undang-undang rasmi tidak menyebelahi anda. Yang tersisa ketika itu hanyalah budi bicara di antara anda dan pegawai penguatkuasa itu sahaja.

Apa pula pandangan anda tentang perkara ini? Ikuti juga liputan yang kami lakukan terhadap isu-isu lain berkaitan jalan raya sebelum ini, seperti pertukaran lampu biasa ke HID bagi kenderaan, tayar kangkang serta penggunaan pelekat body-wrap.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • Apa ke bangang sbb tak bole cermin gelap sbb nk eye contact. Kan bole flip up visor tu kalau nk buat eye contact. Educate first before nak buat undang2 dgn maksud tersirat yg bangang mcm ni. Ajar la dulu, tk ajar pastu harap penunggang buat eye contact.

    Like or Dislike: Thumb up 16 Thumb down 1
  • Khairul Azril Omar on Apr 19, 2017 at 11:47 am

    Mengikut pengalaman sy, tak perlu nmpak mata utk eye contact, cukup sekadar pergerakan kepala memadai menyatakan kpd pemandu lain yg anda berhajat utk membelok atau masuk simpang. Berkenaan dgn cermin mata hitam brkemungkinan pecah dan membahayakan mata sekiranya berlaku kemalangan, sy brpendapat situasi ini lebih bahaya kpd pemandu kereta yg dilengkapi airbag. Hentaman airbag yg kuat yg sudah pastinya mmberi impak kpd muka dan dada boleh menyebabkan seseorg mengalami kecederaan kpd mata sekiranya memakai cermin mata. Manakala kemalangan motosikal belum tentu akan menyebabkan direct impact kpd muka/mata.

    Like or Dislike: Thumb up 13 Thumb down 1
  • rider ex5 on Apr 19, 2017 at 2:07 pm

    rasanya masa belajar memandu untuk ambik lesen, xde diajar untuk buat eye contact dgn prmandu lain. yang ada bagi signal pakai tangan je. syllabus dah berubah ke? ke aku yang lupa?

    Like or Dislike: Thumb up 15 Thumb down 1
  • Pha Is on Apr 19, 2017 at 4:33 pm

    Pendapat saya.

    1. Eye contact? Kalau dah full face, buat la jegil mata macam mana sekali pun, bukan nak nampak pun mata tu. Lain la duk dekat face to face depan mata mcm bersembang ni. So, kalau dah seberang jalan tu, atau kat persimpangan, memang x significant pun rasanya kalau nak timbul isu eye contact ni.

    2. Dalam hal ni, contact yang lebih penting adalah gaya gerak badan dan bunyi enjin motosikal. Macam pandangan Khairul Azril Omar tu. Gerak kepala pun dah cukup. Lagi baik kalau ada pergerakan isyarat tangan. Itu lebih menyerlah.

    3. Nak lagi isyarat yg lebih klear, pulas throttle dulu dlm keadaan clutch ditarik, sebelum keluar simpang dan sebagainya. Bunyikan moto menunjukkan kita bersedia nk bergerak. Bukan saja2 rider tukar mufler ekzos. Ada sebab.

    4. Pandangan gelap waktu malam. Memang tak dinafikan akan gelap sikit jika nk bandingkan dengan visor cerah. Tapi x significant sangat. Sbb ruang dalam helmet lebih gelap drpd ruang persekitaran luar helmet. Jadi, pandangan kearah luar sebenarnya lebih lut cahaya berbanding pandangan luar kedalam helmet. Walaupun org nampak gelap, tapi sebenarnya kami nampak cerah elok je. Ibarat dok dalam bangunan yg tingkap gelap tapi x buka lampu. Org luar nampak macam gelap tapi kalau duk dalam bangunan, nampak klear orang kat luar. Semuanya berkait rapat dengan perbezaan cahaya di luar dan dalam helmet.

    5. Berkenaan kemalangan melibatkan kecederaan muka, saya pernah jumpa rider kemalangan jatuh terseret jauh. Nasib baik dia pakai full face sbb bahagian kanan pipi berdekatan tulang rahang di luar helmet beliau calar teruk. Tapi visor masih lagi elok, x pecah. Kalau pakai openface tu, rasanya sagat dah dagu dia.

    6. Dan saya jugak pernah jumpa kes dimana rider disaman hanya kerana menggunakan visor gelap pada helmet.

    Like or Dislike: Thumb up 10 Thumb down 1
  • Mahmud Ali Bakar on Apr 19, 2017 at 6:58 pm

    Apa kes eye contact tu? Guna jelah signal dgn isyarat tangan. Kes macam ni baik takyah gi sekolah memandu apa jadah jpj ni ? Apa kes?

    Like or Dislike: Thumb up 4 Thumb down 2
  • Aku y sengal on Apr 19, 2017 at 8:04 pm

    Ddlu mmg respect btol dgn paultan ni..dgn info y berguna..laaa..tgk sengal pon ade..de ke masa nk tgk mata..biasa nk kmne pon tgk signal kenderaan mahupon kpala..xdannya nk perhati mata..mcm nmpk pon klo dri sisi…paultan ptt mjdi wartawan tuk cba btnykn apa relevennya jpj bkata demikian dan cba bbahas..bukan terima bulat2 jaaa..moga paultan mgaji secara tperinci teguran ini..sekian..

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 1
  • Abdullah on Apr 20, 2017 at 1:11 pm

    Hahahhaa. Eye contact? Apa kalau pemandu lun pakai sunglasses? Macam mana nak eye contact. Nak test x? Bila anda boleh nampak mata motorist di jalan raya? Sila test betul2 dulu. 12 tahun sy nail moto di jalan raya. X pernah sy eye contact dgn pemandu kereta. Tgk kepala driver pusing ke mana mmg ada la. Tp eye contact mmg kelakar la jpj ni. Hahahahaha

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 1
  • Fizal aziz on Apr 20, 2017 at 3:43 pm

    Buat kajian dulu. Pada jarak berapa meter kita boleh nmpk pergerakan mata org didepan. Pada jarak itu juga pada kelajuan 60km keatas sempat x kita utk eye contact dngn org didepan kita. Pada pandangan sy kita patut tingkatkan kesedaran ttg pentingnya penggunaan signal ketika membelok atau menukar laluan tanpa mengira apa jenis kenderaan pon

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
  • eye contact ? peraturan baru ke..
    smlm balik menunggang dlm hujan. nmpk je kereta nak tukar lane tak bagi signal. pandang dia. cermin kereta dia gelap semacam je. ape jadahnya eye contact.
    eye contact la sangat. bawa motorsikal tengahri pakai visor clear ? berair mata nk tgk jalan. tu lagi bahaya. siut je.

    Like or Dislike: Thumb up 3 Thumb down 1
  • Muhamad on Apr 20, 2017 at 7:12 pm

    Undang2 yang digubal oleh manusia…manusia pulak yg jenis syok sendiri…pendapat/pandangan/kesulitan orang lain dah tak dipedulikan…biarlah yang maha Esa memberikan manusia2 jenis ni sedikit pengajaran supaya mereka dapat mengambil iktibar…

    Like or Dislike: Thumb up 3 Thumb down 0
  • nabil on Aug 22, 2017 at 9:03 pm

    Terima kasih admin keatas penjelasan yang teliti tentang penggunaan visor gelap.Terima kasih banyak2

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 1
  • John Wick on Sep 14, 2017 at 12:35 pm

    Apakah bodoh yg menjual tidak disaman?

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
  • Apa ke bodoh eye contact eye contact…pergerakan moto sgt cpt…pala bana dia nk sempat tgok eye org…ngapa lar JPJ nih pkai kajian bangang…polis trafik sndiri pun pkai spek mata itam…bangang bertingkat tingkat…

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • Agosta on Jun 06, 2023 at 3:14 pm

    Kalau nak pakai visor gelap jangan pakai untuk riding malam.
    Di jalan raya mungkin ada pengguna basikal, ada pejalan kaki, ada lubang, ada bumper. Memang tak nampak punya bahkan tepi jalan dengan rumput pun tak boleh nak beza.
    Berapa ramai antara kamu yang ada dua helmet untuk jalan siang dan satu lagi untuk jalan malam?

    Janganlanh nak eksyen sangat nak pakai visor gelap tak kena tempat.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required