Benelli Malaysia mengesahkan akan membawa masuk model Benelli Leoncino 500 ke pasaran Malaysia pada separuh kedua tahun ini. Dengan sentuhan reka bentuk gaya retro pada penampilannya, model ini akan memperluas barisan produk yang ditawarkan jenama itu di sini.

Model berkenaan dilengkapi dengan enjin silinder berkembar empat-lejang 500 cc dengan sejukan cecair. Ia mampu menghasilkan sebanyak 35kW kuasa pada 8,500 rpm dan 45 Nm tork maksimum. Ia turut dilengkapi ciri suntikan elektronik bagi sistem bahan api serta klac hidraulik yang dipadankan dengan sistem transmisi enam-kejaluan.

Ia menggunakan tayar 120/70-ZR17 di bahagian hadapan, dan 160/60-ZR17 untuk tayar belakang – menjamin kestabilan dan prestasi terbaik dalam apa jua keadaan. Suspensi hadapan yang berdiameter 45mm dan menggunakan teknologi fork terbalik, dipadankan dengan brek caliper empat-piston dengan cakera brek 320mm. Pergerakan lengan buai di bahagian belakang dikawal oleh penyerap hentak sisi dengan penggunaan kaliper brek piston tunggal pada cakera 260 mm.

Antara keunikan lain model ini ialah reka bentuk oleh CentroStile Benelli yang menampilkan imej retro dan lasak, termasuk lambang Singa Pesaro yang terletak di bahagian depan. Ia juga dilengkapi sistem ABS, paparan meter digital serta teknologi lampu LED dengan projektor. Menurut Benelli Malaysia, ia akan dijual pada yang sangat kompetitif sebaik dilancarkan kelak.

Dalam perkembangan lain, sejak memperkenalkan beberapa model baru pada awal April, Benelli Malaysia telah menerima sejumlah 6,000 tempahan – merangkumi model-model seperti RFS150i, 302R dan jentera kembara TRK502. Permintaan terhadap model RFS150i merupakan yang terbesar, dan berada diluar jangkaan pengedarnya sendiri.

Benelli Malaysia juga akan mengeksport dua model keluarannya, iaitu RFS150i dan TNT 135 ke Taiwan, Vietnam dan akan mensasarkan negara ASEAN yang berhampiran selepas itu.