Pandangan awal: Kawasaki Versys-X 250 diuji ringkas

Pandangan awal: Kawasaki Versys-X 250 diuji ringkas

Bagi peminat motosikal, agak menarik untuk melihat apakah langkah seterusnya oleh wakil pengeluar di Malaysia, terutamanya model-model baru. Apabila sesebuah model dilancarkan secara global, ia tidak bermakna model tersebut akan tiba di Malaysia melalui pengedar rasmi, jadi, apabila mereka melakukan sesuatu acara, wakil media akan cuba ‘mengorek’ sebarang berita mengenainya – jika syarikat itu tidak mengumumkannya sendiri.

Bagi tahun 2017, Kawasaki Motors Malaysia (KMM) mempersembahkan empat model secara serentak – Versys-X 250, Ninja 650, Z650 dan Z900 – untuk tontonan awal dan pada masa itu harganya juga masih belum ditetapkan. Kesemuanya memang ditunggu ramai, dengan Z900 menggantikan Z800 manakala Z650 dan Ninja 650 masing-masing menggantikan ER-6n dan ER-6f, tetapi Versys-X 250 adalah tanda penglibatan pertama KMM dalam segmennya.

Ia direka untuk mereka yang mencari kemampuan dua alam pada sebuah motosikal, iaitu boleh digunakan di atas jalan biasa, dan juga offroad yang tidak keterlaluan. Selain itu, kapasiti enjinnya juga lebih rendah – anda tidak perlu menaik taraf kepada lesen penuh, dan kuasanya tidak akan menakutkan mereka yang masih baru berjinak-jinak menunggang motosikal.

Bukan setakat orang awam, wakil media juga tidak sabar untuk mendekati motosikal ini, seterusnya menyampaikan pendapat kami kepada orang ramai. KMM faham akan perkara ini, dan satu sesi tunggang uji ringkas melibatkan perjalanan campuran jalan biasa dan offroad diadakan minggu lalu.

Sebelum pergi kepada rasa tunggangannya, kita ‘berkenalan’ terlebih dahulu dengan Versys-X 250 ini. Bermula dengan penampilannya, saya boleh katakan bahawa ia tidaklah begitu moden, malah ‘muka’ hadapannya mengingatkan kepada model KLR yang sudah digunakan seawal tahun 2008. Memang, Versys ini adalah model penyambung generasi bagi KLR dan KLE, malah bagi Versys 650, ia masih dikenali sebagai KLE 650 di beberapa pasaran negara lain.

Bagi enjin pula, unit dua silinder selari 249 cc yang digunakan pula sebenarnya adalah unit sama seperti yang terdapat pada Ninja 250, dan ia mampu menghasilkan sehingga 34 PS pada 11,500 rpm dan 21.7 Nm pada 10,000 rpm. Kemudiannya, enjin ini dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

Pandangan awal: Kawasaki Versys-X 250 diuji ringkas

Pada hari sesi tunggang uji ringkas ini, di sebelah pagi, saya menunggang Z900, manakala pada sebelah petang, barulah berpeluang menunggang Versys-X 250 ini. Bertukar daripada 900 cc terus kepada 250 cc memang tidak memberi sebarang kelebihan kepada Versys-X 250. Terus, motosikal ini rasa kurang berkuasa kerana saya perlu memulas pendikit sehingga habis untuk memecut.

Anda tidak akan mendapat kuasa yang boleh menarik badan anda ke belakang, dan ia lebih santai dengan penunggang masih boleh berfikir banyak perkara lain walaupun pendikit sudah dipulas habis.

Walaupun begitu, ini dikira sudah mencukupi untuk seseorang yang bercadang mencari pengembaraan menggunakan jentera dua roda. Di atas lebuh raya, walaupun mengambil sedikit masa untuk mencapai kelajuan lebih tinggi, motosikal ini boleh memecut sehingga 160 km/j.

Pandangan awal: Kawasaki Versys-X 250 diuji ringkas

Sama seperti Z650, Ninja 650 dan Z900, satu lagi perkara yang menarik perhatian saya terhadap Versys-X 250 adalah klac assist and slipper yang digunakan. Ramai yang mengatakan dengan klac assist and slipper ia dapat membantu mengelak wheel hop apabila menukar gear secara agresif, tetapi pada motosikal ini (dan tiga lagi model baru Kawasaki), saya tertarik dengan kelancarannya.

Tuil tangan itu sahaja begitu mudah dtarik, sehinggakan ada rakan media yang lain mengatakan ia seperti menarik klac kapcai 150 cc. Memang benar, dan tidak cukup dengan itu, penukaran gear juga dapat dilakukan dengan lancar, sehinggakan saya berpendapat, tidak mungkin anda akan mengalami missed gear.

Perkara lain yang saya rasakan dapat dinikmati pada Versys-X 250 adalah keselesaan. Menurut Kawasaki, tempat duduk motosikal ini sebenarnya sama lebar dengan Versys 650 manakala kedudukan tunggangan yang tegak, juga tidak memenatkan penunggang. Disebabkan ingin mendekati penunggang ‘saiz Asia’, tempat duduk motosikal ini dijadikan lebih rendah iaitu 815 mm.

Bukan setakat atas jalan biasa, saya juga berpeluang membawa motosikal ini masuk ke laluan offroad, yang tidaklah begitu keterlaluan. Boleh dikatakan, bagi mereka yang mencari kepuasan untuk menggelungsur ke kiri kanan apabila memulas pendikit di atas jalan licin, anda tidak akan menemuinya pada Versys-X 250.

Tapi kalau sekadar ingin meneroka santai, termasuk melalui jalan yang tidak banyak digunakan oleh orang lain, anda tidak akan bermasalah. Malah, tetapan rim 19 inci di hadapan, yang dibalut tayar IRC 100/90 di hadapan dan rim 17 inci dengan tayar 130/80 di belakang sememangnya dilengkapkan untuk tujuan tersebut. Apabila diperhatikan, kemudiannya saya terperasan bahawa rim ini adalah daripada jenama DID buatan Jepun, yang kualitinya memang terkenal dan banyak digunakan bagi motosikal motocross.

Suspensi yang digunakan pada Versys-X 250 adalah daripada jenis fork teleskopik 41 mm di hadapan (130 mm jarak pergerakan), dan di belakang, terdapat monoshock yang boleh dilaras pra-bebannya (jarak gerak 150 mm). Setakat yang ditunggang secara ringkas ini, saya mendapati suspensi tersebut bertindak baik, tidak terlalu lembut ataupun tidak terlalu keras.

Pandangan awal: Kawasaki Versys-X 250 diuji ringkas

Saya tidak berpeluang menguji berapa jauh minyak dalam tangki 17 liter motosikal ini mampu bertahan, tetapi menurut Kawasaki, penggunaannya berada pada tahap sekitar 28 km/l, manakala minyak simpanan pula berkapasiti 3 liter. Tahap minyak semasa ditunjukkan dengan jelas di panel meter, bersama informasi penting lain seperti kelajuan, kedudukan gear, rpm, jam dan lampu amaran lain.

Bagi Versys-X 250 yang dipasarkan di Malaysia ini, KMM tidak melengkapkannya dengan sistem brek ABS, dan ini berkemungkinan adalah supaya harganya lebih mesra kepada pengguna. Apatah lagi, walaupun sebenarnya ia agak penting, bagi sebuah motosikal yang boleh dibawa ke jalan offroad, ia juga memerlukan suis aktif/tutup, dan ini boleh menambahkan lagi kosnya.

Selain itu, KMM juga buat masa ini tidak bercadang untuk menjual Versys-X 250 yang lengkap dengan aksesori kembara kerana harganya boleh jadi mencecah hampir RM30,000, dan bagi pengguna, apabila tiba pada harga tersebut, lebih baik mereka memilih Versys 650. Bagi yang mahukan aksesori ini, ia boleh dibeli secara berasingan dan ia diimport dari Thailand dan Jepun.

Di sebalik semua ini, KMM masih mahu menjadikan Versys-X 250 sebagai sebuah motosikal yang cukup berbaloi untuk pembelinya, dengan harga yang ditetapkan termasuk GST adalah RM23,789. Mereka juga telah mengambil inisiatif sendiri, khas untuk motosikal pasaran Malaysia supaya ia dilengkapkan dengan tongkat tengah dan tapak khas di belakang, yang kemudiannya nanti boleh menampung kotak barangan yang perlu dibeli oleh pemiliknya.

Jika mengikut pendapat saya, motosikal ini sangat sesuai bagi mereka yang suka gaya hidup mengembara, dan selain tunggangan yang lebih selesa, pemiliknya juga tidak perlu takut untuk meneroka jalan-jalan offroad yang tidak keterlaluan. Berkenaan kuasanya, jikalau lebih sedikit lagi, pasti ia akan lebih memuaskan, tetapi setakat untuk membawa anda ke sesuatu tempat, ia tidak akan bermasalah.

Semua ini adalah perkara yang dirasakan semasa sesi tunggang uji ringkas yang diadakan oleh KMM, dan saya akan membuat satu lagi laporan tunggang uji apabila berpeluang mendapatkan Versys-X 250 ini selama beberapa hari – berkemungkinan membawanya ke jalan yang lebih mencabar.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required