TUNGGANG UJI: Modenas Kriss MR2 110 – pilihan berbaloi untuk wang, tetapi prestasinya bagaimana?

TUNGGANG UJI: Modenas Kriss MR2 110 – pilihan berbaloi untuk wang, tetapi prestasinya bagaimana?

Bagi pengeluar atau pengedar motosikal di Malaysia, selain jenama-jenama pengeluar premium atau berkuasa besar, hampir semua menyedari segmen motosikal jenis kapcai atau moped adalah sangat penting, dengan pasaran yang besar dan meluas. Di sebabkan itu, sebut sahaja nama-nama jenama utama yang bertapak di Malaysia, mereka pasti ada model yang dipertaruhkan dalam segmen berkenaan.

Jenama tempatan seperti Modenas juga tidak ketinggalan dalam merebut peluang dalam pasaran yang sama. Mengapa pasaran motosikal kapcai dan moped begitu penting? Sedangkan, jika kita lihat hari ini, pilihan yang tersedia kepada peminat-peminat atau pengguna motosikal adalah sangat meluas.

Satu daripada sebabnya kerana segmen motosikal berkenaan yang paling mampu milik. Dan, untuk urusan harian, ia yang paling praktikal – murah, kos pemilikan dan penyelenggaraan juga rendah serta dapat memenuhi keperluan individu dari pelbagai lapisan masyarakat. Ia tidak hanya tertumpu kepada segelintir kelompok yang berkemampuan sahaja, misalnya.

Di sebabkan itu, motosikal jenis kapcai dan moped sangat popular, jika dilihat dari sudut jumlah penggunaannya. Namun, mengapa pula penawaran model-modelnya terlalu banyak, sedangkan jika dilihat dari perbezaan kapasiti misalnya, perbezaannya terlalu sedikit?

TUNGGANG UJI: Modenas Kriss MR2 110 – pilihan berbaloi untuk wang, tetapi prestasinya bagaimana?

Sebagai contoh, ia merangkum antaranya model-model dengan sesaran enjin 100 cc, 110 cc, 115 cc, 125 cc, 135 cc dan terkini, 150 cc yang sudah mendapat perhatian dan sambutan umum. Agak mudah untuk memahami perkara ini.

Kapcai dengan sesaran enjin lebih rendah lazimnya jauh lebih mudah berbanding kapcai dengan sesaran enjin 150 cc. Bagi kelompok kebanyakan pembeli pula, perbezaan beberapa ratus ringgit sahaja boleh mempengaruhi pemilihan mereka, apatah lagi jika perbezaannya beribu-ribu ringgit.

Menyedari hal ini, Modenas memposisikan model Kriss MR2 110 yang dilancarkan pada awal April lalu dilantai paling bawah hierarki penawaran kapcai itu, dengan sebuah jentara 110 cc. Model ini adalah lanjutan kepada model MR1 yang diperkenalkan pada penghujung tahun 2011, yang ketika itu dijual pada harga RM2,948 – dengan pengenalan “Motosikal Rakyat”.

Ini seharusnya menjelaskan banyak perkara tentang MR2 juga; ia dikeluarkan dengan matlamat untuk memenuhi keperluan paling asas pengguna motosikal di Malaysia, tentunya dengan harga paling berbaloi – MR2 dijual pada harga RM3,980 (tidak termasuk GST). Ini sekitar RM1,000 lebih mahal berbanding MR1. Ada perbezaan atau penambah baikan yang dilakukan untuk peningkatan harga ini?

Secara umum, MR2 tampil dengan perincian yang lebih baik. Jika MR1 dahulu nampak sangat ringkas dan hanya dilengkapi dengan kelengkapan asas, MR2 mengubah penampilan itu kepada sebuah kapcai yang lebih sporty dan tidak kalah menyenangkan dari jika dipandang.

Modenas Kriss MR2 110 dilengkapi dengan enjin 109.2 cc dengan piawaian Euro 3. Kuasa maksimum yang dihasilkan ialah 6.2 kW pada 7,500 rpm manakala tork maksimum pula ialah 8.2 Nm pada 5,500 rpm. Kotak gear yang digunakan ialah 4 kelajuan. Nisbah mampatan enjin pula adalah 8.8:1.

Berat keringnya pula ialah 94.5 kg, dan kapasiti tangki minyaknya ialah 4.5 liter. Sementara itu, ia menggunakan sistem karburetor dan bukannya sistem suntikan minyak – kebanyakan kapcai yang diperkenalkan setahun dua ini sudah beralih kepada sistem suntikan berkenaan.

Berbanding MR1, MR2 kini hadir dengan rekaan luaran yang lebih menarik dan berupaya menandingi model-model pesaing yang ada. Selain rekaan menyeluruh yang baru, beberapa ciri utama yang ada pada Modenas MR2 ini ialah rekaan panel meter yang kompak dan jelas, memudahkan penunggan untuk memerhatikannya ketika dalam perjalanan. Seperti kebanyakan motosikal lain, slot kuncinya datang dengan ciri penghadang keselamatan.

TUNGGANG UJI: Modenas Kriss MR2 110 – pilihan berbaloi untuk wang, tetapi prestasinya bagaimana?

Brek pula MR2 menggunakan jenis cakera 220 mm untuk bahagian depan, manakala brek dram untuk bahagian belakang. Saiz tayar hadapan ialah 70/90-17 38P manakala tayar belakang 80/90-17 44P. Tiga pilihan warna diberikan, Canary Yellow, Celebration Red dan Strike Blue.

Dari segi dimensi, Modenas MR2 memiliki panjang keseluruhan 1,900 mm, 1,100 mm tinggi dan 685 mm lebar. Jarak antara rodanya pula ialah 1,240 mm, sementara ketinggian tempat duduk pula ialah 760 mm. Dari segi tunggangan, bagaimana pula? Adakah ia meyakinkan?

Sepanjang kesempatan kami menunggang ujinya, Modenas MR2 ini tiada masalah untuk memenuhi jangkaan umum terhadap penggunaannya. Namun, kita perlu faham bahawa penawarannya adalah dengan kekuatan dari aspek tanda harga yang dikenakan. Hanya selepas itu barulah ia boleh dihargai.

MR2 hadir dengan harga peringkat kemasukan, tetapi memberikan nilai yang lebih daripada itu. Dari segi estetiknya, ia sedap dipandang. Begitu juga dengan poket, ia tidak terlalu membebankan. Namun, bagaimana dengan prestasinya?

Sebetulnya, jika anda bayangkan prestasi yang diberikan adalah pada tahap yang terbaik bagi kategori kapcai, perkara itu tidaklah tepat. MR2 lebih sesuai jika ditunggang secara bersahaja. Anda akan kecewa sekiranya cuba mengerahkan kuasanya, dengan harapan ia akan meluru laju serta-merta.

Jadi, sebagai sebuah motosikal umum untuk kegunaan harian, ia lebih daripada mencukupi, terutama bagi mereka yang mementingkan soal kos dan harga. Selain itu, ada beberapa perkara yang mungkin boleh dipertingkatkan.

Misalnya, ruang di bawah tempat duduk. Ia tidak akan dapat memuatkan helmet saiz penuh yang biasa digunakan; sekadar boleh menyimpan barang-barang kecil seperti beg duit atau telefon untuk mengelakkannya basah sekiranya hujan.

Modenas Kriss MR2 110 mempunyai kelebihan dari segi penggayaan pada tanda harga yang dirasakan sangat berpatutan. Dengan matlamat pengenalannya untuk memberikan sesuatu yang berbaloi bagi segmen kapcai peringkat asas, ia telah berjaya melakukan perkara itu. Cuma, anda jangan meletakkan jangkaan yang terlalu tinggi terhadap motosikal ini terhadap hal-hal lain.

Semangat daripada singkatan pada namanya sudah menjelaskan banyak perkara – ia sebuah “Motosikal Rakyat” untuk kelompok pengguna yang lebih menyeluruh dan mendasar dalam masyarakat.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required