Proton Iriz facelift 2017 masih belum lagi dijual kepada khalayak, tetapi telah membuat penampilan umumnya yang pertama di acara DRB-Hicom Autofest 2017 terlebih dahulu. Model dari segmen B ini menerima perubahan yang minimum dari aspek luaran, tetapi dengan kemaskini terhadap sistem janaan kuasanya.
Di luar, antara pembaharuan yang diberikan ialah cat; bahagian atas gril, cermin sisi, bumbung dan spoiler belakang pada varian tertinggi 1.6 Premium kini hadir dalam warna hitam berkilat. Warna bagi bodykit pula masih sama seperti yang terdahulu; kelabu gelap. Lambang baru Proton juga digunakan di depan dan di belakang.
Di dalam, unit utama skrin sentuh kelihatan, dengan ciri Smart Link. Ini disertai dengan penggunaan material kulit pada sebahagian upholstery dengan benang merah, serta jalur merah dan biru di bahagian tengahnya. Varian lain akan menerima corak yang sama, tetapi dengan material fabrik.
Turut ditambah ialah tombol gear dengan rekaan sama pada Persona CVT, serta instrumen kluster (dengan lampu Eco Assist) juga dari Persona. Bagaimanapun, ciri seperti nyalaan lampu utama automatik serta kenaikan tingkap automatik pemandu kini tidak disertakan.
Kami difahamkan, daripada lapan varian yang ditawarkan dulu, selepas ini hanya akan tinggal empat sahaja sebagai pilihan – 1.3 Standard manual, 1.3 Standard CVT, 1.3 Executive CVT dan 1.6 Premium CVT. 1.3 Executive akan menerima sistem keyles entry dan Push Start, yang sebelum ini hanya pada varian Premium.
Proton masih belum mengumumkan peningkatan terhadap aspek mekanikal kereta ini. Apa pun, kami menjangkakan tahap kebisingan dalam kabin (NVH) pada Iriz baru ini akan menjadi lebih baik dan senyap seperti pada Persona.
Ini mungkin termasuk pengurangan tapak enjin (engine mount) dari empat kepada tiga, serta ECU yang disemak semua untuk memberikan maklum balas yang lebih lancar. CVT yang sebelum ini terlalu bising juga dijangka akan menerima penambah baikan.
Pilihan bagi enjin dan transmisi juga dijangka sama seperi sebelum ini – 94 hp/120 Nm bagi enjin 1.3 liter dan 107 hp/150 Nm bagi enjin 1.6 liter. Ia dipadankan sama ada dengan kotak gear manual lima-kelajuan (1.3 Standard sahaja) atau CVT.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.