Mungkin ada di antara anda yang sedang menimbang tara untuk membuat pilihan sama ada ingin membeli Proton Persona 2016, sedan saiz sederhana yang diperbaharui pada tahun lalu, mahu pun hatchback Iriz yang dilancarkan pada September 2014.

Jika dilihat secara luarannya, ada yang menganggap Persona 2016 ini merupakan Iriz versi sedan, kerana memiliki imej yang agak mirip terutamanya daripada pandangan hadapan. Ya, memang tidak disangkal kerana pembinaan Persona 2016 ini adalah berasaskan Iriz sendiri. Biarpun ia memiliki persamaan, namun ternyata adik-abang ini ada perbezaannya.

Kita mulakan dengan variannya; Persona 2016 hadir dengan pilihan Standard Manual, Standard CVT, Executive CVT dan Premium CVT. Ia dipadankan dengan enjin 1.6 liter VVT petrol dengan hamburan kuasa 107 hp pada 5,750 rpm dan tork 150 Nm pada 4,000 rpm, berbanding enjin pada model terdahulu iaitu 1.6 liter Campro IAFM.

Manakala Iriz pula didatangkan dengan varian Executive MT, Executive CVT, Premium MT dan Premium CVT dengan penjana kuasa 1.6 liter VVT , di mana enjin ini turut diaplikasikan pada Persona 2016. Namun Iriz juga turut hadir dengan pilihan enjin 1.3 liter (94 hp/120 Nm) bersama penawaran varian Standard MT, Standard CVT, Executive MT dan Executive CVT.

Persona 2016 dan Iriz turut menggunakan transmisi yang sama iaitu pilihan manual lima-kelajuan dan CVT. Walau bagaimana pun, transmisi CVT bagi Persona 2016 telah pun ditala semula bagi kelancaran pengendaliannya dan lebih linear terutamanya ketika memecut.

Jika dibandingkan dengan kedua-dua model yang menggunakan enjin yang sama iaitu 1.6 liter VVT, Persona 2016 mampu mencatatkan pacuan dari 0-100 km/j dengan hanya 10.9 saat, berbanding 11.1 saat bagi Iriz. Manakala penggunaan bahan api yang tercatat ialah 6.1L/100 km bagi Persona 2016, dan 7.4L/100 km untuk Iriz. Pastinya talaan transmisi yang dipertingkatkan buat Persona mendorong sedan ini lebih baik dari segi masa pacuan dan penggunaan bahan apinya.

Selain itu, Proton turut melakukan penambahbaikkan pada bahagian lain untuk mengurangkan dengan drastik kadar NVH pada Persona. Berbanding Iriz yang mempunyai empat cagak (mounting) enjin, Persona hanya dilengkapi hanya tiga cagak untuk mengurangkan gegaran yang dipindahkan dari enjin ke badan kereta. Ekzos Persona juga ditukar, dan kini dilengkapi dengan ekzos dari Faurecia yang mengurangkan bunyi ‘berdengung’ ketika kelajuan enjin rendah (seperti Iriz) dan bunyi keseluruhan sebanyak enam desibel.

Lagi satu perbandingan yang ketara, pastinya kedua-dua juga memiliki dimensi dan berat yang berbeza. Iriz berukuran 3,905 mm bagi panjang, selebar 1,720 mm dan setinggi 1,550 mm. Manakala Persona 2016 pula lebih panjang sebanyak 482 mm berbanding Iriz iaitu mencapai 4,387 mm, 2 mm lebih lebar (1,722 mm) dan 4 mm lebih tinggi (1,554 mm). Namun begitu, kedua-duanya berkongsi ukuran jarak roda yang sama iaitu 2,555 mm.

Dengan perbezaan dimensi ini, Persona 2016 memiliki ruang kargo berkapasiti 510 liter (sekiranya tempat duduk belakang dalam keadaan tegak) berbanding hanya 215 liter buat Iriz.

Biarpun nampak seiras dari sudut hadapan, apa yang membezakan antara sedan dengan hatchback ini ialah Persona dilengkapi dengan sepasang lampu dan gril hadapan yang lebih tirus. ‘Proton Wing’ pada Persona menampilkan palang krom yang lebih nipis dan menempatkan logo 3D Proton pada bahagian tengah.

Bampar Persona pula menempatkan gril bahagian bawah yang besar berbentuk trapezoid, dan diapit lampu kabus bulat dengan perumah dengan rekaan seperti disikat ke atas. Berbanding Iriz, Persona tidak menerima lampu hadapan projektor (hanya mentol biasa) dan lampu nyalaan siang. Namun Iriz yang dilengkapi dengan lampu projektor turut memiliki lampu nyalaan siang.

Di belakangnya pula, Persona juga hanya menerima sepasang lampu dengan mentol biasa (berbanding lampu belakang LED pada Iriz), di mana kedua-duanya dihubungkan dengan bar krom yang tebal. Persona turut dihiasi kemasan hitam dipadankan pada bahagian bawah bampar belakang, yang turut menempatkan sepasang reflektor serta lampu kabus tunggal yang diletakkan pada bahagian tengah. Manakala Iriz tidak dihiasi dengan bar krom di belakangnya tetapi dipadankan dengan lampu LED menegak. Begitu juga dengan plat nombor pendaftarannya terletak di bampar bawah, dan juga tidak disertakan dengan lampu kabus.

Bagi kabinnya, boleh dikatakan keseluruhan bahagian dalaman Persona juga seiras dengan Iriz. Perubahan yang dibuat hanyalah kemasan kelabu berkilat pada konsol tengah, rekaan pada tombol gear (suis pengunci tuil kini pada bahagian sisi kanan). Perubahan terbesar bahagian dalaman ialah pada tema warna keseluruhan. Jika bahagian dalaman Iriz menerima warna hitam keseluruhan, Persona pula menerima tema hitam-kelabu, di mana warna kelabu ditampilkan pada kemasan panel pintu dalaman, bahagian bawah papan pemuka, serta keseluruhan bahagian terowong transmisi tengah termasuk tuil brek tangan.

Proton Persona (kiri) & Iriz (kanan)

Untuk sistem keselamatan, kesemua varian Persona dilengkapi dengan sistem kawalan kestabilan kenderaan (VSC), Bantuan Mula Mendaki (HHA), cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, selain dari ABS, EBD serta BA yang telah dinyatakan tadi. Varian Standard dan Executive dilengkapi dengan dua beg udara manakala varian Premium menerima enam beg udara. Dengan kesemua ciri ini, kesemua varian Proton Persona 2016 menerima penarafan Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (ASEAN NCAP) lima-bintang.

Manakala bagi Iriz pula, untuk varian Standard dan Executive, hanya dua beg udara diberikan, dan enam beg udara untuk model spesifikasi tertinggi, Premium. Manakala elemen keselamatan standard bagi kesemua varian ialah VCS, ABS dengan EBD dan Isofix.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai spesifikasi penuh, sila klik Proton Persona 2016 dan Proton Iriz, iaitu menerusi CarBase.my.

Senarai harga atas jalan (termasuk insurans) bagi Persona dan Iriz adalah seperti jadual di bawah. Setiap pembeliannya turut dilindungi dengan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan.

GALERI: Proton Persona 2016

GALERI: Proton Iriz