Zhejiang Geely Holding Group adalah sebuah syarikat yang besar, dengan pada tahun 2016, ia mencatat pendapatan sebanyak 30.4 bilion USD (RM130 bilion), dan mempunyai empat pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) utama iaitu di Hangzhou dan Hangzhou Bay, China, Gothenburg, Sweden dan Coventry, England.

Setelah menandatangani perjanjian sebagai rakan strategik asing (FSR) Proton, Geely juga menyatakan bahawa akan menjadikan pusat R&D Proton (yang akan dipindahkan dari Shah Alam ke Tanjung Malim) sebagai satu lagi pusat kecemerlangan global syarikat itu.

Empat pusat R&D Geely sekarang dikatakan menggunakan khidmat 7,000 pekerja, dan selain daripada itu, ia juga mempunyai empat studio rekaan – di Shanghai, Gothenburg, Barcelona dan California. Bagi empat studio rekaan ini, ia menggunakan khidmat lebih 500 pereka secara keseluruhan. Turut dinyatakan, bagi pasukan pembangunan enjin, terdapat 2,000 pekerja penyelidikan.

Ternyata, rangkaian kemudahan Geely ini cukup kuat, dan Proton juga sepatutnya boleh mendapat manfaat daripada transformasi kemudahan mereka menjadi sebuah pusat kecemerlangan berstatus global. Walaupun begitu, tugas yang akan dipikul oleh Proton dengan status ini masih belum dijelaskan.