Semalam, sebuah kemalangan tragis berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan yang meragut nyawa seorang bayi. Bernama melaporkan, seorang bayi berusia tiga bulan terbunuh selepas sebuah kereta terbabas ke tepi selepas dirempuh di KM433.8 arah Utara berdekatan Kuala Kubu Baru.
Bayi berkenaan, Aril Rizqin Redza Shahril disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh. Ketika kemalangan, kereta itu dipandu oleh bapanya, Shahril Salleh. Bapa, ibu dan dua abangnya – berusia 4 dan 11 tahun – hanya cedera ringan.
Video di atas adalah dari dashcam Kugan Kathegesen, yang kebetulan berada di belakang kenderaan mangsa ketika kejadian. Ia menunjukkan kereta hatchback warna putih berkenaan berada di lorong paling kiri dan tidak mengganggu pengguna lain sebelum sebuah kereta sedan hitam tersasar dari laluan tengah menghala ke laluan sebelah kiri dan melanggarnya.
Ia kemudiannya merempuh kereta putih berkenaan, menyebabkan kereta itu terbabas ke bahu jalan dan masuk ke dalam parit. Sedan hitam itu, yang menurut polis Hulu Selangor dipandu oleh S. Nishanty, berpusing dan melanggar pembahagi jalan.
Kugan yang menyaksikan kejadian itu berhenti untuk membantu mengeluarkan bayi yang terperangkap dalam kenderaan. Bayi berkenaan dikeluarkan dari kenderaan itu dalam keadaan berdarah dan tidak bergerak, menurut beliau. Peronda PLUS menghubungi ambulans, yang tiba ditempat kejadian 30 minit kemudian.
Berita ini kami terima dengan perasaan yang sangat hiba. Melihat bagaimana ia berlaku juga tambah menyedihkan – keluarga yang tidak bersalah kini kehilangan anak mereka. Ibu bapa mangsa ada menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan terbabit, namun seperti kelihatan dalam gambar lain, ia ditemui di luar kenderaan. Jika kerusi itu dipasang dengan betul, ia mungkin dapat menyelamatkan nyawa bayi berkenaan.
Bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil, jangan lupa untuk menyediakan kerusi keselamatan kanak-kanak dari jenis yang bersesuaian dengan anak anda. Pemasangannya juga perlu dilakukan dengan betul untuk memastikannya mampu memainkan peranan sepatutnya. Antara kesilapan umum yang selalu dilakukan ialah seperti berikut:
Jangan ambil mudah senarai yang dinyatakan ini, walaupun hanya untuk perjalanan jarak dekat. Pastikan kanak-kanak serta kerusi khas mereka dipasangkan dengan betul dan rapi. Video di bawah ini boleh dijadikan panduan untuk anda.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.