PANDU UJI: Kia Grand Carnival – dibangunkan secara teliti untuk kemudahan penggunaan setiap penumpang

PANDU UJI: Kia Grand Carnival – dibangunkan secara teliti untuk kemudahan penggunaan setiap penumpang

Mac tahun ini, Naza Kia Malaysia telah melancarkan model Grand Carnival untuk pasaran Malaysia. Ini adalah model generasi ketiga dan ia bukanlah sebuah model yang asing bagi negara kita, kerana model generasi pertama juga pernah dijual dengan menggunakan nama Naza Ria.

Pada masa itu, ia dilihat mudah diterima ramai kerana tidak banyak pesaing yang betul-betul dapat menandinginya. Walaupun begitu, model generasi kedua tidak sampai ke negara kita, dan kekosongan yang ada diisi oleh model-model jenama lain. Tapi kini, Naza Kia ingin menawan kembali segmen MPV besar ini.

Nama yang kerap disebut sebagai perbandingan untuk Grand Carnival adalah Hyundai Starex, kerana ia juga adalah sebuah MPV besar, dan menggunakan enjin diesel. Walaupun begitu, Starex mempunyai empat baris tempat duduk, dengan keseluruhannya boleh membawa 11 orang, manakala Grand Carnival pula untuk lapan orang, dengan hanya tiga baris tempat duduk.

Walaupun dengan perbezaan jumlah tempat duduk itu, saiz dua MPV ini tidak banyak berbeza, iaitu Starex cuma lebih panjang 10 mm dan lebih tinggi 195 mm, namun Grand Carnival lebih lebar 60 mm. Daripada jumlah ini sahaja, sudah diketahui, pastinya bahagian dalam Grand Carnival adalah lebih luas. Daripada aspek harga, Grand Carnival dijual bermula RM153,888 manakala Starex pula bermula RM164,018.

Seterusnya, Naza Kia mensasarkan pula sebuah lagi MPV yang cukup terkenal di negara kita iaitu Toyota Vellfire. Jika dibeli melalui UMW Toyota Motor, Vellfire 2.5 mempunyai harga sekitar RM345,000, bersama jaminan lima tahun, tetapi di pasaran import terpakai, harganya boleh jadi jauh lebih rendah, sehingga RM250,000. Melihat kepada dimensi, Grand Carnival adalah 185 mm lebih panjang, 130 mm lebih lebar dan jarak roda lebih panjang 60 mm, tetapi bagi ketinggian, ia lebih rendah 155 mm berbanding Vellfire.

Baiklah, cukup dengan perbandingan tersebut, sekarang kita lihat terus kepada Grand Carnival. Sudah tentu, sebagai sebuah model baru, MPV ini kelihatan segar dan moden, namun tidak keterlaluan. Saya katakan begitu kerana rekaannya tidaklah begitu futuristik, tetapi cukup menarik untuk menjadikannya mudah diterima.

Di bahagian hadapan terdapat lampu projektor halogen, bersama lampu siang dan lampu kabus manakala di belakang pula terdapat lampu gabungan LED dan light guide. Dilihat dari dua sudut ini, Grand Carnival tidaklah nampak begitu sporty, tetapi masih tegap, apatah lagi di depannya mempunyai gril ‘tiger nose’ yang cukup besar.

Secara keseluruhannya, Naza Kia menawarkan tiga varian untuk Grand Carnival iaitu bermula dengan 2.2 D yang berharga RM153,888, diikuti 2.2 KX RM165,888 dan 2.2 EX pula RM185,888. Senarai kelengkapan bagi setiap varian ini sedikit berbeza, dan daripada luar, ia boleh diketahui dengan melihat kepada rim, di mana 2.2 EX menggunakan rim 18 inci ‘machine finished’ dua tona warna, manakala varian 2.2 D dan 2.2 KX menggunakan rim 18 inci ‘clear silver’. Varian 2.2 EX juga mempunyai rel bumbung.

PANDU UJI: Kia Grand Carnival – dibangunkan secara teliti untuk kemudahan penggunaan setiap penumpang

Saya berpeluang memandu uji kenderaan ini dalam satu sesi ringkas yang dianjurkan oleh Naza Kia, dan ia melibatkan perjalanan dari Kuala Lumpur, ke sekitar Bentong, Janda Baik dan berpatah balik. Ia boleh dikatakan sebagai satu sesi ringkas kerana kami berkongsi kenderaan dengan empat lagi rakan wakil media, dan perlu bertukar-tukar pemandu supaya semua dapat merasa. Unit yang diberi adalah daripada varian tengah, 2.2 KX (berwarna putih)

Bagi saya, ia tidak begitu menjadi masalah, kerana beza di antara dua varian ini hanyalah beberapa ciri seperti pintu but belakang kuasa elektronik, tempat duduk kulit dan pelarasan elektronik untuk tempat duduk hadapan. Enjin untuk semua varian ini adalah sama, iaitu unit 2.2 liter CRDi VGT turbodiesel empat-silinder, dengan kuasa sehingga 193 PS pada 3,800 rpm dan tork 440 Nm dari 1,750 hingga 2,750 rpm, bersama padanan kotak gear automatik enam-kelajuan.

Selain itu, bagi saya, jika sedang melihat kepada model ini sebagai pilihan, saya juga mungkin memilih varian 2.2 KX ini kerana tona warna dalamnya lebih menarik iaitu gabungan kelabu dan putih. Cuma yang merisaukan adalah kerana ia diperbuat daripada fabrik, ia mungkin cepat kotor. Apatah lagi, ini adalah sebuah kereta keluarga yang pastinya akan dinaiki oleh kanak-kanak.

Bukan sekadar luar sahaja yang kelihatan tegap, duduk di dalam kenderaan ini juga terasa cukup mantap. Setiap bahagian yang boleh anda sentuh dan lihat dibina dengan kemas menggunakan bahan yang berkualiti manakala apabila duduk di kerusi pemandu, saya boleh merasakan kedudukan yang selesa, hasil daripada kerusi yang empuk dan perhat tangan tengah yang besar.

Perkara sama juga dirasakan apabila duduk di belakang. Walaupun Grand Carnival ini mempunyai bumbung lebih rendah, saya yang mempunyai ketinggian sekitar 180 sm tidak mempunyai sebarang masalah dengan ruang atas kepala. Turut membantu aspek keselesaan adalah corong pendingin hawa serta pengawalnya yang tersendiri untuk tempat duduk belakang.

Masalah biasa yang wujud bagi kenderaan MPV tiga baris tempat duduk adalah tempat simpanan barang, yang apabila dinaiki dengan muatan penuh, mungkin agak terhad. Tetapi, dalam aspek inilah Grand Carnival mempunyai kelebihan.

Bermula dengan ruang belakang yang ada, jika semua tempat duduk ditegakkan, Grand Carnival menyediakan 960 liter ruang simpanan, di belakang tempat duduk baris ketiga dan ini didapati daripada ruang yang tenggelam ke bahagian bawah. Walaupun begitu, tayar simpanan pada kenderaan ini masih ada, di bahagian bawah kenderaan, tetapi di tengah dan sedikit ke tepi untuk mudah dicapai.

Jika memerlukan lebih lagi ruang simpanan, dan anda hanya memerlukan lima tempat duduk, kenderaan ini menyediakan 2,220 liter, selepas baris ketiga dilipat rata masuk ke bahagian yang tenggelam tadi. Kerusi baris kedua juga boleh dilipat, tetapi menjadi tegak dan rapat ke tempat duduk hadapan, seterusnya menyediakan keseluruhannya 4,022 liter ruang simpanan.

PANDU UJI: Kia Grand Carnival – dibangunkan secara teliti untuk kemudahan penggunaan setiap penumpang

Bagi kenderaan yang mempunyai tempat duduk yang boleh dilaras pelbagai kedudukan seperti Grand Carnival ini, ada yang keselesaannya terjejas kerana span yang digunakan untuk tempat duduk lebih nipis dan berbentuk rata, tetapi pada Grand Carnival, ia tidak sebegitu. Keselesaan penumpang masih lagi terjamin dan anda boleh melihat sendiri tempat duduknya, termasuk yang di baris ketiga mempunyai bentuk yang cukup untuk menyokong badan penumpang.

Bukan setakat itu, ruang di tempat duduk baris ketiga juga mencukupi bukan sahaja untuk kanak-kanak, malah juga dewasa tanpa sebarang masalah. Untuk masuk ke bahagian ini, kerusi baris kedua boleh dilipat tegak ke hadapan (kedua-dua belah boleh melakukannya) dengan menarik hanya satu tuil sahaja.

Satu lagi perkara yang ingin saya nyatakan adalah kenderaan ini mewah dengan ruang simpanan kecil dan tempat meletak botol. Di baris ketiga sahaja, pada setiap sisi ada ruang ini, manakala di baris kedua, selain di tepi pintu, tempat duduk tengah juga boleh diilpat untuk menjadikan tempat meletak minuman ataupun sekadar perehat tangan. Tetapi, jika anda mahu ruang yang lebih luas atau ‘lorong’, tempat duduk tengah ini boleh dicabut dan dikeluarkan.

Di bahagian depan, selain ruang simpanan di tepi pintu dan papan pemuka (bertentangan dengan tempat duduk penumpang hadapan), terdapat ruang yang besar di bawah perehat tangan di konsol tengah. Ia cukup dalam sehingga apabila diseluk, boleh sampai ke paras siku saya.

PANDU UJI: Kia Grand Carnival – dibangunkan secara teliti untuk kemudahan penggunaan setiap penumpang

Walaupun varian 2.2 KX ini adalah varian pertengahan, ia masih didatangkan dengan pintu jenis gelungsur elektrik untuk memudahkan penumpang keluar dan masuk kenderaan. Jika mereka ingin membukanya secara sendiri, butangnya ada berhampiran pintu itu, tetapi bagi pemandu, mereka juga boleh mengawal pintu ini menggunakan butang yang terletak berhampiran cermin pandang belakang ataupun kunci kawalan jauh kereta.

Seperti yang telah dinyatakan tadi, semua varian Grand Carnival digerakkan oleh enjin diesel turbo 2.2 liter CRDi VGT. Jika duduk di dalam, anda tidak akan mendengar begitu jelas bunyi yang biasanya terhasil oleh enjin diesel, dan ia cukup kuat untuk menggerakkan MPV besar ini dalam pelbagai keadaan. Ia adalah sesuatu yang boleh dijangka kerana tork enjin diesel adalah tinggi – 440 Nm untuk Grand Carnival.

Meskipun adalah sebuah MPV, sewaktu melalui jalan berselekoh di Genting Sempah, saya dapat merasakan Grand Carnival masih lagi stabil dan meyakinkan dan antara perkara yang dirasakan membantu, selain kedudukannya yang lebar dan rendah adalah tetapan suspensi multi-link di belakang. Bukan setakat masih mantap, penumpang juga masih kekal selesa.

Cuma satu perkara yang saya harapkan boleh menjadi lebih baik adalah tindak balas sterengnya. Ia dirasakan sedikit ringan, dan mungkin Kia menjadikannya sebegitu supaya apabila digunakan di dalam kawasan sempit atau bandar contohnya, ia mudah dikendali. Selain daripada itu, saya rasakan Grand Carnival ini cukup berpotensi untuk mencabar MPV lain yang ada dalam pasaran.

Untuk aspek keselamatan, Grand Carnival dilengkapi dengan enam beg udara, pengesan jarak di bahagian depan dan belakang, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), ABS, Isofix (dua unit pada tempat duduk barisan kedua, satu unit di barisan ketiga), Bantuan Mula Mendaki (HAC) dan pintu yang boleh terkunci sendiri mengikut kelajuan.

Bagi pemandu pula, kemudahan lain yang ada pada kenderaan ini adalah termasuk cruise control, sistem tanpa kunci dan butang pemula enjin, skrin sesentuh 4.3 inci TFT dengan paparan kamera undur di tengah papan pemuka dan fungsi mod Eco.

Kia Grand Carnival didatangkan bersama jaminan lima tahun tanpa had perbatuan dan juga tertakluk di bawah skim ‘Value 5’ oleh Naza Kia. Sekiranya anda mahu tahu lebih lanjut berkenaan spesifikasi atau pun membandingkan Grand Carnival ini dengan kenderaan lain, sila layari CarBase.my.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

  • Silthice on May 31, 2017 at 11:34 am

    Baris ketiga tak dapat digelongsor ke depan dan belakang? Dari segi penjimatan minyak berapa liter untuk setiap 100 km?

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
  • Skrin kecil, tiada bluetooth dan toada navigation sistem. Yang lain dah terbaik.

    Like or Dislike: Thumb up 3 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required