Toyota Alphard (kiri) dan Toyota Vellfire (kanan)

UMW Toyota hari ini telah melancarkan MPV Toyota Alphard dan Vellfire generasi terbaharu. Tempahan untuk kedua-dua model ini telah pun dibuka awal bulan lalu, dan diprebiu buat pertama kali di bilik pameran Toyota di Mitsui Outlet Park, di mana Alphard hadir dengan dua varian iaitu 3.5 dan 3.5 Executive Lounge, manakala Vellfire ditawarkan dengan varian tunggal 2.5.

Toyota Alphard 3.5 dijual dengan harga RM419,900 dan 3.5 Executive Lounge dijual pada harga RM519,900. Untuk Vellfire 2.5 pula, ia dijual pada harga RM355,000. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan termasuk GST, tanpa insuran. Berbeza dengan model recond atau yang dibawa oleh pengimport persendirian, semua unit yang dijual oleh UMW Toyota ini hadir dengan perlindungan waranti lima tahun tanpa had perbatuan.

Toyota Alphard

Toyota_Alphard_Ext-2

Untuk luaran, muka MPV ini menampilkan gril besar kemasan krom, berbentuk X dan menempatkan logo ‘heart of the snake’ pada bahagian tengah. Gril berkenaan diapit oleh sepasang lampu hadapan LED berbentuk J larasan automatik (dengan lampu selekoh dan lampu nyalaan siang LED) serta sepasang lampu kabus yang ditempatkan di setiap sisi bahagian bawah bampar hadapan.

Alphard spesifikasi pasaran Malaysia tidak didatangkan dengan kit aero, tetapi ia dilengkapi dengan roda aloi berdiameter 18-inci dan dibaluti tayar bersaiz 235/50R18 (roda aloi 18-inci ini hanya dipadankan pada model dengan kit aero untuk Aphard JDM).

Bumbung matahari turut dipadankan pada bahagian kabin hadapan, manakala kabin belakang pula dilengkapi dengan moonroof. Sebuah kemasan bar krom tebal diletakkan diatas nombor pendaftaran belakang yang menempatkan logo Toyota di bahagian tengah, serta menghubungkan sepasang lampu belakang ‘two-piece’ yang direka seperti disikat keatas. Sebuah spoiler bumbung dengan lampu brek LED bersepadu juga dipadankan untuk melengkapkan bahagian belakang MPV ini.

Toyota_Alphard_Ext-24

Bahagian dalaman pula, Alphard 3.5 menampilkan tema warna beige dan dilengkapi tujuh tempat duduk dengan bentangan konfigurasi 2-2-3. Tempat duduk barisan kedua menampilkan tempat duduk ‘captain’ bersama perehat kaki Ottoman. Perehat kaki Ottoman juga dipadankan pada tempat duduk hadapan sebelah penumpang. Kedua-dua belah pintu gelangsar belakang diberikan bantuan kuasa elektrik, begitu juga dengan pintu tailgate belakang. Empat warna badan ditawarkan untuk Alphard iaitu Putih Mutiara Mewah, Putih Mutiara, Perak Metalik dan Hitam.

Pada papan pemuka, Alphard 3.5 dilengkapi dengan paparan pelbagai informasi TFT Optitron 4.2-inci. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem infotaimen dan navigasi dengan skrin sentuh DVD-AVN tujuh-inci dihubungkan kepada lapan pembesar suara, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, roda stereng pelbagai-fungsi, kemasan kayu berwarna coklat, skrin hiburan 10.2-inci di belakang, liang dan kawalan penghawa dingin di belakang lengkap dengan teknologi nanoe Panasonic.

Untuk membezakan varian 3.5 biasa dengan varian Executive Lounge, model tertinggi ini dilengkapi dengan tempat duduk balutan kulit semi-aniline yang lebih premium yang boleh dipilih sama ada dengan warna hitam atau beige. Tempat duduk barisan kedua diberikan tempat duduk VIP berkuasa dengan fungsi Ottoman dan penghawa dingin. Varian ini juga dilengkapi dengan skrin infotaimen DVD-AVN lebih besar bersaiz 8-inci dihubungkan kepada 17-unit pembesar suara JBL, paparan pelbagai-visi elektro (EMV) dan roda stereng kayu VIP dengan butang fungsi kawalan kelajuan, audio, telefon dan pengecaman suara (model 3.5 hanya mempunyai fungsi kawalan kelajuan dan audio sahaja).

Alphard serba baharu ini dijana oleh enjin 2GR-FE 3.5 liter V6 DOHC Dual VVT-i yang mampu menghasilkan kuasa 271 PS pada takat 6,200 rpm dan tork maksima 340 Nm pada takat 4,700 rpm. Kuasa berkenaan dialirkan ke kotak gear automatik enam-kelajuan dengan sequential shifter memacu roda hadapan.

Toyota Vellfire

Seperti yang dinyatakan tadi, hanya satu varian ditawarkan untuk model ini iaitu Vellfire 2.5. Seperti generasi sebelum ini, Vellfire menampilkan reka bentuk yang lebih sporty berbanding Alphard. Muka hadapan MPV ini menampilkan gril hadapan besar dengan motif tiga bar krom tebal diapit dan diselang-selikan dengan sepasang lampu hadapan LED larasan automatik (dengan lampu membelok dan lampu nyalaan siang LED). Ia juga dilengkapi dengan sepasang lampu kabus pada bampar hadapan. Empat warna badan ditawarkan iaitu Burning Black (deep purple), Putih Mutiara, Perak Metalik dan Hitam.

Sama seperti Alphard, Vellfire tanpa kit aero pasaran Malaysia turut dilengkapi dengan roda aloi bersaiz 18-inci, bumbung matahari, moonroof belakang serta spoiler belakang dengan lampu LED bersepadu. Vellfire menampilkan rekaan sedikit berbeza dari Alphard pada bahagian belakang, menampilkan lensa lampu belakang tanpa warna dan bar kemasan krom yang direka seperti tertusuk ke kedua-dua belah lampu belakang berkenaan.

Kelengkapan bahagian dalaman Vellfire 2.5 adalah sama dengan kelengkapan pada Alphard 3.5, kecuali pada kemasan keseluruhan dimana Vellfire dipadankan dengan tema warna hitam dengan kemasan kayu hitam serta balutan bumbung berwarna kelabu.

Vellfire dikuasakan dengan enjin 2AR-FE 2.5 liter empat-silinder sebaris DOHC Dual VVT-i menjana 180 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 235 Nm pada takat 4,100 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear CVT, memacu roda hadapan.

Untuk keselamatan, semua varian Alphard dan Vellfire didatangkan standard dengan tujuh beg udara (hadapan, sisi hadapan, tirai dan lutut pemandu), VSC, kawalan cengkaman, ABS, bantuan mula mendaki dan pengesan parkir (hadapan dan belakang).

Selain dari perlindungan waranti, apa lagi sebab lain anda perlu membeli Alphard dan Vellfire dari UMW Toyota berbanding pengimport persendirian? Menurut UMW Toyota, kedua-dua MPV ini tidak sama seperti model JDM – di mana mereka telah membuat talaan dan penyesuaian semula pada enjin, kotak komputer enjin, suspensi dan juga pilihan tayar khas untuk pasaran Malaysia. Ia juga dilengkapi dengan cermin sisi lebih besar serta pemain audio dengan carian stesen lebih luas, berbahasa Inggeris dan juga peta tempatan untuk sistem navigasi.

Klik untuk besarkan imej

GALERI: Toyota Alphard 3.5

GALERI: Toyota Alphard 3.5 Executive Lounge

GALERI: Toyota Vellfire 2.5