Jenama Lepas, yang bernaung di bawah payung besar Chery, awalnya dijadualkan diperkenalkan secara rasmi di Malaysia pada suku pertama tahun ini, sebelum kemudiannya dinyatakan akan dirasmikan pada suku ketiga 2026. Kini menuju penghujung Julai, jenama berkenaan masih belum dirasmikan kehadirannya di sini.
Bagaimanapun syarikat itu baru saja mempertontonkan beberapa model terawalnya secara terbuka hujung minggu lalu di Kelab Polo Kuala Lumpur, yang menjadi sebahagian daripada penajaan syarikat itu untuk Piala Perdana Menteri. Menurut Lepas, itu adalah bertujuan untuk mendapatkan maklum balas orang ramai terhadap penawaran produk mereka.
Beberapa model dipertontonkan kepada umum buat pertama kali sepanjang acara berlangsung — L4 EV, L6 petrol, L6 LSH dan L8 LSH. LSH merujuk kepada Lepas Super Hybrid, sebuah sistem dan rangkaian kuasa plug-in hybrid yang serupa dengan Super Hybrid System (SHS) untuk Omoda & Jaecoo, dan juga Chery Super Hybrid (CSH).
Lepas L4 EV
Dalam kalangan model-model yang ditunjuk, L4 merupakan model terkecil dan paling murah oleh Lepas. SUV yang dihasratkan untuk menempati antara segmen B- dan C, L4 EV mempunyai ukuran 4,406 mm panjang, 1,820 mm lebar dan 1,635 mm tinggi dengan jarak roda 2,700 mm. Model ini lebih besar berbanding Jaecoo J5 dan saiznya juga hampir sama dengan Chery O5 (kini Omoda 5). Versi elektrik ini telah diperkenalkan buat kali pertama di Pameran Motor Antarabangsa Indonesia (IIMS), awal tahun ini.
Ia menghasilkan sebanyak 218 PS (160 kW) dan 275 Nm daripada motor tunggal di hadapan. Dengan bateri bateri 65.05 kWh, model ini didakwa boleh memberikan jarak perjalanan sehingga 500 km. Itu mungkin pada kitaran NEDC yang sudah agak ketinggalan; dalam kitara WLTP yang lebih tepat jaraknya sekiter 425 km. Memandangkan model ini masih belum dijual di seluruh dunia, maklumat spesifikasi masih minumum untuk rujukan. Lepas bagaimanapun memaklumkan model terbabit boleh dicas pantas DC dari SoC 10% hingga 80% dalam 20 minit.
Di bahagian luar, L4 EV mengekalkan reka bentuk bulat model petrol, pilihan warna dua tona, garisan tingkap ke atas serta ruang bukaan tayar yang memuatkan tayar bersaiz 18-inci. Bahagian hadapannya tampil dengan wajah unik, tanpa gril dengan muncung yang menonjol, bukaan udara yang agresif serta lampu hadapan yang langsing dengan lampu nyalaan siang bentuk L, dan tidak sama dengan grafik “mata harimau bintang” pada L4 biasa.
Di dalam, EV ini hampir sama dengan L4 standard — ini bermakna ia sangat iras dengan Jaecoo J5 dengan rekaan konsol tengah dan skrin sentuh infotainmen menegak 13.2-inci. Namun, ia masih mengekalkan paparan instrumen LCD tujuh segmen ala kalkulator versi standard model ini, dan bukannya panel berwarna penuh.
Tidak seperti Jaecoo J5, sekurang-kurangnya L4 ini dilengkapi dengan kawalan penghawa dingin fizikal, satu ruang untuk telefon (berbanding dua untuk model Jaecoo itu), yang lengkap dengan pengecas tanpa wayar Qi 50-watt. Ruang but dibelakang hadir dengan larasan kuasa, menyediakan ruang barangan 452 liter — ruang barangan di bahagian depan kenderaan juga ada, tetapi belum ada maklumat kapasitinya yang tersebar.
Lepas L6 petrol dan LSH
Lebih banyak maklumat yang sudah diketahui berkaitan model L6, yang merupakan model bersaiz lebih besar dan sudah dijual di pasaran seperti Thailand. Saiznya hampir sama dengan Chery Tiggo 7, tidak jauh lebih besar berbanding L4 dengan ukuran panjang 4,570 mm, lebar 1,852 mm dan tinggi 1,683 mm, serta jarak roda 2,700 mm.
Dua versi model ini telah dipamerkan, dengan pertama ialah model petrol tulen. Tidak seperti model bersaudaranya yang lain — Tiggo 7 dan Jaecoo J7 — L6 ditawarkan dengan enjin empat-silinder turbo 1.5 liter yang lebih kecil daripada O5, yang menghasilkan 147 PS dan 225 Nm. Transmisi klac berkembar enam-kelajuan menghantar kuasa itu ke roda hadapan — sama seperti model saudaranya yang lain.
Seterusnya, bagi varian L6 LSH — yang membuat tayangan perdana dunianya di Auto China di Beijing awal tahun ini — ia menggunakan enjin empat-silinder turbo 1.5 liter 143 PS/215 Nm, motor elektrik janaan 204 PS/310 Nm dan transmisi hibrid khusus (DHT) kelajuan tunggal yang sama daripada J7 PHEV dan Tiggo 7 PHEV, dengan jumlah output keseluruhan sistem sebanyak 279 PS dan 365 Nm.
Lepas mendakwa pecautan 0-100 km/j mampu dicapai dalam 8.7 saat, dan dengan bateri LFP 18.3 kWh yang diperoleh daripada BYD, L6 LSH memberikan jarak perjalanan keseluruhan sejauh 1,200 km. Ia juga menerima sokongan pengecasan pantas DC sehingga 40 kW, serta pengecasan AC 7 kW dan fungsi vehicle-to-load (V2L) 6.6 kW. Varian EV untuk model ini baru sahaja dilancarkan di Thailand, namun itu tidak ditunjukkan ketika pratonton ini.
L6 mengambil bahasa reka bentuk asas yang sama dengan L4 dan menjadikannya lebih besar dan lebih menonjol, dengan penampilan yang lebih bersih dengan warna badan sepenuhnya. Memandangkan model-model ini menampilkan enjin pembakaran dalaman konvensional, ia diberikan gril (di sini dengan pin krom jejari) dan lampu DRL ala kening “mata harimau bintang”, dengan lampu utama dialih ke bawah ke bampar. Kedua-dua varian ini menggunakan rim 19-inci – dibezakan melalui rekaan ala turbin yang menarik untuk versi petrol, manakala versi LSH dilengkapi dengan rekaan jenis berbilang jejari.
Penampilan yang lebih menarik ini diteruskan di bahagian dalam, dengan papan pemuka yang melingkar, reka bentuk lubang udara berkelebaran penuh, stereng tiga jejari serta tempat duduk balutan kulit. Warna hitam penuh diberikan kepada model petrol, sementara warna kuning air untuk LSH, dengan hiasan dalaman masing-masing dengan kod warna yang sepadan.
Skrin sentuh 13.2-inci tetap ada, namun walaupun tiada kawalan penghawa dingin fizikal seperti L4, ia sekurang-kurangnya menerima skrin warna penuh untuk paparan instrumen, serta ruang telefon kedua. Ciri-ciri lain yang ada termasuk sistem bunyi Sony dengan lapan-pembesar suara, serta adanya pencahayaan ambient. Walaupun dengan saiz lebih besar, but L6 sebenarnya lebih kecil berbanding L4, iaitu dengan 435 liter.
Lepas L8 LSH
Akhir sekali, L8 yang menjadi model flagship, ditunjukkan dalam versi LSH. Saiznya setara dengan Chery Tiggo 8 versi model generasi akan datang, yang turut dijual di China. Tidak seperti Tiggo 8 yang dijual di Malaysia ketika ini, L8 hanya datang dalam versi lima-tempat duduk, dengan susun atur tiga-baris seperti yang dikhaskan untuk Tiggo 9.
Dari segi ukuran, L8 mempunyai panjang 4,688 mm, lebar 1,871 mm dan tinggi 1,694 mm, dengan jarak roda 2,800 mm. Ia menggunakan sistem janaan PHEV yang sama seperti L6 LSH, memberikan jarak elektrik sepenuhnya sejauh 90 km mengikut kitaran WLTP dan jarak perjalanan keseluruhan yang sama, 1,200 km.
Gaya L8 sekali lagi sangat miirp dengan L6, walaupun grilnya mendapat corak berbeza dan lencana Lepas kini diletak di bonet. Tidak seperti pemegang pintu model lain, pemegangnya adalah jenis rata. Dan walaupun saiznya yang paling besar dalam kalangan model yang ada ini, L8 dipasangkan rim dengan saiz 18-inci.
Ruang dalaman L8 kelihatan paling mewah, terutamanya dengan gandingan warna hitam dan coklat serta jalur sebagai hiasan. Sama seperti model lain di sini, terdapat skrin sentuh menegak 13.2-inci, dengan paparan instrumen yang lebih besar dengan 10.25-inci. Kawalan penghawa dingin fizikal juga ada, begitu juga dengan tombol mod pemanduan yang diletakkan di atas butang lampu kecemasan, yang merupakan sentuhan yang menarik.
Dengan konsol tengah yang lebih sesak, ruang telefon hanya satu, di sebelah pemegang cawan yang disusun secara menegak. Tidak banyak lagi yang boleh ditambah, selain L8 mengekalkan sistem bunyi Sony yang sama seperti L6, dan mempunyai ruang but terbesar dengan 507 liter.
Bila Lepas akan dilancarkan di Malaysia?
Setelah terlepas tempoh suku dan kemudian separuh pertama 2026, terbaru Lepas kini mensasarkan pelancaran rasmi jenamanya pada akhir tahun. Ini tidak hanya berlaku di Malaysia, kerana rancangan untuk pelancaran Lepas di Australia juga ditangguhkan dari pertengahan tahun, lapor CarsGuide.
Sekurang-kurangnya, kita boleh menjangkakan barisan model yang agak menarik daripada Lepas. Unit yang dipamerkan ini digunakan untuk tujuan R&D dan bukan unit tempatan.
Lepas L4 EV di Malaysia
Lepas L6 di Malaysia
Lepas L6 LSH di Malaysia
Lepas L8 LSH di Malaysia





