Tempahan Honda CR-V 2017 untuk pasaran M’sia dibuka – 1.5 Turbo, pakej Honda Sensing diperincikan

Tempahan Honda CR-V 2017 untuk pasaran M’sia dibuka – 1.5 Turbo, pakej Honda Sensing diperincikan

Jika semalam brosur berkenaan Honda CR-V 2017 telah bocor di internet, hari ini Honda Malaysia (HM) secara rasmi mengumumkan tempahan untuk SUV segmen-C generasi baharu berkenaan sudah pun dibuka. Bersama pengumuman berkenaan, HM turut mendedahkan berberapa perincian yang bakal ditawarkan untuk pembeli CR-V serba baharu ini di Malaysia.

Buat pertama kalinya, pasaran Malaysia bakal menerima pakej bantuan pemanduan Honda Sensing menerusi Honda CR-V generasi kelima ini. Pakej berkenaan terdiri tujuh sistem bantuan pemanduan iaitu Cruise Control adaptif, sistem mengekor kelajuan rendah (Low-Speed Follow atau LSF), sistem amaran perlanggaran hadapan (Forward Collision Warning System atau FCW), sistem brek menghindari perlanggaran (Collision Mitigation Braking System atau CMBS), bantuan kekal lorong (Lane Keeping Assist System atau LKAS), sistem amaran pertukaran lorong (Road Depature Mitigation System atau RDM) dan juga amaran keluar lorong (Lane Departure Warning atau LDW).

Sistem ACC dan LSF akan berfungsi untuk memudahkan pemandu untuk memandu secara cruising. Kedua-dua sistem ini membolehkan CR-V 2017 membrek dan memecut kembali pada kelajuan yang telah ditetapkan pada sistem Cruise Control secara automatik dan ia boleh berfungsi bermula dari keadaan trafik berhenti dan bergerak, sehingga pada kelajuan 180 km/j.

Tempahan Honda CR-V 2017 untuk pasaran M’sia dibuka – 1.5 Turbo, pakej Honda Sensing diperincikan

Untuk sistem FCW dan CMBS pula, ia akan membantu pemandu mengelakkan kemalangan yang akan berlaku pada bahagian hadapan. Sistem FCW akan mengeluarkan amaran sekiranya kenderaan dikesan ada potensi berlakunya pertembungan kerana jarak dengan kereta depan yang semakin hampir, manakala CMBS pula akan bertindak membrek kenderaan secara automatik sekiranya pemandu tidak memberikan tindak balas sepatutnya dalam keadaan berisiko untuk perlanggaran.

Selain dari bahagian hadapan, pakej Honda Sensing juga turut memberikan perhatian terhadap keselamatan bahagian sisi kenderaan. Oleh itu sistem LKAS, RDM dan LDW dipadankan bagi meminimakan risiko kemalangan yang akan berlaku pada bahagian sisi. Sistem LDW dibina untuk mengesan garisan jalan pada kedua-dua sisi kenderaan, dan ia akan memberikan amaran kepada pemandu secara memberikan amaran visual serta getaran pada stereng sekiranya kenderaan dikesan melewati garis jalan tanpa memberikan lampu isyarat membelok terlebih dahulu.

Untuk sistem LKAS pula, ia akan melaras semula arah stereng (menerusi sistem stereng kuasa bantuan elektrik) untuk memastikan kenderaan kekal pada lorongnya. Sistem ini menggunakan kamera yang diletakkan pada sisi kenderaan bagi mengesan tanda-tanda pada permukaan jalan raya sebagai penderia untuk mengesahkan kedudukannya.

Tempahan Honda CR-V 2017 untuk pasaran M’sia dibuka – 1.5 Turbo, pakej Honda Sensing diperincikan

Sistem RDM pula beroperasi ketika kenderaan dipandu pada kelajuan 72 km/j hingga 180 km/j. Ia akan diaktifkan sekiranya kenderaan menghampiri sisi jalan; roda stereng akan bergetar untuk untuk memberikan amaran kepada pemandu agar mengekalkan kedudukan kenderaan pada lorong. Sekiranya pemandu tidak membuat sebarang tindakan dan kereta mula keluar dari lorong, sistem VSA akan diaktifkan untuk mengembalikan kenderaan pada kedudukannya.

HM masih lagi belum memperincikan varian-varian yang ditawarkan, namun mereka telah mengesahkan CR-V baharu ini bakal hadir dalam versi 2WD dan 4WD, serta enjin 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 193 PS/243 Nm bakal ditawarkan dalam barisan model. HM turut menyatakan bahawa ciri-ciri seperti enam-beg udara, kamera undur, VSA, sistem kunci pintar dan butang penghidup enjin adalah standard untuk kesemua varian.

Honda Malaysia turut mengumumkan CR-V generasi baharu ini akan dipamerkan pada siri jelajahnya yang berlangsung dari 4 hingga 18 Jun ini pada lokasi-lokasi berikut:

Tempahan Honda CR-V 2017 untuk pasaran M’sia dibuka – 1.5 Turbo, pakej Honda Sensing diperincikan

GALERI: Honda CR-V 2.0L 2017 bagi pasaran Indonesia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required