KTM Berhad kini memperkenalkan perkhidmatan basikal sewa di stesen KTM Subang Jaya. Ini membolehkan penumpang memanfaatkannya sebagai satu daripada pilihan untuk memudahkan pergerakan mereka di kawasan sekitar, lapor Bernama.

Pengenalan perkhidmatan oBike, yang berdasarkan konsepn ‘perkhidmatan perkongsian basikal tanpa stesen’, akan memberikan kemudahan kepada pengguna bagi pergerakan jarak dekat mereka dari dan menuju stesen berkenaan. Keseluruhannya, 15 basikal akan disediakan kepada orang awam dan penumpang perkhidmatan komuter.

“Matlamat kami menyediakan perkhidmatan ini adalah untuk memperkembangkan lagi rangkaian pengangkutan di antara destinasi. Kami juga yakin dengan langkah ini, KTMB dapat mempertingkatkan kemudahan bagi rangkaian pengangkutan di sekitar stesen kami,” ujar Pengurus Besar Perkhidmatan Komuter KTMB, Khair Johari Ishak.

“Pada masa yang sama, perkhidmatan seperti ini juga dapat mempromosi idea berkaitan hidup sihat dan pengangkutan mesra alam melalui kayuhan,” tambah beliau. KTM juga sudah mengenal pasti beberapa lagi stesen yang sesuai untuk diperkenalkan dengan perkhidmatan yang sama.

Menurut ketua oBike, Ng Yong Ching, penerimaan orang awam terhadap perkhidmatan ini sangat menggalakkan sejak ia mula diperkenalkan dua bulan lalu di Bandar Sunway. Untuk menggunakannya, anda hanya perlu memuat turun aplikasi oBike, yang membolehkan pengguna menempah atau mengetahui lokasi terdekat yang menyediakan perkhidmatan itu.

Selepas itu, aplikasi berkenaan akan memaklumkan jarak dan masa yang diperlukan untuk pengguna berjalan ke lokasi basikal yang dipilih. Untuk membuka kuncinya, pengguna perlu mengimbas kod QR pada basikal menggunakan aplikasi sama.

Selepas tiba di destinasi mereka, pengguna boleh meletakkan basikal di mana-mana ruang awam khusus untuk basikal dan pasukan bergerak oBike akan mengesan dan mengambil basikal itu melalui petunjuk GPS. Bayaran yang dikenakan ialah RM1 bagi setiap 15 minit. Jumlah itu akan dipotong daripada nilai yang pengguna ada dan tambah di dalam aplikasi berkenaan melalui kad debit atau kredit.