Maxus G10 SE dilancarkan di Malaysia – dari RM153k

Maxus G10 SE dilancarkan di Malaysia – dari RM153k

Weststar Maxus Sdn Bhd, pengedar rasmi bagi kenderaan penumpang dan MPV Maxus di Malaysia telah pun melancarkan Maxus G10 SE baharu. Ia merupakan varian terkini bagi Maxus G10 yang diperkenalkan di pasaran tempatan pada April 2016. MPV besar berkapasiti 10-tempat duduk ini dengan dimensi 5,168 mm panjang, 1,980 mm lebar, 1,928 mm tinggi dan 3,210mm jarak roda, memang cukup sesuai dijadikan pengangkutan bagi anda yang memiliki ramai ahli keluarga.

Diperbuat di Shanghai, China, G10 SE ini hadir dengan beberapa elemen tersendiri, yang membezakannya dengan varian Luxury dan Sport di dalam keluarga G10. Ia hadir dengan kit badan penuh yang memberikan sedikit sentuhan yang lebih segar dan berbeza termasuk dengan spoiler bumbung untuk bahagian belakang.

Ia turut diserlahkan dengan elemen istimewa lain termasuk bumbung kaca panoramik berkembar dan juga pintu gelangsar automatik pintar untuk kedua-dua bahagian sisi.

Maxus G10 SE dilancarkan di Malaysia – dari RM153k

Lain-lain elemen yang kekal sama seperti mana varian lain termasuklah lampu utama HID, lampu nyalaan siang LED, sistem lampu hadapan adaptif dengan fungsi auto, lampu belakang LED, bumbung suria hadapan larasan elektrik, pemegang pintu krom, dan rim aloi 18-inci.

Bagi bahagian kabinnya, G10 SE ini juga dihadirkan dengan sistem interaksi pintar car-link human-computer yang terletak di bahagian kokpit konsol tengah dengan menampilkan skrin sesentuh interaktif pintar bersaiz 15-inci, sambungan telefon pintar, paparan info pelbagai-fungsi dan juga roda stereng pelbagai-fungsi.

Malahan kekemasan kulit berwarna gelap turut menjadi pilihan bagi bahagian papan pemuka dan tenpat duduk balutan kulit rona coklat gelap (warna beige bagi varian lain), sekali gus memberikan penampilan yang agak premium. Selain itu, suis-suis dan butang kawalan juga dikatakan sebagai bersifat mesra pengguna.

Maxus G10 SE dilancarkan di Malaysia – dari RM153k

Seperti varian lain, ia turut dilengkapi dengan kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, cermin pandang belakang anti-silau, paparan video secara langsung bagi pandangan sekeliling 360-darjah, kawalan kelajuan, kamera undur, sambungan Bluetooth dan pendingin hawa dwi-zon dengan corong tersendiri bagi tempat duduk belakang bersama lampu membaca LED.

Bagi sistem hiburan pula, selain skrin sesentuh interaktif pintar resolusi tinggi 15-inci, ia turut didatangkan dengan skrin LCD 10.1-inci yang dipasang di bahagian siling, sistem audio enam-pembesar suara, sistem Car-Link HDMI, radio, MP5 dan AUX.

Bahagian mekanikalnya juga tidak berubah, masih dijanakan G10 oleh enjin 2.0 liter TGI pengecas turbo (yang dikatakan lebih berkuasa berbanding enjin 3.0 liter naturally-aspirated) dengan kuasa 225 hp pada 5,500 rpm dan tork 345 Nm pada 4,000 rpm. Turut dipadankan dengan transmisi automatik ZF enam-kelajuan bersama mod manual. G10 mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 190 km/j.

Bagi aspek keselamatannya, ia dilengkapi dengan dua beg udara, ABS dengan EBD, ESP, EBA, pengesan parkir hadapan dan belakang, pengingatan pemasangan tali pinggang keledar untuk tempat duduk pemandu, ISOFIX, sistem pemantauan tekanan tayar dan sistem Brake Override. Walau bagaimana pun, G10 SE telah ditampilkan dengan sistem bantuan penstabilan elektronik Bosch ESP9.1 generasi baharu yang memberikan pemanduan yang lebih stabil dan meyakinkan.

Mengikut penarafan keselamatan lima-bintang EURO, G10 SE ini telah menggunakan teknologi lapisan penyamanan berganda pada struktur badannya, sekaligus memberikan 50% ketahanan dan pelindungan yang lebih tinggi.

Maxus G10 SE ini kini sudah boleh didapati di semua bilik pameran Weststar Maxus di seluruh negara pada harga atas jalan bermula RM153,412 (tanpa insurans) dengan waranti selama tiga-tahun. Ia ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu Obsidian Black, Blanc White dan Aurora Silver.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

 

Add a comment

required

required