Setelah lima minggu rakyat Malaysia menikmati penurunan harga bahan api, minggu kedua bulan Julai ini nampaknya sudah tiba masa harga keperluan utama berkenaan naik semula. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengumumkan harga petrol RON 95 dan RON 97 naik sedikit bermula tengah malam ini.

Harga siling bagi bahan api RON 95 naik 4 sen minggu ini, kini menjadi RM1.93 seliter, manakala RON 97 juga naik 4 sen menjadi RM2.19 seliter. Diesel pula yang turun minggu lalu, turut naik sebanyak 7 sen bagi Euro 2 menjadi 1.91 sen seliter dan RM2.01 seliter untuk Euro 5 M.

Semua harga yang diumumkan ini akan kekal bagi tempoh seminggu iaitu sehingga 12 Julai hadapan. Minggu sebelum ini iaitu 29 Jun hingga 5 Julai, harga siling bagi bahan api RON 95 turun sebanyak 2 sen menjadi RM1.89 seliter, manakala RON 97 juga turun sebanyak 2 sen, menjadi RM2.15 seliter. Bagi diesel pula ia turun sebanyak 4 sen seliter untuk Euro 2 dan Euro 5.