Selepas sekian banyak teaser dikeluarkan, Audi A8 2018 akhirnya dipertonton secara rasmi, menampilkan pelbagai peningkatan teknologi luar dan dalam, dan ada di antaranya pertama kali digunakan di dunia.

Model baru ini adalah generasi keempat D5 dan ia berukuran 5,172 mm panjang, 1,495 mm lebar dan 1,473 mm tinggi, yang jika dibandingkan dengan model D4 sebelum ini, adalah 37 mm lebih panjang dan 13 mm lebih lebar. Sedan ini juga mempunyai jarak roda 6 mm lebih panjang (2,998 mm) dan sedikit rendah. Seperti biasa, terdapat juga versi A8 L yang jarak rodanya 130 mm lebih panjang (3,128 mm) dan 12 mm lebih tinggi (1,485 mm).

A8 baru ini adalah model pertama yang dibangunkan di bawah arahan ketua rekaan baru Audi iaitu Marc Lichte, tetapi masih mengekalkan karekter asal modelnya. Selain rekaan yang lebih segar, pengguna juga ditawarkan dengan pilihan lampu Matrix HD LED yang boleh dilihat dengan adanya tanda cahaya biru pada lampu tersebut. Lampu ini menggunakan 32 diode tinggi pada setiap penjuru dan dapat mengelakkan penggunaan lain daripada silau.

Terdapat juga lampu kuasa laser yang beroperasi pada kelajuan melebihi 70 km/j dan lampu membelok dinamik serta lampu persimpangan yang menggunakan data navigasi untuk diaktifkan, sebelum stereng dipusing atau sebelum tiba di persimpangan. Secara keseluruhan, termasuk lampu penunjuk arah sequential, sistem lampu ini mempunyai 138 LED dan satu laser prestasi tinggi di setiap bahagian.

Pada bahagian belakang pula terdapat lampu OLED, dengan empat panel rata dan jalur LED di bawahnya yang boleh mengawal lampu lain supaya lebih malap apabila lampu brek menyala. Lampu belakang ini juga menggunakan diode, dan mempunyai lebih daripada 135 LED di setiap bahagian.

Badan yang lebih besar ini sudah tentu akhirnya dapat menghasilkan ruang dalam yang lebih luas. Menurut Audi, A8 dan A8 L kedua-duanya 37 mm lebih panjang berbanding sebelum ini, dan bagi A8 L, terdapat ruang kepala, bahu dan kaki yang lebih luas. Ruang simpanan belakang pula berkapasiti 505 liter.

Tempat duduk kenderaan ini telah direka semula, dengan terdapat bonjolan tepi boleh laras dan bentuk yang dapat memegang pengguna supaya lebih selesa, fungsi pemanas dan pengudaraan tiga tahap, serta fungsi mengurut dengan tujuh program dan tiga tahap kekuatan.

Pada bahagian belakang, pembeli A8 L boleh menukar aturan tiga tempat duduk kepada dua tempat duduk individu, dengan konsol tengah berserta perehat tangan dan ruang simpanan. Terdapat juga pilihan tempat duduk santai yang mempunyai perehat kaki boleh lipat secara elektrik dan boleh memberikan fungsi memanas dan mengurut.

Tidak banyak butang kawalan yang boleh dilihat pada bahagian dalam kenderaan ini, dan di bahagian tengah papan pemuka terdapat skrin 10.1 inci. Bawah sedikit, di konsol tengah, terdapat satu lagi skrin 8.6 inci. Sementara skrin atas tadi mengawal fungsi navigasi, media dan ciri kenderaan, skrin yang dibawah adalah lebih penting.

Selain mengawal suhu dan ciri keselesaan lain, skrin di bawah ini juga boleh menyimpan tetapan kegemaran seperti destinasi, stesen radio, nombor telefon, fungsi kenderaan serta menulis teks – sama ada menggunakan papan kekunci atau tulisan tangan. Pengguna juga menggunakan arahan suara.

Satu lagi skrin 12.3 inci yang terletak di hadapan pemandu melengkapkan kokpit virtual Audi A8 ini. Head-up display yang disediakan sebagai pilihan kini berukuran 8.5 inci kali 3.3 inci dan ia boleh memaparkan kelajuan, navigasi dan beberapa maklumat penting lain. Bagi penumpang belakang, Audi juga menyediakan pilihan tablet Android 10.1 inci yang boleh diletakkan pada penyandar tempat duduk belakang dan boleh dicabut untuk dibawa keluar.

Cockpit

Dua enjin akan ditawarkan semasa pelancaran Audi A8 iaitu V6 3.0 liter 340 hp/ 500 Nm TFSi petrol dan 286 hp/ 600 Nm TDI turbodiesel. Memasuki tahun hadapan, A8 akan ditawarkan pula dengan tambahan enjin V8 4.0 liter twin- turbo dengan kuasa 435 hp bagi versi diesel dan 460 hp untuk versi petrol.

Audi A8 L pula ditawarkan dengan enjin 6.0 liter biturbo petrol, yang mempunyai fungsi nyahaktif silinder dan kuasa sebanyak 585 hp dan 800 Nm tork. Semua enjin ini akan datang dengan sistem hibrid ringkas yang terdiri daripada sistem elektrikal 48 volt. Ia menggunakan belt alternator starter (BAS) yang disambung kepada crankshaft, menangkap semula tenaga kinetik dan menghantarnya kepada bateri lithium ion.

Sistem ini membolehkan A8 meluncur dengan enjin dimatikan pada kelajuan antara 55 hingga 160 km/j selama 40 saat, sebelum BAS tadi akan menaikkan pusingan enjin untuk menghidupkannya kembali secara lancar. Sistem start/stop juga beroperasi di bawah kelajuan 22 km/j. Secara keseluruhannya, sistem hibrid ringkas ini dapat mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 0.7 l/100 km.

Pada waktu yang berikutnya, Audi juga akan menawarkan A8 L dengan sistem plug-in hybrid e-tron quattro, yang menggunakan enjin V6 3.0 liter dan motor elektrik yang disepadukan di dalam transmisi. Secara keseluruhannya sistem ini mampu menghasilkan 449 hp dan 700 Nm tork, seterusnya dapat memacu kereta ini dari pegun ke 100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat. Bateri 14.1 kWh yang digunakan juga boleh memberi jarak pergerakan elektrik 50 km.

Semua enjin pada A8 baru ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan, dengan rev-adaptive torsional damper dan centrifugal force pendulum untuk mengurangkan getaran pada enjin, serta pam minyak elektrik yang aktif apabila kenderaan meluncur dengan enjin ditutup. Ia juga boleh mengesan situasi gerak dan henti, dan mengoptimumkan keselesaan dengan mengelak sebarang pertukaran gear yang tidak diingini.

Sistem pacuan semua roda quattro pada A8 adalah lebih kepada bahagian belakang, dengan 60% tork disampaikan kepada tayar belakang semasa pemanduan biasa, dan apabila terdapat gelinciran, ia boleh menghantar sehingga 70% ke hadapan atau 85% tork ke belakang. Terdapat juga sistem brake-activated torque vectoring dan pilihan differential sport yang lebih ringan, pantas dan tepat.

Sementara kerangka di bawah panel badan kenderaan ini menggunakan bahan Audi Space Frame (ASF) yang dapat meningkatkan ketegaran sebanyak 24%, bahagian kabin pula dibuat daripada besi hot-pressed, manakala panel belakang pula daripada gentian karbon. Strut bar pula dibuat daripada magnesium. Suspensi yang digunakan adalah jenis five-link dan penyerap udara adaptif secara standard.

Turut disediakan adalah pilihan suspensi aktif Audi AI, yang menggunakan motor elektrik pada setiap penjuru untuk melaras beban pada setiap roda dan mengawal secara aktif pergerakan badan. Ia juga boleh meninggikan satu bahagian badan kenderaan sahaja sehingga 80 mm sekiranya terdapat perlanggaran sisi untuk mengurangkan kesan impak.

Satu perkara yang menjadi perhatian pada A8 baru ini adalah pengemudi dalam kesesakan trafik Audi AI. Ia memberikan fungsi pemanduan autonomous Level 3 yang pertama di dunia, dan kenderaan boleh bergerak sendiri di atas lebuh raya dalam kelajuan bawah 60 km/j dan pemandu boleh melepaskan tangan dan melakukan perkara lain.

Sistem ini akan mengeluarkan amaran sekiranya pemandu tertidur, atau situasi menjadi di luar kawalan sistem tersebut. Ciri ini hanya akan ditawarkan secara berperingkat bermula tahun 2018 dan ia bergantung kepada peraturan berkenaan pemanduan autonomous di setiap negara.

Turut boleh didapati pada A8 adalah sistem letak kenderaan automatik yang mendapat input daripada 12 pengesan ultrasonik sekeliling kenderaan, empat kamera 360 darjah, kamera hadapan, empat radar jarak sederhana, satu radar jarak panjang, satu kamera inframerah untuk penglihatan malam dan pengimbas laser.

Audi A8 dikeluarkan di kilang Audi di Neckarsulm dan akan mula dijual di Jerman pada musim luruh dengan harga bermula €90,600 (RM446,500) untuk model standard dan €94,100 (RM463,750) untuk A8 L.

GALERI: Audi A8 2018


GALERI: Audi A8 L 2018